JAKARTA: Pemerintah Indonesia menggantung sementara status pendaftaran TikTok sebagai penyedia sistem elektronik selepas syarikat media sosial itu gagal menyerahkan sepenuhnya data berkaitan penggunaan ciri penstriman langsung semasa gelombang protes nasional baru-baru ini.
Walaupun begitu, aplikasi TikTok masih boleh diakses pengguna pada Jumaat, 3 Oktober.
Encik Alexander Sabar, pegawai kanan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia, berkata pihak berkuasa telah meminta TikTok menyerahkan maklumat trafik, penstriman, serta aktiviti penjanaan pendapatan yang berlaku semasa protes dari 25 hingga 30 Ogos lalu.
Menurutnya, beberapa akaun dipercayai berkait kegiatan perjudian dalam talian didapati menggunakan ciri penstriman langsung untuk mengaut keuntungan ketika demonstrasi berlangsung.
Langkah ini diambil selepas TikTok menghentikan sementara ciri penstriman langsung pada 30 Ogos lalu ketika protes memuncak berikutan kematian seorang pemandu penghantaran, sebelum mengaktifkannya semula beberapa hari kemudian.
“Kami mahu memastikan ruang digital kekal selamat dan tertib,” tegas Encik Sabar, sambil menambah bahawa pemantauan terhadap platform media sosial akan dipertingkat.
“Kami telah memanggil pihak TikTok pada 16 September untuk memberi penjelasan secara langsung dan memberi masa sehingga 25 September bagi menyerahkan data penuh,” kata Encik Sabar dalam satu kenyataan pada 3 Oktober.
“Namun, TikTok hanya memberikan data separa dengan alasan terikat polisi dalaman mereka. Maka kementerian menganggap TikTok telah melanggar kewajipan sebagai penyedia sistem elektronik swasta, dan tindakan penggantungan sementara diambil sebagai langkah pengawasan.”
Pemerintah Indonesia mewajibkan semua penyedia perkhidmatan digital yang beroperasi di negara itu mendaftar dan menyerahkan maklumat diperlukan bagi tujuan pemantauan keselamatan digital. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan sekatan sementara atau penyekatan akses sepenuhnya.
TikTok dalam surat bertarikh 23 September memaklumkan bahawa dasar dan prosedur dalaman syarikat menghalang mereka daripada berkongsi data tertentu. Aplikasi yang dimiliki syarikat China, ByteDance Ltd, mempunyai lebih 100 juta pengguna di Indonesia, menjadikannya salah satu pasaran terbesar di dunia.
Setakat ini belum jelas berapa lama penggantungan akan dikenakan. Kementerian belum memberikan maklumat sama ada akses TikTok akan disekat sepenuhnya. Semakan Reuters pada 3 Oktober mendapati aplikasi masih boleh diakses seperti biasa. Pengguna Indonesia masih boleh mengakses aplikasi dan ciri penstriman langsung buat masa ini.
Pemerhati keselamatan digital menyambut baik langkah pemerintah ini tetapi menegaskan keperluan ketelusan berterusan. “Langkah ini penting untuk melindungi pengguna, namun penguatkuasaan mesti konsisten dan tidak dipolitikkan,” kata seorang penganalisis media digital tempatan.
Langkah tegas ini menandakan pendirian baru Indonesia terhadap syarikat teknologi global yang beroperasi di negara itu, terutama ketika isu keselamatan siber dan penyebaran kandungan berbahaya semakin menjadi perhatian kerajaan serta masyarakat. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg