Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarif AS: Rakyat Indonesia beralih ke emas apabila rupiah, saham junam

Apr 10, 2025 | 10:42 AM
Di Jakarta, Indonesia, kedai emas popular, Galeri 24, melaporkan lonjakan jualan emas hingga tiga kali ganda sejak kedai itu dibuka semula selepas cuti Aidilfitri.
Di Jakarta, Indonesia, kedai emas popular, Galeri 24, melaporkan lonjakan jualan emas hingga tiga kali ganda sejak kedai itu dibuka semula selepas cuti Aidilfitri. - Foto REUTERS

JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia kini berpusu-pusu membeli jongkong emas sebagai langkah melindungi nilai aset mereka berikutan kemerosotan nilai mata wang rupiah dan kejatuhan pasaran saham negara itu.

Fenomena itu berlaku ketika Indonesia berdepan tekanan ekonomi akibat dasar tarif import baru yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang memberi kesan besar kepada banyak ekonomi dunia termasuk Indonesia.

Meskipun pemerintah Indonesia dan pakar ekonomi menyatakan kesan tarif itu terhadap Indonesia mungkin terhad kerana negara itu bergantung kepada pasaran domestik, namun kebimbangan terhadap eksport ke Amerika dalam sektor elektronik, kasut dan pakaian telah menggugat keyakinan pelabur.

Di Jakarta, kedai emas popular, Galeri 24, melaporkan lonjakan jualan emas hingga tiga kali ganda sejak kedai itu dibuka semula selepas cuti Aidilfitri.

Menurut Pengarah Galeri 24, Cik Endah Susiani, mereka kini mampu menjual lebih 65 kilogram emas setiap hari berbanding kebiasaan.

“Kami menerima hampir 200 pelanggan sehari di cawangan Jakarta sahaja, kebanyakannya membeli jongkong emas kecil seberat 10 gram,” kata Cik Endah kepada agensi berita, Reuters.

Pekerja sektor teknologi maklumat, Encik Suhud Syahrani, 35 tahun, merupakan salah seorang pembeli emas.

Beliau memilih untuk melabur dalam emas selepas membuat kajian mengenai pilihan pelaburan jangka panjang.

“Saya mahu membeli rumah suatu hari nanti. Nasib baik saya tidak letakkan wang dalam saham atau dana amanah. Pasaran saham runtuh. Ekonomi kita semakin lemah,” katanya.

Mata wang rupiah mencatat rekod terendah, mencecah 16,970 rupiah ($1.36) bagi setiap dolar Amerika, manakala Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) Indonesia merosot lebih 7 peratus dalam satu hari.

Selain Galeri 24, syarikat pajak gadai, Pegadaian, turut mencatat peningkatan mendadak apabila pelanggan membuka akaun simpanan emas berjumlah 84 kilogram dalam satu hari, jauh lebih tinggi berbanding purata 25 kilogram sebelum ini.

Pegadaian dan Galer 24 merupakan sebahagian daripada Bank Rakyat Indonesia.

Bukan itu sahaja, ratusan rakyat turut beratur panjang di kedai emas sementara yang dikendalikan oleh syarikat perlombongan, Aneka Tambang, sepanjang musim cuti tatkala harga emas dunia melonjak ke paras tertinggi iaitu AS$3,167.57 ($4,252.62) seauns pada 3 April.

Menurut Pengarah Pemasaran Pegadaian, Cik Elvi Rofiqotul Hidayah, trend itu menunjukkan kesedaran masyarakat untuk melindungi kekayaan mereka daripada kesan inflasi.

“Ini adalah era ketidakpastian. Luar biasa. Disebabkan perang dagang dan tarif balas, harga emas melonjak tinggi dan masyarakat memahami perkara ini. Mereka mahu lindungi aset mereka,” katanya.

Cik Elvi menambah, ramai pelanggan muda kini beralih daripada pelaburan saham dan mata wang kripto kepada emas kerana lebih stabil dalam suasana ekonomi yang goyah.

“Emas tetap menjadi pilihan utama rakyat Indonesia ketika ketidaktentuan ekonomi melanda,” ujar Cik Elvi. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg