JAKARTA: Indonesia akan menyambut Tahun Baru tanpa pertunjukan bunga api apabila pemerintah pusat dan pihak berkuasa wilayah mengambil keputusan membatalkannya sebagai tanda solidariti dan menghormati mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera dan Bali, yang telah mengorbankan lebih 1,100 nyawa serta memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Keputusan itu menandakan perubahan jarang berlaku dalam cara negara ini menyambut ketibaan tahun baru dan mencerminkan skala tragedi yang digambarkan pegawai pemerintah sebagai antara krisis bencana alam paling maut dalam sejarah terkini Indonesia.
Jurucakap Presiden, Encik Prasetyo Hadi, berkata pemerintah pusat menyokong sepenuhnya langkah kerajaan negeri dan bandar yang membatalkan atau melarang penggunaan bunga api. Menurutnya, keputusan itu adalah wajar dalam situasi negara sedang berdepan penderitaan besar. “Kita perlu menunjukkan empati dan solidariti sebagai sebuah negara,” katanya. “Masih ramai rakyat yang sedang menderita akibat bencana.”
Larangan dan pembatalan pertunjukan bunga api telah diumumkan di Jakarta, Bali serta beberapa pusat wilayah lain, melibatkan acara awam dan juga sambutan persendirian. Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai agar tidak menyalakan mercun atau bunga api sebagai tanda menghormati mangsa bencana.
Banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera telah menjejas beberapa wilayah utama termasuk Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh. Pegawai pemerintah mengesahkan lebih 20 kampung musnah sepenuhnya, menyebabkan ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan.
Dianggarkan sekitar 400,000 orang masih berada di pusat pemindahan sementara, manakala pasukan kecemasan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta usaha memulihkan infrastruktur asas. Pemerintah menganggarkan kos pemulihan mencecah sekurang-kurangnya AS$3.11 bilion (S$3.98 bilion) melibatkan pembinaan semula jambatan, perumahan dan kemudahan awam yang rosak teruk.
Beberapa wilayah masih berada di bawah status darurat, dengan agensi nasional dan tempatan menyelaraskan bantuan ketika hujan lebat masih berterusan di beberapa kawasan.
Di Bali, pihak berkuasa bertindak pantas melaksanakan larangan bunga api, khususnya di kawasan tumpuan pelancong. Polis Denpasar mengesahkan mereka tidak akan mengeluarkan sebarang permit bagi pertunjukan bunga api tahun ini, selaras dengan arahan Ketua Polis Negara.
Pantai Kuta, yang lazimnya menjadi lokasi salah satu pertunjukan bunga api terbesar di Bali, juga akan kekal tanpa bunga api tahun ini. Ketua kampung tempatan melarang penjualan mercun dan bunga api di kawasan itu serta menggesa hotel dan penduduk mematuhi tempoh berkabung.
Menurut laporan pihak berkuasa pelancongan tempatan, penganjur acara yang telah menerima permit sebelum ini diarahkan untuk membatalkan rancangan bunga api serta-merta. Pegawai polis menyifatkan arahan itu sebagai muktamad dan terpakai kepada semua pihak, termasuk hotel, pusat hiburan malam dan perniagaan persendirian.
Taman Budaya Garuda Wisnu Kencana di Bali mengesahkan sambutan kiraan detik tengah malam akan diteruskan tanpa bunga api, sebaliknya digantikan dengan doa bersama dan persembahan kebudayaan. Penganjur berkata perubahan itu dibuat sebagai tanda solidariti terhadap mangsa bencana, sambil membolehkan orang ramai berkumpul dalam suasana yang selamat dan bermakna.
Di Jakarta, gabenor ibu negara turut menggesa penduduk menyambut Tahun Baharu secara sederhana dan penuh hormat. Walaupun beberapa acara pelancongan diteruskan, program sambutan telah diubah suai bagi menyingkirkan elemen bunga api.
Di Medan, pentadbiran bandar membatalkan Festival Akhir Tahun selepas menerima kritikan daripada penduduk yang menganggap sambutan itu tidak sensitif terhadap penderitaan mangsa bencana.
Ketua Agensi Pelancongan Medan, Encik Odi Aggia Batubara, berkata program tersebut akan digantikan dengan aktiviti keagamaan dan tayangan video kesedaran alam sekitar serta usaha pemulihan pascabencana.
Walaupun Indonesia sering dilanda bencana alam, pelarasan sambutan Tahun Baru secara nasional jarang dilakukan. Pemerhati berkata skala dan kesan banjir di Sumatera telah mendorong respons yang lebih bersatu merentasi garis politik dan wilayah.
Seorang pegawai kanan pengurusan bencana berkata keputusan itu bukan bertujuan menyekat kegembiraan rakyat, sebaliknya untuk mengiktiraf kehilangan bersama dalam detik yang biasanya melambangkan permulaan baharu.
“Tahun baru sepatutnya membawa harapan, tetapi tahun ini kita perlu memulakannya dengan keinsafan dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya.
Pihak berkuasa kini giat menjalankan operasi bantuan kemanusiaan dan pemulihan infrastruktur, manakala masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan turut melancarkan kempen derma dan sukarelawan bagi membantu mangsa. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg