SIDOARJO (Jawa Timur): Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bertungkus lumus menjalankan operasi menyelamatkan mangsa yang dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan bangunan Pondok Pesantren Al Khoziny di Buduran, Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia.
Sehingga lewat malam 1 Oktober, lima mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan hidup, namun seorang daripadanya dalam keadaan tenat dan memerlukan rawatan rapi di Hospital Sidoarjo.
Selain itu, dua lagi mangsa ditemukan tidak bernyawa, menjadikan jumlah korban setakat ini kepada lima orang.
Data sementara setakat 11 malam 1 Oktober menunjukkan seramai 59 individu dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan konkrit.
Angka itu diperoleh berdasarkan senarai kehadiran pelajar yang dikeluarkan pihak pesantren serta laporan kehilangan daripada keluarga.
Lebih 80 individu dilaporkan berjaya menyelamatkan diri sejurus selepas runtuhan, manakala pasukan penyelamat telah mengeluarkan 11 lagi mangsa termasuk lima yang masih hidup.
Namun, jurucakap Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana BNPB, Encik Abdul Muhari, pada 2 Oktober menegaskan data tersebut boleh berubah kerana kemungkinan ada nama yang tercatat tetapi tidak berada di lokasi atau telah selamat tetapi belum melapor.
Walaupun keadaan berisiko tinggi, pasukan SAR berjaya menjalin komunikasi dengan beberapa mangsa yang masih hidup di dalam runtuhan.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Marsyal Udara Mohammad Syafii, memaklumkan kepada stesen televisyen tempatan terdapat 15 lokasi utama yang menjadi tumpuan operasi, dengan enam daripadanya dipercayai menempatkan mangsa yang masih bernyawa.
Encik Abdul Muhari berkata usaha menyelamat turut tertumpu kepada seorang mangsa yang dikesan hidup tetapi berada di lokasi yang sangat sukar dicapai.
“Posisi mangsa berada pada titik yang berbahaya, memerlukan strategi khusus supaya proses evakuasi tidak menambah risiko kepada mangsa dan anggota penyelamat,” katanya.
Menurut Encik Abdul Muhari lagi, penggunaan jentera berat setakat ini dibatasi kerana struktur bangunan runtuh yang tidak stabil dan berpotensi menyebabkan runtuhan susulan.
“Jika tanda-tanda kehidupan tidak lagi ditemui, kami akan berbincang dengan keluarga mangsa sebelum memutuskan untuk menggunakan alat berat bagi mempercepatkan evakuasi,” jelasnya.
Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI) Suharyanto, yang tiba di lokasi runtuhan menegaskan keutamaan misi kini adalah mencari mereka yang masih hidup.
“Evakuasi mangsa yang telah disahkan meninggal dunia akan dilakukan selepas kami yakin nyawa yang masih boleh diselamatkan berada dalam keadaan selamat,” katanya sambil menyampaikan takziah daripada Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.
Beliau turut menyeru agar semua pihak tabah menghadapi ujian ini.
“Semoga keluarga mangsa terus kuat dan diberi kesabaran,” ujar Jeneral Suharyanto.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Surabaya, Encik Laksita Rini, berkata pasukan masih mempunyai harapan.
“Jika lokasi mangsa dapat dipastikan, peluang untuk menyelamatkan mereka masih ada,” katanya kepada CNN.
Namun keadaan semakin mencabar apabila gempa bumi berukuran 6.5 magnitud di Sumenep, kira-kira 200 kilometer dari lokasi, menggegarkan kawasan itu pada 30 September.
Pihak berkuasa bimbang gegaran itu menyebabkan timbunan runtuhan menjadi lebih padat dan menyukarkan operasi menyelamat.
Pegawai kanan Basarnas, Encik Emi Frizer, berkata:
“Cabaran utama kami adalah memastikan mangsa terus mempunyai peluang untuk hidup sambil pada masa yang sama menjaga keselamatan pasukan penyelamat yang berusaha sampai kepada mereka.”
Pasukan penyelamat telah menghantar bekalan oksigen, makanan dan air kepada kanak-kanak yang berjaya dikesan hidup pada hari ketiga operasi.
“Kami membina laluan seperti terowong untuk sampai kepada mereka,” kata penyelaras utama SAR, Encik Nanang Sigit.
Lebih 300 anggota penyelamat dikerah termasuk unit khas dengan peralatan pengesan denyutan jantung dan kamera canggih untuk mengesan pergerakan mangsa di bawah runtuhan.
Di luar kawasan pesantren, suasana penuh pilu apabila keluarga berkumpul sambil menunggu berita.
Senarai nama pelajar yang hilang dipaparkan di pintu masuk sekolah, kebanyakannya remaja lelaki berusia 12 hingga 18 tahun yang sedang menunaikan solat asar ketika bencana berlaku.
Seorang bapa saudara mangsa, Encik Holy Abdullah Arif, 49 tahun, menceritakan detik cemasnya mencari anak saudaranya, Rosi, yang berusia 13 tahun.
“Saya berlari sambil menjerit, ‘Rosi! Kalau kamu dengar, keluar!’ Tiba-tiba ada suara kanak-kanak menjerit minta tolong dari bawah runtuhan. Saya tanya, ‘Kamu Rosi?’ Dia jawab, ‘Tolong saya’!” katanya sebak.
“Saya tidak tahu sama ada dia selamat atau sudah tiada.”
Punca runtuhan masih disiasat, namun laporan awal menunjukkan kemungkinan berlaku kegagalan pada struktur bangunan.
Menurut Encik Mohammad Syafii, tingkat keempat sedang dalam pembinaan ketika kejadian berlaku, menyebabkan keempat-empat tingkat runtuh dan menimpa antara satu sama lain.
Media tempatan turut melaporkan dewan solat tempat pelajar berkumpul dibina tanpa permit rasmi.
Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar, yang melawat lokasi, mengakui banyak sekolah agama dibina hasil gotong-royong masyarakat tanpa pengawasan teknikal yang mencukupi.
“Ini peringatan penting bahawa keselamatan struktur tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Pasukan SAR masih bekerja siang dan malam, menggali secara manual bagi mengelakkan runtuhan tambahan.
Video di lokasi menunjukkan penyelamat berhati-hati memecahkan konkrit tebal dan besi keluli yang berselirat, sementara pasukan lain memantau tanda-tanda hidup melalui alat khas.
“Kami menghadapi keadaan yang sangat tidak stabil, tetapi keselamatan mangsa adalah keutamaan,” kata Encik Nanang Sigit. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg