Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 1,000 murid di Jawa Barat keracunan makanan percuma sekolah

Sep 25, 2025 | 2:06 PM
Muhammad Setiawan Pratama, 11 tahun, seorang murid sekolah rendah, menerima rawatan akibat keracunan makanan selepas memakan hidangan percuma tajaan kerajaan di sebuah klinik sementara dalam dewan daerah di Bandung, wilayah Jawa Barat, Indonesia, 25 September 2025.
Muhammad Setiawan Pratama, 11 tahun, seorang murid sekolah rendah, menerima rawatan akibat keracunan makanan selepas memakan hidangan percuma tajaan kerajaan di sebuah klinik sementara dalam dewan daerah di Bandung, wilayah Jawa Barat, Indonesia, 25 September 2025. - Foto REUTERS

JAWA BARAT: Lebih 1,000 murid di wilayah Jawa Barat, Indonesia, dilaporkan mengalami keracunan makanan minggu ini selepas menikmati hidangan percuma sekolah, sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai keselamatan program makanan percuma bernilai berbilion rupiah yang menjadi projek utama Presiden Prabowo Subianto.

Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi, mengesahkan pada 25 September bahawa kejadian keracunan itu berlaku di empat kawasan berbeza di wilayahnya. “Kita mesti menilai semula pihak yang mengendalikan program ini… yang paling penting ialah menangani trauma pelajar selepas makan makanan itu,” katanya kepada Reuters, sambil menambah hospital-hospital kecil di Bandung Barat tidak mampu menampung lonjakan pesakit.

Insiden terbaru ini berlaku hanya seminggu selepas 800 pelajar di Jawa Barat dan Sulawesi Tengah juga dilaporkan jatuh sakit selepas memakan hidangan percuma.

Program makanan percuma Prabowo, yang bertujuan menyediakan makanan berkhasiat kepada pelajar, kini menerima kritikan kerana kekurangan kawalan kualiti walaupun berkembang pesat meliputi lebih 20 juta penerima.

Pemerintah bercadang meningkatkan capaian kepada 83 juta rakyat menjelang akhir tahun dengan bajet yang akan digandakan kepada 171 trilion rupiah (S$13 bilion) pada 2026.

Di Bandung Barat, lebih 470 murid jatuh sakit pada 22 September selepas makan hidangan percuma, manakala tiga kejadian lain berlaku pada 24 September di kawasan sama dan di Sukabumi, menjejaskan sekurang-kurangnya 580 kanak-kanak.

Akibat krisis itu, pemerintah tempatan mengisytiharkan status darurat kesihatan bagi membolehkan dana kecemasan digunakan.

Rakaman televisyen tempatan Kompas TV menunjukkan dewan sukan di Bandung Barat dijadikan pusat rawatan sementara, dengan murid-murid terbaring di katil lipat malah ada yang dirawat di lantai kerana kekurangan ruang hospital.

Beberapa murid juga terpaksa dirawat di luar bangunan hospital sementara ambulans berulang-alik membawa pesakit baru.

Ketua Agensi Pemakanan Nasional, Dr Dadan Hindayana, berkata dapur-dapur yang terbabit dengan kes keracunan telah dihentikan operasinya buat sementara waktu. “Kami menggantung dapur yang terlibat supaya siasatan dapat dijalankan dan keselamatan makanan dipastikan,” ujarnya.

Menurut Gabenor Mulyadi, antara punca utama ialah beban penyediaan makanan yang terlalu besar dan lokasi dapur yang jauh dari sekolah, menyebabkan proses memasak bermula terlalu awal. “Makanan dimasak sejak malam, kemudian diletakkan panas-panas di dalam dulang yang ditutup rapat. Ini menjadikannya cepat basi,” katanya.

Pemantauan oleh badan pemikir Rangkaian Pemantauan Pendidikan mendapati sebelum kejadian minggu ini, sekurang-kurangnya 6,452 kanak-kanak di seluruh negara telah mengalami keracunan sejak program dilancarkan Januari lalu.

Insiden besar-besaran ini memberi tekanan kepada pemerintahan Prabowo untuk memperketat pengawasan kualiti makanan. Pertubuhan bukan pemerintah menyeru agar program digantung sementara demi keselamatan pelajar. “Program ini baik niatnya, tetapi keselamatan anak-anak harus menjadi keutamaan,” kata seorang aktivis pendidikan tempatan. - Agensi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg