Indonesia tangguh perbincangan Lembaga Keamanan susulan konflik Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tangguh perbincangan Lembaga Keamanan susulan konflik Iran

Mar 4, 2026 | 11:23 AM

Indonesia tangguh perbincangan Lembaga Keamanan susulan konflik Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penunjuk perasaan memegang plakad membantah rancangan menghantar tentera Indonesia ke Gaza ketika satu demonstrasi di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta, Indonesia, pada 3 Mac 2026. Puluhan penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut pemerintah Indonesia membatalkan penyertaan negara itu dalam “Lembaga Keamanan” yang disokong oleh Amerika Syarikat.
Penunjuk perasaan memegang plakad membantah rancangan menghantar tentera Indonesia ke Gaza ketika satu demonstrasi di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta, Indonesia, pada 3 Mac 2026. Puluhan penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut pemerintah Indonesia membatalkan penyertaan negara itu dalam “Lembaga Keamanan” yang disokong oleh Amerika Syarikat. - Foto EPA

JAKARTA: Perbincangan Indonesia berkaitan penyertaan negara itu dalam inisiatif Lembaga Keamanan (BoP) kini ditangguhkan sementara apabila perhatian pemerintah tertumpu kepada konflik yang semakin memuncak antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, berkata perkembangan perang di Asia Barat telah mengubah keutamaan diplomatik Jakarta buat masa ini. “Perbincangan mengenai Lembaga Keamanan buat masa ini berada dalam keadaan tertangguh kerana perhatian banyak tertumpu kepada konflik yang melibatkan Iran,” katanya kepada wartawan selepas satu taklimat lewat malam pada 3 Mac.

Taklimat itu diadakan selepas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengadakan pertemuan luar biasa di Istana Negara bersama bekas presiden, bekas naib presiden serta pemimpin politik kanan bagi membincangkan perkembangan geopolitik global yang semakin tegang.

Encik Sugiono berkata Indonesia bagaimanapun terus berunding dengan rakan antarabangsa mengenai perkembangan tersebut. “Kami masih berunding dengan rakan-rakan kami, termasuk negara di Teluk, kerana mereka juga terkesan oleh serangan yang berlaku dan sebahagian daripada mereka adalah anggota Lembaga Keamanan,” katanya.

Lembaga Keamanan merupakan inisiatif yang dilancarkan Presiden Donald Trump, bagi menangani situasi pascaperang di Gaza.

Dalam kerangka cadangan itu, satu pasukan penstabilan antarabangsa dicadangkan bagi membantu memulihkan keamanan di wilayah Palestin. Indonesia sebelum ini berikrar untuk menyumbang sehingga 8,000 anggota pengaman sebagai sebahagian daripada pasukan multinasional di bawah rancangan tersebut.

Namun penyertaan Indonesia dalam inisiatif itu telah mencetuskan perdebatan hangat di dalam negara. Majlis Ulama Indonesia (MUI), badan autoriti Islam tertinggi negara itu, dalam satu kenyataan pada 1 Mac menggesa pemerintah menarik diri daripada forum tersebut. Menurut MUI, Lembaga Keamanan dianggap tidak berkesan dalam memperjuangkan kemerdekaan sebenar bagi Palestin.

Dalam taklimat kepada pemimpin politik, Presiden Prabowo turut memberikan gambaran yang dianggap serius mengenai keadaan geopolitik dunia. Bekas Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, yang hadir dalam pertemuan itu berkata presiden menekankan bahawa sistem antarabangsa yang dipimpin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini semakin sukar mengekang kuasa besar dunia.

Presiden menjelaskan bahawa peraturan antarabangsa semakin kehilangan kuasa penguatkuasaan apabila kuasa besar sendiri terlibat dalam konflik,” kata Encik Hassan kepada media tempatan. Menurut beliau, Encik Prabowo berhujah bahawa keadaan itu menyebabkan mekanisme diplomatik tradisional sukar berfungsi secara berkesan.

Oleh itu, Indonesia memilih untuk turut terlibat dalam forum alternatif seperti Lembaga Keamanan.

Beberapa pemimpin parti politik yang menghadiri taklimat tersebut berkata presiden mengakui penyertaan dalam forum itu bukanlah pilihan yang sempurna, namun ia dilihat sebagai langkah paling praktikal dalam keadaan geopolitik semasa.

Mereka menegaskan bahawa langkah itu tidak bermakna Indonesia meninggalkan prinsip dasar luar negaranya yang terkenal sebagai “bebas dan aktif.

Encik Sugiono turut mengesahkan bahawa Presiden Prabowo membincangkan risiko konflik Asia Barat yang berpanjangan terhadap ekonomi global. Menurut beliau, presiden telah mengarahkan kementerian berkaitan untuk menilai kesan ekonomi yang mungkin berlaku kepada Indonesia.

“Presiden meminta kementerian membuat perhitungan terhadap kemungkinan kesan ekonomi serta memastikan kesiapsiagaan dalam aspek keselamatan makanan, ketahanan tenaga dan pertahanan negara,” katanya.

Pada masa sama, Encik Sugiono berkata beliau telah berhubung dengan beberapa pihak termasuk Amerika Syarikat dan Iran. Beliau menegaskan bahawa Indonesia bersedia memainkan peranan sebagai pengantara jika kedua-dua pihak bersedia. “Kami menegaskan bahawa Indonesia sedia memainkan peranan yang konstruktif untuk memajukan usaha damai,” katanya.

Pemerintah Indonesia juga sedang membuat persiapan bagi memindahkan rakyatnya dari Tehran susulan konflik yang semakin memuncak. Encik Sugiono berkata sekitar 15 rakyat Indonesia dijangka dipindahkan dari ibu negara Iran itu.

Namun beliau menjelaskan bahawa operasi pemindahan tersebut berdepan cabaran logistik kerana penutupan ruang udara serta keperluan perjalanan darat. “Kami sedang menilai semua pilihan logistik bagi memastikan keselamatan rakyat Indonesia,” katanya.

Walaupun pemerintah cuba mengambil pendekatan berhati-hati, tekanan domestik terhadap penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan semakin meningkat. Ahli Parlimen dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Encik Oleh Soleh, mengkritik respons pemerintah terhadap konflik tersebut kerana dianggap terlalu lembut. “Saya menggesa pemerintah berada di barisan hadapan untuk mendesak sekatan terhadap Israel dan Amerika Syarikat,” katanya seperti dilaporkan Tempo.

Seorang lagi ahli Parlimen dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Encik TB Hasanuddin, turut menggesa Jakarta menarik diri daripada Lembaga Keamanan. Beliau berkata langkah itu penting untuk mempertahankan prinsip dasar luar Indonesia.

“Indonesia telah menyatakan komitmen terhadap inisiatif ini, tetapi jika ia berlarutan dan menimbulkan masalah lebih besar, pemerintah perlu segera mengambil langkah untuk keluar,” katanya. Encik
Hasanuddin turut memberi amaran bahawa kedudukan semasa Indonesia boleh menimbulkan persepsi bahawa negara itu menyokong kepentingan Amerika dan Israel.

Pakar Asia Barat dari Universiti Indonesia, Yon Machmudi, menyifatkan kedudukan Indonesia dalam Lembaga Keamanan sebagai satu dilema diplomatik. “Bagaimana lembaga ini boleh menawarkan keamanan yang adil di Gaza jika pengerusinya dan beberapa anggotanya terlibat dalam peperangan?” katanya.

Namun pakar hubungan antarabangsa Universiti Budi Luhur, Encik Andrea Abdul Rahman Azzqy, mempunyai pandangan berbeza. Menurut beliau, jika Indonesia menarik diri sepenuhnya daripada Lembaga Keamanan, langkah itu boleh melemahkan reputasi negara sebagai pengantara keamanan.

“Pilihan yang lebih strategik ialah Indonesia terus terlibat tetapi menetapkan had yang jelas terhadap penyertaannya,” kata Encik Andrea. Beliau menegaskan bahawa Jakarta harus memberi tumpuan kepada usaha diplomasi dan bantuan kemanusiaan berbanding komitmen ketenteraan.

Bekas Duta Besar Indonesia ke Amerika Syarikat, Encik Dino Patti Djalal, turut mencadangkan supaya Indonesia menangguhkan rancangan menghantar tentera ke Gaza. Menurut beliau, langkah itu boleh menjadi isyarat bahawa Indonesia kekal sebagai negara yang berpegang kepada prinsip dalam diplomasi antarabangsa. “Kita perlu menunjukkan bahawa Indonesia adalah negara berprinsip yang tidak mudah dipengaruhi oleh kuasa besar,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg