Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kampung haji Indonesia dibina 400 meter dari Masjidil Haram

Jul 15, 2025 | 11:54 AM
jemaah haji, indonesia
 Seorang jemaah haji menzahirkan reaksi emosinya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Blang Bintang, wilayah Aceh pada 28 Jun. - Foto AFP

JAKARTA: Rancangan membina sebuah Kampung Haji Indonesia yang terletak hanya 400 meter dari Masjidil Haram, Mekah, kini semakin mendapat perhatian selepas disahkan menerima persetujuan daripada Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud (MBS).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pelaburan merangkap Ketua Badan Penyelaras Penanaman Modal (BKPM) Indonesia, Encik Rosan Roeslani, selepas pertemuan antara Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto dan MBS di Jeddah pada 2 Julai lalu.

“Beliau (Putera Mahkota MBS) menyetujui permintaan Presiden untuk membina Kampung Indonesia yang lokasinya sangat dekat hanya sekitar 400 meter dari Masjidil Haram,” kata Encik Rosan ketika ditemui di Brussels pada Ahad, 13 Julai, memetik laporan Antara News.

Walaupun belum ada kepastian mengenai lokasi tepat kampung haji tersebut, beberapa sumber termasuk laporan detikHikmah dan semakan medan lapangan menunjukkan terdapat beberapa kawasan berpotensi.

Antaranya termasuk kawasan Ajyad, yang terletak di belakang Menara Zam Zam, dan kawasan Syib Amir –kedua-duanya sering digunakan sebagai terminal bas jemaah haji Indonesia semasa musim haji.

“Kita masih dalam fasa kajian dan perancangan terperinci, termasuk soal logistik, pelaksanaan serta keperluan fasiliti,” tambah Encol Rosan, sambil menekankan bahawa kampung ini bertujuan untuk memudahkan jemaah dari Indonesia mendapatkan akses yang lebih dekat dan selesa ke Masjidil Haram.

Berdasarkan semakan di lapangan, lokasi yang mungkin sesuai termasuk kawasan sekitar Jabal Ka’bah dan Terowong Sulaimaniyah, yang kelihatan masih mempunyai ruang terbuka.

Kawasan ini berada dalam lingkungan 400 meter dari Bab Al-Salam, salah satu pintu masuk utama Masjidil Haram.

Dalam pelaksanaan ibadah haji sebelumnya, jemaah Indonesia biasanya ditempatkan di hotel yang jaraknya lebih jauh antara 800 hingga 1200 meter dari Masjidil Haram di kawasan seperti Raudhah, Syisyah, Misfalah dan Jarwal.

Pembinaan Kampung Haji Indonesia di lokasi strategik ini dilihat sebagai satu lonjakan besar dalam usaha meningkatkan keselesaan jemaah.

Selain daripada pengumuman ini, Encik Rosan juga menandatangani satu perjanjian kerjasama penting dengan syarikat tenaga bersih ACWA Power, yang dimiliki oleh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi.

“Saya menandatangani perjanjian dengan Danantara dan ACWA Power, mereka ini syarikat dalam bidang tenaga bersih dari Arab Saudi. Ini satu langkah penting dalam kerjasama ekonomi kedua-dua negara,” ujar Encik Rosan.

Dalam kenyataan bersama, Presiden Prabowo dan MBS juga menyatakan persetujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang perkhidmatan jemaah haji.

Kedua-dua negara turut bersetuju memperluaskan kerjasama strategik dalam 10 bidang utama termasuk pendidikan, tenaga, pelancongan, inovasi digital, makanan, pertanian, sumber manusia dan hubungan udara antara kedua-dua negara.

Pemerhati menyifatkan rancangan pembinaan Kampung Haji Indonesia ini sebagai satu lambang komitmen jangka panjang antara Jakarta dengan Riyadh.

Ia juga menjadi simbol sokongan Arab Saudi kepada Visi Indonesia Emas 2045 dan pada masa yang sama, membantu Arab Saudi mencapai matlamat Visi 2030 mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg