Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi umum 29 April tarikh akhir kepulangan umrah jelang musim haji

Apr 9, 2025 | 10:35 AM
Pemandangan dari udara umat Islam menunaikan solat pada 26 Mac di  Masjidil Haram sempena 27 Ramadan.
Pemandangan dari udara umat Islam menunaikan solat pada 26 Mac di Masjidil Haram sempena 27 Ramadan. - Foto AFP

JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan 29 April 2025 sebagai tarikh akhir untuk semua jemaah umrah asing meninggalkan negara itu.

ia sejajar dengan peralihan tumpuan kepada persiapan musim haji yang bakal menjelang.

Dalam satu kenyataan rasmi, kementerian turut menetapkan 13 April sebagai tarikh akhir kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi.

Jemaah yang gagal keluar dari negara tersebut selepas 29 April akan dianggap melanggar peraturan visa dan ibadah, serta bakal berdepan tindakan undang-undang.

“Tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan merupakan satu kesalahan undang-undang dan akan dikenakan hukuman maksimum,” tegas kenyataan itu.

Denda sehingga 100,000 riyal ($35,954) boleh dikenakan terhadap individu, syarikat, dan pengendali umrah yang gagal memastikan jemaah mereka pulang mengikut jadual.

Kadar denda itu meningkat empat kali ganda berbanding jumlah sebelumnya sebanyak 25,000 riyal.

Malah, pengendali umrah yang melanggar peraturan boleh digantung kuota mereka untuk musim umrah dan haji akan datang.

Kementerian turut menekankan kegagalan melaporkan jemaah yang masih berada di negara itu selepas tarikh yang dibenarkan akan menyebabkan penalti maksimum dikenakan.

Langkah penggantungan sementara terhadap umrah bagi jemaah antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada dasar jangka panjang bagi memastikan kelancaran pengurusan jemaah haji, termasuk dari segi logistik, keselamatan, dan kawalan kesesakan.

Beberapa jam sebelum pengumuman tarikh akhir itu, Arab Saudi turut mengumumkan penggantungan sementara pemberian visa jangka pendek kepada warganegara 14 negara, termasuk India, Pakistan, Mesir, Indonesia, Jordan, Nigeria dan Maghribi, yang berkuat kuasa 13 April.

Visa yang terjejas termasuk visa pelancong, lawatan perniagaan dan visa keluarga.

Haji dijangka bermula pada petang 6 Jun 2025 dan berakhir pada 11 Jun, bergantung kepada penampakan anak bulan.

Pelaksanaan larangan visa dan kawalan ketat itu jelas menunjukkan komitmen Arab Saudi dalam memastikan kelancaran dan keselamatan ibadah haji 2025, yang bakal menghimpunkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Sementara itu, musim puncak umrah yang berlangsung selama lima minggu dari 1 Mac hingga 5 April telah mencatat rekod 5.3 juta ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Lapangan Terbang Jeddah, Encik Mazen Johar, kejayaan itu dicapai hasil perancangan operasi yang teliti dan kerjasama pelbagai pihak.

“Tanpa rahmat Allah swt, arahan kepimpinan negara dan pengawasan berterusan dari Wilayah Makkah serta pihak berkuasa penerbangan awam, mustahil perancangan operasi lapangan terbang ini dapat dilaksanakan dengan sempurna,” kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg