Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tubuh pasukan khas pantau pelancong ‘bermasalah’ di Bali

Aug 11, 2025 | 12:52 PM
Ogoh-ogoh, Festival Saparan Bekakak
Anggota kumpulan muzik tradisional membuat persembahan ketika patung gergasi Bali yang dikenali sebagai Ogoh-ogoh diarak oleh peserta semasa Festival Saparan Bekakak, yang diadakan bagi memohon keselamatan serta menolak bala dan roh jahat, di Sleman, Yogyakarta, pada 8 Ogos 2025.  - Foto AFP

DENPASAR: Kementerian Imigresen dan Perkhidmatan Pemasyarakatan Indonesia menubuhkan pasukan khas untuk memantau pelancong asing yang berkelakuan tidak wajar di Bali, susulan peningkatan laporan pelanggaran imigresen dan aktiviti jenayah melibatkan warga asing di pulau pelancongan popular itu.

Pasukan khas yang dianggotai 100 pegawai imigresen ini akan menjalankan rondaan berkala dan rawak menggunakan motosikal serta kereta di 10 kawasan tumpuan pelancong, termasuk Canggu di Kuta Utara, Seminyak, Kerobokan, Pelabuhan Matahari Terbit dan Benoa, Pecatu, Pantai Mertasari, Kuta, Gianyar, Nusa Dua dan Jimbaran.

Pegawai terlibat akan memakai jaket keselamatan dan dilengkapi kamera badan ketika bertugas.

Menteri Imigresen, Encik Agus Andrianto, berkata pasukan khas ini diwujudkan bagi memberikan respons segera terhadap pelanggaran yang dilakukan pelancong antarabangsa, menghalang kesalahan imigresen dan melindungi keselamatan komuniti tempatan, lapor The Jakarta Post.

“Inisiatif ini adalah tindak balas langsung terhadap mandat Presiden Prabowo Subianto untuk mengekalkan kestabilan dan keselamatan di Bali, salah satu destinasi pelancongan utama Indonesia,” kata Encik Agus pada majlis pelancaran pasukan khas itu di Denpasar.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Bali menyaksikan peningkatan ketara kes pelanggaran imigresen oleh warga asing, kebanyakannya berpunca daripada fenomena pelancongan berlebihan.

Kesalahan paling kerap dilaporkan termasuk pelancong yang tinggal melebihi tempoh visa serta menjalankan perniagaan tanpa lesen, seperti menyewa vila, motosikal atau menjadi pemandu pelancong tidak rasmi.

Selain itu, pelancong asing juga sering dilaporkan berkelakuan tidak wajar di tempat awam dan tidak menghormati adat setempat.

Lonjakan kedatangan pelancong turut disertai peningkatan kes jenayah.

Antara kes terkini, seorang lelaki warga Australia ditahan selepas didakwa mencuri kereta milik penduduk tempatan dan membakarnya.

Dalam insiden lain, dua warga Azerbaijan dan Uzbekistan ditangkap kerana disyaki merompak pengurup.

Pada Jun lalu, tiga warga asing ditahan kerana menembak dua lelaki Australia di sebuah vila di Badung, menyebabkan seorang maut.

Pada Disember 2024 pula seorang lelaki Ukraine berusia 48 tahun diculik dan dirompak di Kuta.

Polis Bali melaporkan seramai 226 warga asing terlibat dalam jenayah di pulau itu pada 2024, meningkat 16 peratus berbanding 194 orang pada tahun sebelumnya.

Kebanyakan pesalah adalah warganegara Amerika Syarikat, diikuti Australia, Russia dan Britain.

Bali juga dikenal pasti sebagai hab penting penyeludupan dadah rentas negara.

Agensi Narkotik Kebangsaan Indonesia mengesan penglibatan kartel Amerika Selatan, rangkaian dadah Ukraine dan Russia, serta jaringan dari Segi Tiga Emas di Myanmar, Laos, Thailand dan Bulan Sabit Emas yang merangkumi Afghanistan, Pakistan dan Iran.

Pada 2024, polis Bali menahan lebih 1,300 individu atas kesalahan dadah, peningkatan hampir 23 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merampas 21 kilogram syabu, lebih 18,000 pil ecstasy, serta hampir 90 kilogram ganja.

Pemangku Ketua Pengarah Imigresen, Encik Yuldi Yusman, menegaskan operasi rondaan ini akan dipertingkat bukan sahaja di Bali tetapi di seluruh negara.

“Operasi rondaan ini penting untuk mengekalkan keselamatan negara dan ketenteraman awam, menghalang potensi pelanggaran, dan mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan imigresen kami,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg