Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa menangis menanti khabar, 7 korban disahkan tragedi pesantren runtuh di Jawa

Oct 3, 2025 | 2:20 PM
Foto edaran yang disediakan oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa runtuhan bangunan di sebuah sekolah agama Islam di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia, 3 Oktober 2025. Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan seramai 59 lagi dikhuatiri tertimbus selepas dewan solat runtuh ketika pelajar menunaikan solat Asar di Sekolah Agama Islam Al Khoziny, Jawa Timur.
Foto edaran yang disediakan oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa runtuhan bangunan di sebuah sekolah agama Islam di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia, 3 Oktober 2025. Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan seramai 59 lagi dikhuatiri tertimbus selepas dewan solat runtuh ketika pelajar menunaikan solat Asar di Sekolah Agama Islam Al Khoziny, Jawa Timur. - Foto EPA

SIDOARJO, Jawa Timur: Suasana penuh cemas dan sedih menyelubungi kawasan Sekolah Agama Islam Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, apabila usaha menyelamat masuk hari keempat selepas bangunan sekolah berasrama penuh itu runtuh ketika pelajar menunaikan solat Asar pada 29 September.

Sekurang-kurangnya tujuh orang telah disahkan meninggal dunia, manakala puluhan lagi masih terperangkap di bawah runtuhan.

Bagi Cik Jayanti Mandasari, 43 tahun, kebimbangan bermula sejurus menerima panggilan telefon terakhir daripada anaknya, M Muhfi Alfian, pada hari kejadian. Alfian, yang berusia 16 tahun, sempat meminta wang untuk membeli snek buat rakan-rakannya. Namun selepas panggilan itu, Cik Jayanti dihantui rasa tidak sedap hati.

Beberapa jam kemudian, seorang adik Alfian memberitahu sekolah Al Khoziny telah runtuh. “Saya terkejut, Ya Allah,” katanya sambil menangis ketika ditemui Reuters pada 2 Oktober, di pusat menunggu keluarga berhampiran sekolah. “Saya tidak mampu menahan air mata.”

Cik Jayanti adalah antara puluhan ibu bapa yang berkumpul di kawasan menunggu yang dipenuhi papan putih berisi senarai pelajar yang telah diselamatkan. Nama Alfian masih belum muncul.

“Sekarang rasa harapan itu makin hilang. Mungkin Tuhan telah mengambilnya dengan lembut, dan saya redha,” kata Cik Jayanti dengan suara tersekat-sekat sambil ditenangkan adiknya, Cik Hamida Soetadji.

Cik Hamida pula menyuarakan kekecewaan terhadap keselamatan sekolah. “Pengurusan sekolah sepatutnya menjangka kemungkinan seperti ini. Bangunan tak patut dibina tanpa asas yang kukuh,” tegasnya.

Menurut data Kementerian Agama Indonesia, negara itu memiliki lebih 42,000 pesantren atau sekolah agama Islam, menampung kira-kira tujuh juta pelajar. Tragedi ini menimbulkan persoalan serius tentang keselamatan bangunan-bangunan berasrama yang kerap diubah suai tanpa kawalan ketat.

Pasukan penyelamat berkata mereka masih meneruskan operasi pada 3 Oktober walaupun pada hari sebelumnya tiada tanda-tanda kehidupan dikesan. Mereka telah memanggil nama-nama pelajar melalui terowong sempit dan menggunakan sensor bagi mengesan gerakan atau denyutan.

“Sehingga kini, kami tidak menemui tanda-tanda kehidupan,” kata Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Encik Yudhi Bramantyo. Beliau mengesahkan dua lagi mayat ditemui di kawasan tempat wuduk pada 3 Oktober, menjadikan jumlah korban meningkat kepada tujuh. Sebelum itu, pihak berkuasa melaporkan 59 orang masih hilang.

Menurut Encik Yudhi, operasi menyelamat amat berisiko kerana struktur bangunan yang tidak stabil dan mudah runtuh. “Getaran di satu bahagian boleh menjejaskan kawasan lain,” katanya.

Lebih 10 ambulans berbaris di kawasan kejadian pada 3 Oktober, sementara kren besar digunakan untuk mengangkat runtuhan yang tebal dan berat. Pihak berkuasa juga terpaksa menghentikan operasi seketika susulan gempa bumi yang berlaku pada malam 30 September, yang menambah bahaya kepada pasukan penyelamat.

Selepas 72 jam pertama iaitu tempoh yang digelar “golden period” bagi peluang hidup pihak berkuasa memutuskan untuk menggunakan jentera berat bagi mempercepatkan proses mencari mangsa. Keputusan itu diambil hanya selepas persetujuan keluarga.

“Keluarga mangsa setuju dan meminta operasi diteruskan dengan jentera berat. Mereka sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan,” kata Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Suharyanto, kepada media.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan ini, pasukan SAR menjalankan beberapa penilaian di lapangan dari malam Rabu hingga pagi Khamis bagi memastikan tiada lagi tanda-tanda hidup. “Kami telah memeriksa pada jam 11 malam, 2 pagi, dan 7 pagi. Semua hasilnya sama tiada tanda kehidupan,” katanya.

Seorang pegawai Basarnas, Emi Freezer, berkata penggunaan kren dilakukan secara berperingkat dan akan dinilai semula selepas setiap fasa untuk memastikan keselamatan pasukan. “Kami juga tidak beroperasi pada waktu malam kerana kekurangan cahaya dan risiko tinggi terhadap petugas,” jelasnya.

Walaupun kebanyakan keluarga sudah bersedia menerima hakikat, masih ada yang enggan hilang harapan. Encik Ahmad Ikhsan, 52 tahun, bapa kepada Arif Affandi yang berusia 14 tahun, terus menunggu sambil memerhatikan papan putih berisi nama mangsa selamat.
“Sampai sekarang saya belum dengar khabar tentang anak saya. Saya tetap percaya dia masih hidup,” katanya penuh sebak.

Namun bagi Cik Jayanti, luka itu terlalu dalam. Beliau sudah membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar anak-anak lain ke sekolah tersebut. “Saya tidak sanggup mengulangi tragedi ini,” ujarnya.

Pakar pembinaan berkata tanda awal menunjukkan asas bangunan Al Khoziny tidak mampu menampung penambahan tingkat yang sedang dibina. Siasatan rasmi masih dijalankan, namun tragedi ini membuka mata banyak pihak tentang keperluan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap bangunan pendidikan agama di Indonesia.

“Ini tragedi yang tidak sepatutnya berlaku jika keselamatan dipatuhi,” kata seorang pakar pembinaan tempatan. Pihak berkuasa dijangka memperketatkan kawalan pembinaan bagi mengelakkan insiden serupa.

Kini, kawasan Al Khoziny terus dipenuhi tangisan, doa, dan harapan yang semakin tipis. Para ibu bapa hanya mahu anak-anak mereka dibawa pulang, sama ada hidup atau telah pergi. “Kami serahkan kepada Allah. Yang penting mereka ditemukan,” kata seorang bapa yang enggan namanya disiarkan sambil menatap runtuhan penuh debu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg