Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indo percepat perolehan tanah Kampung Haji berdekatan Masjidil Haram

Jul 31, 2025 | 12:01 PM
haji, makkah, kampung haji
Jemaah haji dan umrah Indonesia bakal dapat menginap di Kampung Haji Indonesia yang kini dalam proses pemerolehan tanah di Makkah. - Foto fail

JAKARTA: Indonesia berhasrat mempercepatkan rancangan membina Kampung Haji khusus di kota suci Makkah, Arab Saudi, dengan memperoleh tanah yang akan berfungsi sebagai hab penginapan untuk jemaah haji dan umrahnya.

Menteri Pelaburan Encik Rosan Roeslani berkata pada 30 Julai bahawa rundingan sedang dijalankan dengan Suruhanjaya Diraja bagi Kota Makkah untuk memuktamadkan pengambilan tanah.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk menambah baik penginapan dan melancarkan pergerakan jemaah haji dan umrah Indonesia.

“Beberapa plot tanah telah ditawarkan oleh Kerajaan Arab Saudi, dengan saiz antara 25 dengan 85 hektar. Ada yang terletak hanya satu kilometer daripada Masjidil Haram,” kata Encik Rosan di Istana Presiden di Jakarta.

Menurut beliau, beberapa plot yang dicadangkan terletak bersebelahan dengan kawasan tengah Makkah, menjadikannya lokasi ideal untuk memudahkan akses jemaah Indonesia ke Masjidil Haram.

Projek itu mendapat momentum berikutan pembaharuan undang-undang yang dirancang oleh Arab Saudi yang akan, buat pertama kalinya, membenarkan institusi asing memiliki tanah di Tanah Suci Makkah.

Undang-undang baru itu dijangka berkuat kuasa pada Januari 2026.

“Mulai Januari, entiti asing akan dibenarkan memegang hak pemilikan tanah di Makkah. Kami berhasrat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini,” kata Encik Rosan.

Beliau juga memuji inisiatif itu hasil usaha diplomasi peringkat tinggi antara Presiden Indonesia Prabowo Subianto dengan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman.

Setelah dimuktamadkan, Indonesia akan memegang pemilikan penuh tanah dan kuasa untuk reka bentuk dan membina infrastruktur yang disesuaikan dengan keperluan jemaah hajinya.

Plot yang ditawarkan berbeza mengikut topografi, termasuk tanah rata, kawasan berbukit dan zon kediaman semasa.

Bagaimanapun, Encik Rosan memberi jaminan bahawa kerajaan Arab Saudi akan mengendalikan sebarang penempatan semula penduduk tempatan yang terjejas dengan projek itu dan menyerahkan tanah itu dalam “keadaan bersih”.

“Harga yang ditawarkan termasuk kos pembersihan tanah penduduk di kawasan yang akan diperoleh kelak,” ujarnya lagi.

Selain perjanjian tanah, pemerintah Indonesia telah diarah mengemukakan pelan induk komprehensif untuk Kampung Haji, termasuk pengezonan dan reka bentuk infrastruktur.

Fasa peringkat perancangan dijangka siap pada Oktober 2025.

Pembiayaan untuk projek itu akan diuruskan oleh dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, yang dipengerusikan oleh Encik Rosan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg