Pemerintah Indonesia dijangka menghantar pasukan awal ke Jaluran Gaza pada hujung Mac atau awal April 2025 bagi membuat persiapan untuk majlis pecah tanah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Indonesia.
Hospital itu merupakan projek kedua yang dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan rakyat Indonesia di wilayah bergolak itu.
Pasukan tersebut akan menjalankan tinjauan teknikal bagi memastikan kesesuaian dan kesiapsiagaan tapak pembinaan hospital yang terletak di kawasan kejiranan Nasser, Bandar Gaza.
Tapak itu terletak berhampiran Hospital Kanak-Kanak Al Rantisi yang kini beroperasi semula dalam kapasiti terhad selepas mengalami kerosakan akibat konflik.
Bangunan hospital itu dirancang setinggi empat tingkat, meliputi keluasan 10,310 meter persegi termasuk ruang bawah tanah dan bumbung.
Ia akan dibangunkan di atas tanah wakaf seluas 5,000 meter persegi yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Palestin.
Projek bernilai 402 bilion rupiah ($32.7 juta) itu dimulakan lebih setahun lalu (sekitar 2023), oleh Kumpulan Kerja Aqsa (AWG), organisasi kemanusiaan Indonesia yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, bersama sayap wanitanya, Maemunah Center.
Projek itu digerakkan selepas konflik tercetus di Gaza pada Oktober 2023, yang mengorbankan ramai wanita dan kanak-kanak serta memusnahkan banyak prasarana kesihatan termasuk Hospital Indonesia yang telah beroperasi sejak Januari 2016.
Ketua AWG, Encik M. Anshorullah, berkata dalam satu sidang media pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Indonesia di Gaza pada 14 Mac di Kementerian Luar bahawa majlis pecah tanah dijangka berlangsung pertengahan atau akhir April 2025, dengan kehadiran wakil daripada pemerintah Indonesia, Penguasa Palestin dan pelbagai pihak berkepentingan.
“Kami sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Mesir.
“Pasukan kami akan bersedia di Mesir supaya boleh segera memasuki Gaza melalui lintasan Rafah sebaik sahaja mendapat kebenaran,” kata Encik Anshorullah.
Beliau menambah projek itu dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan, namun jadual pelaksanaannya akan disesuaikan mengikut perkembangan keadaan di Gaza.
Menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Ocha), setakat 12 Mac, usaha pemulihan sistem kesihatan di Gaza masih berjalan tetapi kemajuannya amat perlahan.
Hanya 16 peratus daripada kemudahan perkhidmatan kesihatan di wilayah Gaza Utara yang berfungsi sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya, termasuk tiga dari lima hospital, enam dari 50 pusat rawatan perubatan, dan empat dari lebih 20 pusat kesihatan utama.
Sementara itu, di wilayah Rafah, hanya 11 peratus kemudahan kesihatan yang masih beroperasi.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, konflik yang berlarutan sejak Oktober telah mengorbankan sekurang-kurangnya 48,503 rakyat Palestin dan mencederakan 111,927 orang setakat 11 Mac.
Ketua Maemunah Center, Cik Onny Firyanti Hamidi, berkata bahawa kumpulannya telah memperoleh kebenaran projek daripada Kementerian Kesihatan Gaza pada Mac 2024.
“Pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Indonesia bukan sekadar membina prasarana kesihatan. Ia adalah lambang perpaduan rakyat Indonesia terhadap Palestin.
“Usaha ini juga bertujuan memastikan wanita dan kanak-kanak di Gaza mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya,” kata Cik Onny.
Arkitek, Encik Riza A. Chairil, telah mula mereka bentuk hospital ini sejak beliau dilantik pada akhir tahun 2023.
Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Palestin ketika kumpulan tersebut membida projek itu.
“Reka bentuk awal hanya melibatkan hospital kecil dengan 44 bilik.
“Tetapi selepas beberapa siri mesyuarat, pelan ini dikembangkan kepada lebih 140 bilik, termasuk lapan poliklinik dan wad kecemasan.
Hospital ini juga akan menggunakan tenaga solar sebagai sumber kuasa utama,” jelas Encik Riza.
Pengurus tapak yang pernah mengetuai pembinaan Hospital Indonesia di utara Gaza dari 2011 hingga 2014, Encik Edy Wahyudi, akan memimpin pasukan pembinaan bagi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Indonesia yang baru.
Beliau berkata cabaran utama dalam pembinaan kali ini adalah kekurangan tenaga kerja dan jurutera di lapangan.
Tenaga kerja projek itu akan terdiri daripada 75 peratus sukarelawan Indonesia dan 25 peratus warga Gaza.
Hospital Indonesia sedia ada, yang dibina sepenuhnya hasil sumbangan rakyat Indonesia di atas tanah seluas 16,000 meter persegi yang disumbangkan oleh pemerintah Gaza, sebahagiannya telah kembali beroperasi pada akhir Februari selepas ditutup selama 15 bulan.
Menurut kumpulan kemanusiaan Indonesia dan pengendali hospital itu, Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C), Hospital Indonesia kini turut menjalani kerja-kerja pembaikan pada kemudahan yang rosak akibat konflik.
Kumpulan tersebut menafikan dakwaan Israel pada November 2024 bahawa Hospital Indonesia dibina di atas rangkaian terowong bawah tanah Hamas yang didakwa digunakan sebagai pelancar roket.
Projek Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Indonesia itu merupakan sebahagian daripada kempen kutipan dana kebangsaan Indonesia untuk bantuan kemanusiaan di Gaza, yang dilancarkan pada Februari oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Encik Anis Matta.
Dengan sokongan daripada 30 organisasi amal, kempen ini menyasarkan kutipan sebanyak AS$200 juta ($266 juta) untuk membantu rakyat Palestin.
Pada awal Mac, pemerintah Mesir telah mencadangkan pelan pemulihan Gaza bernilai AS$53 bilion semasa Sidang Puncak Liga Arab di Kahirah dan pemimpin-pemimpin Arab telah bersetuju untuk menerima pakai pelan tersebut.
“Indonesia perlu turut serta menyumbang kepada pelan ini,” kata Pengarah Timur Tengah Kementerian Luar Negeri, Encik Ahrul Tsani Fathurrahman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg