Indonesia mahu jadi ‘orang tengah jujur’ dalam rundingan konflik Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia mahu jadi ‘orang tengah jujur’ dalam rundingan konflik Iran

Mar 6, 2026 | 2:23 PM

Indonesia mahu jadi ‘orang tengah jujur’ dalam rundingan konflik Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
indonesia, iran, rundingan konflik
Rakyat Indonesia berkumpul di kediaman rasmi Duta Iran di Jakarta pada 5 Mac, dalam satu majlis bagi menyatakan solidariti susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran. - Foto BH oleh ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA

Walaupun Iran menolak rundingan dengan Amerika Syarikat dan Israel selepas serangan ketenteraan pada akhir Februari yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta beberapa anggota keluarganya, Indonesia berkata ia bersedia menjadi pengantara konflik tersebut secara berkecuali.

“Indonesia mahu menjadi orang tengah yang jujur, bukan sebagai pihak yang memihak kepada mana-mana pihak,” kata Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Pasifik Kementerian Luar Indonesia, Encik Santo Darmosumarto, dalam satu taklimat media pada 6 Mac.

Namun beliau menegaskan bahawa peranan itu hanya boleh dilaksanakan jika semua negara yang terlibat dalam konflik tersebut memintanya.

Menurutnya, butiran mengenai bagaimana proses pengantaraan itu akan dijalankan perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan negara yang terlibat.

Duta Iran ke Indonesia, Encik Mohammad Boroujerdi, mengakui bahawa pemerintah Indonesia telah menyampaikan cadangan untuk menjadi pengantara dalam konflik tersebut.

Terdahulu Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, berkata beliau telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Iran, Encik Abbas Araghchi, pada 2 Mac lalu bagi menyatakan kesediaan Indonesia membantu meredakan konflik.

Menurut Encik Sugiono, dialog dan diplomasi merupakan satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk memastikan kestabilan serantau.

Namun Encik Boroujerdi menegaskan bahawa Iran tidak berminat untuk mengadakan rundingan dengan pihak yang dianggap bermusuhan.

“Kami ingin menyatakan bahawa kami tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk rundingan dengan pihak yang bermusuhan kerana kami tidak lagi mempercayai rundingan,” kata beliau kepada media dalam satu sidang akhbar selepas majlis memperingati kematian Khamenei di kediaman rasminya pada malam 5 Mac.

Menurutnya, Iran telah melalui rundingan sebanyak tiga kali sebelum ini, tetapi setiap kali rundingan tersebut berakhir dengan ketegangan yang akhirnya membawa kepada serangan terhadap Iran.

Encik Santo pula berkata pemerintah Indonesia sedang memantau semua kenyataan daripada pihak-pihak yang terlibat berhubung cadangan pengantaraan tersebut.

Menurutnya, Indonesia juga sedang menghubungi negara berkaitan untuk melihat bagaimana negara itu boleh memainkan peranan sebagai orang tengah yang jujur.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Encik Yvonne Mewengkang, berkata Presiden Indonesia telah menawarkan untuk memudah cara dialog jika semua pihak bersetuju.

“Presiden telah menawarkan untuk memudahkan dialog mengenai situasi semasa jika dipersetujui oleh semua pihak. Ini selaras dengan dasar luar bebas dan aktif Indonesia yang terus menggalakkan penyelesaian secara aman serta mengelakkan konflik daripada terus berkembang,” katanya.

Sementara itu pada 5 Mac, ratusan rakyat Indonesia termasuk tokoh agama Islam dan aktivis masyarakat sivil menghadiri majlis memperingati kematian Encik Khamenei.

Antara yang hadir ialah mantan Timbalan Menteri Luar Indonesia Encik Dino Patti Djalal; mantan Pengerusi Muhammadiyah Encik Din Syamsuddin dan aktivis hak asasi manusia Encik Abraham Samad yang juga mantan Ketua Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah (KPK) Indonesia.

Para hadirin, kebanyakannya berpakaian hitam, menulis ucapan takziah di dua papan besar yang disediakan dan meletakkan bunga mawar merah dan putih di atas meja yang dihiasi gambar Khamenei serta replika pakaiannya.

Encik Abraham berkata kehadiran orang ramai pada majlis tersebut menunjukkan solidariti dalam kalangan umat Islam.

“Saya melihat ini sebagai satu bentuk solidariti dalam kalangan umat Islam. Ramai orang masih membahagikan umat Islam kepada Syiah dan Sunni, tetapi Iran sering dilihat sebagai antara negara yang secara terbuka menyuarakan sokongan kuat terhadap Palestin sepenuhnya,” katanya kepada Berita Harian selepas majlis tersebut.

Pengerusi Majlis Syura Ahlul Bait Indonesia (ABI), Encik Hussein Shahab, turut memimpin hadirin membaca Surah Yasin.

ABI merupakan sebuah pertubuhan Islam di Indonesia yang mewakili dan memperjuangkan pengikut tradisi Ahlul Bait yang berkait rapat dengan mazhab Syiah.

Menurut Encik Hussein, luahan simpati rakyat Indonesia terhadap kematian Encik Khamenei mengingatkan kepada situasi ketika Imam Khomeini meninggal dunia pada 1989 apabila ramai rakyat Indonesia turut menyampaikan ucapan takziah.

Beliau menambah bahawa perbezaan mazhab antara Syiah di Iran dan majoriti Sunni di Indonesia tidak menjadi penghalang kepada hubungan masyarakat.

“Walaupun Iran sering dikaitkan dengan Syiah dan Indonesia majoritinya Sunni, perbezaan itu tidak menjadi halangan. Indonesia ialah negara yang masyarakatnya pelbagai dan secara umumnya sangat bertoleransi,” katanya.

Majoriti umat Islam di Indonesia berpegang kepada mazhab  Ahli Sunah Waljamaah  yang diwakili oleh organisasi besar seperti Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah.

Umat Islam Syiah pula dianggarkan membentuk kira-kira dua peratus daripada jumlah keseluruhan umat Islam di negara itu.

Menurut Encik Hussein, masyarakat Syiah di Indonesia hidup seperti komuniti Muslim lain walaupun berpegang kepada tradisi yang berbeza.

“Umat Syiah juga rakyat Indonesia seperti orang lain. Tiada apa yang luar biasa tentang mereka. Mereka mempunyai masjid, sekolah dan juga hospital seperti komuniti lain, cuma aliran keagamaan mereka berbeza,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg