JAKARTA: Dalam usaha membendung kesan tarif import sebanyak 32 peratus yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pemerintah Indonesia mengatur langkah strategik dengan menghantar delegasi kanan ke Washington DC dari 16 hingga 23 April untuk memulakan rundingan rasmi.
Misi itu diketuai Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, bersama Menteri Luar, Encik Sugiono, dan Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati.
Dalam sidang media di Jakarta, Encik Airlangga menjelaskan delegasi itu akan mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi Amerika termasuk daripada Pejabat Wakil Perdagangan Amerika (USTR), Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Perdagangan.
Tujuan utama kunjungan itu adalah untuk meredakan ketegangan perdagangan dua hala dan mengimbangi defisit perdagangan semasa antara Indonesia dengan Amerika, yang dianggar sekitar AS$18 bilion ($23.6 bilion).
Sebagai sebahagian daripada usaha meredakan tekanan tarif, Encik Airlangga menyatakan Indonesia bersedia meningkatkan import dari Amerika dalam sektor utama seperti gas asli cecair (LNG), gas petroleum cecair (LPG), kapas dan kacang soya.
Nilai tambahan import itu diunjurkan mencecah antara AS$18 dengan AS$19 bilion.
“Indonesia akan membeli barang dari Amerika mengikut keperluan kita,” tegas Encik Airlangga, sambil menambah bahawa pembelian itu akan membantu menutup jurang eksport-import antara kedua-dua negara.
Namun begitu, beliau enggan mendedahkan secara terperinci senarai komoditi yang akan diimport kerana ia merupakan sebahagian daripada dokumen rundingan yang bersifat rahsia.
Selain itu, pemerintah turut mempertimbangkan pelonggaran cukai pertambahan nilai (PPN) ke atas produk import dari Amerika serta pengurangan kadar cukai pendapatan (PPh) import daripada 2.5 peratus kepada 0.5 peratus untuk produk tertentu seperti peralatan elektronik dan komputer riba.
Pengurangan cukai itu dilihat sebagai tawaran rundingan agar tarif Amerika terhadap Indonesia dapat diturunkan.
“Kita juga sedang meneliti pelonggaran syarat kandungan tempatan (TKDN) dalam sektor teknologi infokom (ICT) bagi barangan dari Amerika,” jelas Encik Airlangga.
Wakil Menteri Pelaburan, Encik Todotua Pasaribu, mengesahkan pelonggaran TKDN itu hanya akan terpakai bagi barangan ICT dari Amerika dan tidak melibatkan barangan dari negara lain.
Beliau memberi jaminan bahawa kelonggaran itu tidak akan menyebabkan pelabur dari negara lain berundur dari Indonesia kerana dasar pelaburan yang kukuh masih dikekalkan.
Sebagai strategi dua hala, Indonesia turut merancang menghantar Badan Usaha Milik Negara (BUMN) untuk melabur di Amerika.
Pelaburan itu akan melibatkan sektor minyak dan gas serta teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI), dengan tujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan menunjukkan iltizam Indonesia terhadap pasaran Amerika.
“Selain mengalu-alukan pelaburan Amerika di Indonesia, kita juga akan menghantar syarikat milik negara untuk melabur di Amerika sebagai isyarat kesediaan bekerjasama,” ujar Encik Airlangga.
Encik Todotua menambah bahawa sebahagian daripada pelaburan itu akan dilaksanakan melalui Badan Pengelola Pelaburan Danantara, dengan pendekatan yang fleksibel termasuk pelaburan bersama dan projek kerjasama strategik.
Meskipun kos pelaburan di Amerika tinggi, beliau percaya model pelaburan yang dirancang akan memberi nilai pulangan yang ketara terutama dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan jangka panjang.
“Kami yakin rundingan ini penting, bukan sekadar untuk perdagangan, bahkan demi masa depan kerjasama strategik Indonesia-Amerika,” katanya.
Rundingan itu berlangsung dalam tempoh 90 hari penangguhan tarif oleh Encik Trump yang dijadual tamat pada 9 Jun.
“Kami membawa dokumen lengkap yang bukan sahaja menyentuh soal tarif, bahkan juga menyeluruh, melibatkan sekatan bukan tarif dan kerjasama sektor kewangan.
“Kami percaya diplomasi ekonomi adalah jalan terbaik untuk mengelakkan perang perdagangan yang lebih merugikan kedua-dua negara,” ujar Encik Airlangga. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg