JAKARTA: Pengumuman Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, pada 20 Oktober lalu bahawa Indonesia akan mengeluarkan kereta buatan tempatan dalam tempoh tiga tahun telah mencetuskan perbincangan besar tentang masa depan industri automotif negara itu.
Ketika menandakan ulang tahun pertama pentadbirannya di Istana Negara Jakarta, beliau menegaskan bahawa peruntukan dan kawasan pembinaan kilang telah diluluskan.
“Kita telah mulakan inisiatif ini. Dalam masa tiga tahun lagi, kita akan ada kereta buatan Indonesia,” kata Encik Prabowo seperti dilaporkan agensi berita, Antara.
Beliau turut menambah, “Saya sudah memperuntukkan dana, tanah untuk kilang sudah siap. Pasukan kini bertungkus lumus dan kita sudah menghasilkan jip buatan Indonesia.”
Walaupun butiran lanjut tidak diumumkan, pemerhati menjangkakan pengeluar utama projek itu ialah PT Pindad, syarikat milik pemerintah yang menghasilkan kenderaan taktikal tentera seperti Maung Garuda SUV.
Sejak mengambil alih pentadbiran, Encik Prabowo menunjukkan minat mendalam terhadap pengembangan penggunaan Maung Garuda sebagai lambang kekuatan teknologi tempatan.
Selepas majlis pelantikannya pada 2024, beliau menaiki Pindad MV3 Garuda Limousine, versi diubah suai daripada Maung Garuda yang dipasang motif parang batik dan lambang garuda pada bahagian roda.
Tidak lama kemudian, beliau mengumumkan bahawa siri Maung akan dijadikan kenderaan rasmi menteri.
“Demi maruah dan kebanggaan negara, kita harus menggunakan produk kita sendiri,” tegasnya.
Walaupun aspirasi ini sarat dengan patriotisme ekonomi, sejarah perindustrian Indonesia mendedahkan laluan yang tidak mudah.
Pada 1996, projek kereta nasional Timor di bawah pentadbiran Presiden Suharto – bapa mentua Encik Prabowo ketika itu berakhir dengan kegagalan dan kontroversi penyalahgunaan kuasa.
Banyak negara termasuk Jepun memfailkan bantahan kepada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) kerana layanan istimewa pemerintah terhadap projek itu.
Krisis Kewangan Asia kemudian menguburkan sepenuhnya jenama tersebut.
Era Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo pula menyaksikan kemunculan Esemka, tetapi pengeluaran kecil dan isu mutu menghalang jenama itu daripada berdiri sebagai lambang keupayaan teknologi nasional.
Kegagalan itu menunjukkan bahawa cita-cita menghasilkan kereta nasional sering menjadi medan pertembungan antara keinginan mempamerkan kedaulatan industri dengan realiti teknologi serta pasaran sejagat.
Sejak awal pentadbirannya, Encik Prabowo menggariskan cita-cita itu sebagai prinsip nasionalisme ekonomi.
“Terus terang, saya tidak boleh terima bahawa kita sebagai negara keempat terbesar di dunia, dikurniakan kekayaan, tidak mampu menghasilkan kereta, motosikal atau komputer sendiri,” katanya pada November lalu.
Namun sarjana seperti Encik Alexander M. Hynd dan Encik Max Broad melihat beberapa “persamaan tidak selesa” antara projek baru itu dengan kegagalan Timor.
Mereka memberi amaran bahawa sokongan terhadap Pindad “lebih didorong naluri nasionalis daripada strategi industri yang kukuh” serta bergantung kepada komponen luar dan kapasiti pengeluaran yang terhad.
“Jika eksperimen pentadbiran Prabowo dengan kereta rasmi buatan tempatan mahu berjaya, ia tidak boleh hanya dipacu sentimen nasionalisme semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan strategik yang tegas,’’ ujar Encik Broad.
Ekosistem automotif hari bukan lagi tentang berdikari sepenuhnya, tetapi rangkaian rantaian nilai sejagat.
Penggabungan Stellantis (Fiat Chrysler + Groupe PSA), kerjasama Toyota-Suzuki dan Volkswagen-Ford dalam pembangunan Kenderaan Elektrik (EV) membuktikan hanya penyepaduan berskala besar mampu bersaing.
Dalam konteks ekonomi sejagat masa kini, aspirasi untuk menguasai keseluruhan rantaian nilai automotif “serba sendiri” semakin tidak sejajar dengan realiti pengeluaran moden yang bersepadu merentas negara.
Malaysia melalui Proton masih bergelut hingga akhirnya menerima penyertaan kenderaan China, Geely.
Korea Selatan, yang mempunyai Hyundai sebagai contoh kejayaan, menekankan disiplin teknologi, eksport dan kerjasama sejagat yang terancang.
Profesor dan pakar pembangunan,Cik Alice Amsden, turut bersependapat bahawa negara maju menggunakan pendekatan “pembelajaran melalui proses pembuatan” dan bukan bergantung kepada nostalgia nasionalisme.
Persoalan yang kini bergema di Jakarta – adakah kereta nasional ini satu strategi pembangunan teknologi, atau projek lambang semata-mata?
Pakar ekonomi pembangunan, Encik Dani Rodrik, menegaskan bahawa tujuan sebenar dasar industri adalah menguasai teknologi bernilai tinggi, bukan sekadar memiliki jenama dalam negara.
Dalam dunia EV, nilai tertinggi terletak pada bateri, sistem kuasa, cip automotif dan perisian kawalan.
Jika komponen utama masih diimport, maka “kereta nasional” hanya menjadi jenama tempatan pada teknologi luar.
Dr Nofie Iman, dari Universiti Gadjah Mada, menekankan arah lebih strategik. Beliau berkata:
“Pemerintah harus menumpukan usaha kepada rangkaian nilai strategik, terutamanya bateri EV, bahan katod dan anod, serta elektronik kuasa.
“Keupayaan ini akan membina daya saing eksport jangka panjang.”
Beliau turut menyarankan insentif untuk pembekal ‘Tier-1’ antarabangsa membuka kilang di Indonesia, selain mewujudkan kerjasama dengan syarikat sejagat bagi pemindahan teknologi yang berterusan.
Sebilangan pakar berpendapat Indonesia sebenarnya memerlukan ekosistem mobiliti lestari, bukan semata-mata sebuah “kereta nasional”.
Ini merangkumi pengangkutan awam elektrik yang canggih dan mampu milik; teknologi bateri dan prasarana pengecasan penyelidikan automotif dan pusat ujian penyepaduan logistik hijau di bandar dan luar bandar.
Menurut pemikir ekonomi, Encik Amartya Sen, pembangunan sebenar adalah pengembangan keupayaan, bukan pemilikan simbol.
“Kehebatan sesebuah negara tidak diukur melalui lencana pada kenderaan, tetapi melalui penguasaan teknologinya,” ujar seorang penganalisis industri di Jakarta.
Cadangan Encik Prabowo menghidupkan kereta nasional muncul pada saat Indonesia mahu melonjak sebagai kuasa industri rantau ini.
Aspirasi tersebut melambangkan kedaulatan teknologi dan keyakinan nasional.
Namun untuk mengelakkan kegagalan lalu, inisiatif itu perlu beralih daripada sekadar sentimen nasionalisme kepada suatu strategi perindustrian yang jelas, terancang dan berfasa.
Pendekatan perlindungan yang hanya menutup pasaran demi kepentingan jenama tempatan harus ditukar kepada usaha membina penguasaan teknologi sebenar merentasi rantaian nilai.
Dalam erti kata lain, tumpuan tidak lagi boleh terletak kepada penciptaan jenama semata-mata, tetapi perlu digerakkan ke arah pembangunan kecekapan industri yang kukuh dan berdaya saing di peringkat sejagat.
Jika pentadbiran Encik Prabowo mampu membuktikan Indonesia bukan hanya mampu memasang kenderaan, tetapi membina teknologi yang menggerakkan masa depan, maka kereta nasional itu akan menjadi bukti nyata “Indonesia adalah bangsa besar”, seperti yang sering ditekankan presidennya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg