Singapura kekal paling kurang rasuah di Asia Pasifik
Singapura sekali lagi muncul sebagai negara paling kurang rasuah di rantau Asia Pasifik pada 2025, serta negara ketiga terbersih di dunia, mengulangi pencapaian 2024.
Kedudukan cemerlang ini disahkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbaru Transparency International, badan pemantau antirasuah global, yang diterbitkan pada 10 Februari.
Namun, di sebalik kejayaan itu, laporan tersebut menyentuh isu yang perlu diberi perhatian: peranan Singapura dalam memudahkan pergerakan wang haram.
Dengan skor 84 daripada 100, Singapura menduduki tangga ketiga dunia. Ini adalah peningkatan, berbanding 83 (2023) dan 84 (2024), meskipun masih di bawah rekod terbaiknya 87 pada 2012, sewaktu CPI menyemak kaedah penilaiannya.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam kenyataan 10 Februari, mengaitkan prestasi kukuh ini dengan perundangan yang teguh, penguatkuasaan yang efektif, dan masyarakat yang sentiasa peka.
Jurucakap CPIB berkata: “Pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah dan keazaman bersama untuk melakukan perkara yang betul kekal sebagai asas kepada reputasi berpanjangan Singapura sebagai negara yang bersih dan bebas rasuah.”
Denmark, dengan skor 89 pada 2025, kekal sebagai negara paling kurang rasuah di dunia untuk tahun kelapan berturut-turut.
Diikuti oleh Finland (88), Singapura (84), New Zealand (81), Norway (81) dan Sweden (80).
Indeks CPI terkini menilai 182 negara dan wilayah berdasarkan tahap rasuah sektor awam seperti yang dirasakan oleh pakar dan masyarakat perniagaan.
Pada 2024, Singapura memintas New Zealand, yang sebelum itu menduduki tempat teratas di rantau Asia Pasifik selama 14 tahun.
Secara global, laporan ini membunyikan loceng amaran: tahap rasuah semakin parah, dengan purata skor dunia jatuh daripada 43 kepada 42 pada 2025. Hanya lima negara melepasi skor 80, jauh berbanding 12 negara sedekad lalu.
Lebih dua pertiga daripada negara dan wilayah yang dinilai memperoleh skor di bawah 50, termasuk Sudan Selatan (9), Venezuela (10), Korea Utara (15), Thailand (33) dan Indonesia (34).
Satu lagi kebimbangan ialah prestasi negara demokrasi yang semakin merosot, walaupun biasanya mereka mencatat kedudukan lebih baik berbanding negara autokratik.
Negara-negara yang mencatat penurunan skor pada 2025 berbanding 2024 termasuk Amerika Syarikat (64), New Zealand (81), United Kingdom (70) dan Perancis (66).
Walaupun masih berlegar di kedudukan atas indeks, prestasi mereka merosot ketara berbanding masa lalu. Sebagai contoh, Amerika Syarikat mencatat skor terendah dalam sejarahnya pada 2025.

