Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia keluarkan amaran awal tsunami susulan gempa di Russia

Jul 30, 2025 | 4:26 PM
Gambar rakaman video dari dron yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Geofizik Akademi Sains Russia pada 30 Julai 2025 ini menunjukkan kawasan Severo-Kurilsk di Pulau Paramushir, utara Kepulauan Kuril, Russia yang dilanda tsunami.
Gambar rakaman video dari dron yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Geofizik Akademi Sains Russia pada 30 Julai 2025 ini menunjukkan kawasan Severo-Kurilsk di Pulau Paramushir, utara Kepulauan Kuril, Russia yang dilanda tsunami. - Foto AFP

JAKARTA: Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengeluarkan amaran awal tsunami pada pagi 30 Julai susulan gempa bumi kuat dengan magnitud 8.7 yang menggegarkan pesisir timur Semenanjung Kamchatka, Russia.

Gempa tersebut, yang berlaku pada jam 6:24 pagi waktu Indonesia Barat, dikesan pada kedalaman cetek 18 kilometer dan berpotensi menghasilkan gelombang tsunami kecil yang boleh menjejaskan beberapa kawasan pesisir di Indonesia.

Menurut Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Encik Daryono, gempa itu berlaku akibat pergerakan lapisan kerak bumi di dasar laut, di kawasan Palung Kuril-Kamchatka iaitu zon pertembungan antara dua plat tektonik. Beliau menjelaskan bahawa jenis gempa ini dikenali sebagai gempa sesar naik, di mana satu kerak bumi menolak ke atas kerak yang lain. “Ini adalah jenis gempa yang sering menyebabkan tsunami kerana pergerakan menegak dasar laut boleh menolak air laut secara tiba-tiba,” katanya.

“Meskipun pusat gempa berada di luar wilayah Indonesia, pemodelan kami menunjukkan kemungkinan gelombang tsunami setinggi kurang dari 0.5 meter sampai ke beberapa kawasan pesisir timur Indonesia,” kata Encik Daryono dalam kenyataan rasmi pagi ini.

Antara kawasan yang berada dalam status berjaga-jaga termasuk:

Kepulauan Talaud – dijangka terjejas sekitar jam 2:52 petang waktu Indonesia Tengah (WITA)
Kota Gorontalo – 4:39 petang (WITA)
Halmahera Utara – 4:04 petang waktu Indonesia Timur (WIT)
Manokwari – 4:08 petang (WIT)
Raja Ampat – 4:18 petang (WIT)
Biak Numfor dan Supiori – 4:21 petang (WIT)
Sorong Utara – 4:24 petang (WIT)
Jayapura dan Sarmi – 4:30 petang (WIT)

Encik Daryono menasihati penduduk di kawasan pesisir yang terlibat agar tetap tenang dan menjauhi pantai sehingga pengumuman rasmi selanjutnya dikeluarkan oleh BMKG.
“Kami mohon masyarakat tidak panik, tetapi tetap waspada. Jauhi pantai buat sementara waktu dan ikuti hanya maklumat rasmi dari BMKG,” tegas beliau.

Setakat jam 8:30 pagi waktu Jakarta, BMKG telah mengesan tujuh gempa susulan di sekitar kawasan tersebut, dengan magnitud antara 5.4 hingga 6.9. Bagaimanapun, Encik Daryono menjelaskan bahawa tiada isyarat tsunami besar yang mengarah ke Indonesia setakat ini.

Amaran ini dikeluarkan secara berhati-hati susulan potensi ancaman gelombang laut yang dihasilkan oleh aktiviti gempa bumi laut dalam yang melibatkan plat tektonik aktif.

BMKG turut mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih yang berlegar di media sosial. “Jangan mudah percaya dengan khabar angin atau video yang tidak disahkan. Pastikan maklumat hanya diperoleh daripada sumber rasmi BMKG,” ujar Encik Daryono lagi.

Selain Indonesia, Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) turut mengeluarkan amaran bahawa gempa tersebut berpotensi mencetuskan tsunami ke beberapa wilayah lain termasuk Russia, Jepun, Alaska, Hawaii, Filipina dan Guam.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada laporan kerosakan bangunan atau infrastruktur di wilayah Indonesia yang berkait dengan kejadian ini. Namun begitu, pihak berkuasa terus memantau perkembangan situasi secara berterusan.

“Kami akan terus kemas kini maklumat seiring data baharu masuk. Keutamaan kami ialah keselamatan orang ramai, khususnya mereka yang berada di kawasan pesisir timur,” kata jurucakap BMKG. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg