Indeks persepsi rasuah 2025 Indonesia merosot, jatuh ke kedudukan ke-109 dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indeks persepsi rasuah 2025 Indonesia merosot, jatuh ke kedudukan ke-109 dunia

Feb 11, 2026 | 9:45 AM

Indeks persepsi rasuah 2025 Indonesia merosot, jatuh ke kedudukan ke-109 dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Nadiem Makarim, bekas menteri pendidikan Indonesia dan pengasas bersama syarikat perkhidmatan e-hailing Gojek, tiba di Mahkamah Jakarta Pusat di Jakarta, Indonesia, pada 5 Januari 2026, bagi menghadiri perbicaraan dalam kes rasuah yang didakwa melibatkan penglibatannya dalam perolehan komputer riba Chromebook keluaran Google untuk kegunaan kementeriannya dan para pelajar.
Nadiem Makarim, bekas menteri pendidikan Indonesia dan pengasas bersama syarikat perkhidmatan e-hailing Gojek, tiba di Mahkamah Jakarta Pusat di Jakarta, Indonesia, pada 5 Januari 2026, bagi menghadiri perbicaraan dalam kes rasuah yang didakwa melibatkan penglibatannya dalam perolehan komputer riba Chromebook keluaran Google untuk kegunaan kementeriannya dan para pelajar. - Foto REUTERS

JAKARTA: Kedudukan Indonesia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 mencatat kemerosotan ketara apabila skor negara itu menurun kepada 34 mata, sekali gus meletakkannya di tangga ke-109 daripada 180 negara yang dinilai di seluruh dunia. Penurunan ini menyaksikan Indonesia jatuh 10 anak tangga berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan terbaharu oleh Ketelusan Antarabangsa Indonesia (TII).

Skor CPI Indonesia merosot tiga mata daripada 37 pada 2024 kepada 34 pada 2025, mencerminkan kemerosotan persepsi terhadap tahap integriti dan tadbir urus sektor awam negara itu. Kedudukan Indonesia turut jatuh daripada tempat ke-99 kepada ke-109, sekali gus meletakkannya di bawah beberapa negara jiran di Asia Tenggara.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Penyelidik dan Pengurus Program TII, Encik Ferdian Yazid, dalam satu sidang media dalam talian sempena pelancaran laporan CPI 2025 pada Selasa, 10 Februari 2026.
“Jika kita lihat, skor CPI Indonesia sebenarnya sedikit lebih baik tahun lalu. Namun pada tahun ini, skor tersebut turun tiga mata, menyebabkan kedudukan Indonesia turut merosot dengan ketara,” katanya.

CPI menggunakan skala 0 hingga 100, dengan skor 0 mencerminkan tahap rasuah yang sangat tinggi, manakala skor 100 menunjukkan sesebuah negara dianggap hampir bebas daripada rasuah. Indeks ini disusun berdasarkan persepsi pakar dan pelaku perniagaan terhadap tahap rasuah dalam sektor awam, dengan menggabungkan pelbagai sumber data antarabangsa.

Menurut TII, perubahan skor pada 2024 tidak sepenuhnya mencerminkan peningkatan usaha pembanterasan rasuah, sebaliknya dipengaruhi oleh pertambahan sumber data baharu dalam pengiraan indeks ketika itu. Bagi 2025 pula, penyusun CPI menggunakan sembilan sumber data, sama seperti tahun sebelumnya, menjadikan penurunan skor kali ini lebih signifikan dari sudut penilaian.

Secara global, purata skor CPI 2025 ialah 42, turun satu mata berbanding 2024. Namun di rantau Asia Pasifik, purata skor meningkat satu mata kepada 45, sekali gus menunjukkan Indonesia bergerak bertentangan dengan trend serantau.

Di peringkat Asean, Indonesia mencatat skor yang sama dengan Laos, manakala beberapa negara jiran menunjukkan prestasi lebih baik. Singapura kekal dengan skor tinggi 84, Malaysia mencatat peningkatan kepada 52 mata, Timor Leste merekodkan 44 mata, manakala Vietnam meningkat kepada 41 mata.

Sebaliknya, negara dengan skor lebih rendah daripada Indonesia termasuk Thailand dan Filipina yang masing-masing mencatat 32 mata, Kemboja dengan 20 mata, dan Myanmar dengan hanya 16 mata.

“Apa yang menarik, Indonesia mencatat skor yang sama dengan Nepal,” kata Encik Ferdian. “Negara itu baru-baru ini mengalami pergolakan politik besar dan demonstrasi meluas, yang turut berpunca daripada amalan rasuah yang berakar umbi dalam sektor awam.”

Pengerusi Lembaga Pengarah TII, Cik Bivitri Susanti, menegaskan bahawa CPI semakin relevan dalam konteks Indonesia hari ini kerana ia membantu masyarakat menilai kedudukan negara berbanding negara lain serta menjejaki arah aliran dari semasa ke semasa. “Indeks ini penting sebagai penanda aras untuk menilai sejauh mana usaha pembanterasan rasuah bergerak, dan ke arah mana pembaharuan perlu difokuskan,” katanya.

Cik Bivitri, yang juga pakar undang-undang perlembagaan, menegaskan bahawa walaupun CPI mengukur persepsi, ia tetap mencerminkan realiti kepercayaan awam terhadap institusi dan kualiti tadbir urus negara.

Dalam sesi pembentangan yang sama, Encik Ferdian menjelaskan bahawa penurunan paling ketara dalam CPI Indonesia tahun ini berpunca daripada beberapa indikator utama. Antaranya ialah Buku Tahunan Daya Saing Dunia IMD yang mengukur keupayaan sesebuah negara mewujudkan persekitaran kondusif bagi pertumbuhan perniagaan dan kesejahteraan jangka panjang. Skor Indonesia dalam indikator ini menjunam daripada 45 kepada 26 mata.

Selain itu, skor Indeks Transformasi Yayasan Bertelsmann, yang menilai kualiti transformasi politik dan ekonomi negara membangun, turut merosot daripada 39 kepada 30 mata.Penunjuk Panduan Risiko Asia PERC yang menilai risiko perniagaan dan pelaburan di Asia, juga mencatat penurunan daripada 38 kepada 34 mata.

Bagaimanapun, beberapa indikator menunjukkan peningkatan kecil. Penilaian Tinjauan Pendapat Eksekutif Forum Ekonomi Dunia meningkat daripada 61 kepada 65 mata, manakala skor Indeks Kedaulatan Undang-undang Projek Keadilan Dunia naik daripada 26 kepada 27 mata. Skor Projek Kepelbagaian Demokrasi turut meningkat satu mata daripada 22 kepada 23.

Setiausaha Agung TII, Encik Danang Widoyoko, menilai kejatuhan skor CPI Indonesia sebagai bercanggah dengan gambaran umum penguatkuasaan undang-undang yang sering dipaparkan kepada masyarakat.
“Di satu pihak, kita sering melihat pameran wang tunai dalam kes-kes rasuah. Tetapi kemudian diketahui wang itu hanya dipinjam sementara daripada bank. Ini mencetus persoalan serius tentang ketelusan,” katanya.

Beliau turut mengkritik kemerosotan kebebasan kehakiman, termasuk proses pelantikan hakim perlembagaan yang didakwa tidak lagi melibatkan penyertaan awam secara bermakna.
“Ini satu kemunduran luar biasa. Ia adalah jenayah terhadap kebebasan badan kehakiman,” tegasnya.

Encik Danang juga menyuarakan kebimbangan terhadap penyempitan ruang kebebasan sivil, termasuk penahanan pelajar dalam demonstrasi besar pada Ogos 2025 serta tekanan terhadap wartawan.
“Membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata. Ia memerlukan ruang awam yang luas dan masyarakat sivil yang bebas,” katanya.

Profesor Zainal Arifin Mochtar dari Universiti Gadjah Mada pula berkata beliau tidak terkejut dengan penurunan CPI Indonesia, sambil menyifatkan fenomena “kartel politik” sebagai punca utama penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan dalam pentadbiran negara.

“Peraturan untuk mencegah konflik kepentingan terlalu minimum, sedangkan amalan penguatkuasaan undang-undang sangat bermasalah,” katanya, sambil memberi amaran bahawa penangkapan hakim baru-baru ini berpotensi memberi kesan negatif terhadap skor CPI Indonesia pada tahun akan datang. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg