Pemimpin agama desak Indonesia undur daripada Lembaga Keamanan diteraju Trump

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin agama desak Indonesia undur daripada Lembaga Keamanan diteraju Trump

Mar 3, 2026 | 1:58 PM

Pemimpin agama desak Indonesia undur daripada Lembaga Keamanan diteraju Trump

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
perang, Iran, Indonesia, MUI
Potret Pemimpin Tertinggi Iran yang telah meninggal dunia, Ayatollah Ali Khamenei, dipamerkan di Pusat Kebudayaan Islam, di Jakarta, Indonesia, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran. - Foto REUTERS

Pemimpin agama di Indonesia menggesa pemerintah menarik diri daripada Lembaga Keamanan (BoP) yang diterajui Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

Dalam masa yang sama, Indonesia menyatakan kesediaan untuk bertindak sebagai pengantara bagi membantu meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menteri Luar, Encik Sugiono, berkata pada 3 Mac, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya, Menteri Luar Iran, Encik Seyed Abbas Araghchi, pada 2 Mac bagi menyatakan kesediaan Indonesia memudah cara dialog bagi mengelakkan konflik terus memuncak.

Encik Sugiono berkata, “dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk kestabilan serantau”.

“Indonesia bersedia memainkan peranan membina dalam memajukan keamanan, termasuk menawarkan kesediaan untuk memudah cara dialog atau pengantaraan, dengan matlamat bersama untuk mencegah peningkatan konflik dan menghentikan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah,” kata Encik Sugiono menerusi akaun rasmi kementerian di wadah X.

Namun begitu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Persekutuan Gereja-Gereja di Indonesia (PGI) mempersoalkan penglibatan Indonesia dalam BoP yang dipimpin Encik Trump.

Mereka berpendapat penubuhan lembaga itu menimbulkan persoalan sama ada benar-benar bertujuan mewujudkan keamanan yang adil di Gaza dan di Timur Tengah.

Pengerusi MUI, Encik Anwar Iskandar, dalam kenyataan bertarikh 1 Mac, berkata peranan dominan Amerika dalam BoP menimbulkan keraguan sama ada ia benar-benar satu mekanisme strategik untuk mencapai keamanan yang adil.

“Adakah ia benar-benar satu usaha untuk mencapai keamanan yang saksama, atau sebenarnya mengukuhkan seni bina keselamatan yang tidak seimbang dan menenggelamkan kemerdekaan Palestin?

“Jika itu keadaannya, MUI menggesa pemerintah Indonesia menarik balik keanggotaan daripada BoP kerana ia dilihat tidak berkesan dalam mencapai kemerdekaan sebenar Palestin,” katanya.

MUI turut menyatakan serangan bersama Amerika-Israel ke atas Iran yang mencetuskan konflik serantau membabitkan pelbagai kuasa menunjukkan BoP tidak berfungsi seperti yang diisytiharkan untuk mewujudkan keamanan dan memastikan Palestin mencapai kemerdekaan sebenar.

Pengerusi Majlis Penasihat PGI, Reverend Gomar Gultom, turut mempertikaikan penyertaan Indonesia dalam BoP.

Beliau menyifatkan BoP lebih menyerupai instrumen peribadi Encik Trump untuk mengabsahkan agenda sekutunya di Asia Barat, khususnya dalam konflik Israel dan Palestin.

“Saya telah menggesa presiden supaya menarik diri daripada lembaga itu jauh sebelum perang semasa tercetus. Ini pandangan peribadi saya, tetapi ia selari dengan pendirian PGI yang dibincangkan dalam perhimpunan kami bulan lalu di Merauke,” katanya seperti dipetik portal, Detik.com.

Beliau menambah, kecenderungan BoP yang dilihat lebih memihak kepada Israel, dengan memasukkan Israel dalam usaha damai tetapi tidak memberikan ruang setara kepada Palestin, menjadikannya “jelas berat sebelah” dan tidak berupaya mewujudkan keamanan kerana keamanan tidak mungkin tercapai tanpa keadilan.

Penentangan terhadap penyertaan Indonesia dalam BoP turut disuarakan puluhan ahli akademik, aktivis dan kumpulan masyarakat sivil menyusuli perang ke atas Iran.

Pada 1 Mac, kumpulan berkenaan mengeluarkan satu petisyen bersama menggesa pemerintah dan Dewan Perwakilan Rakyat menilai semula persetujuan Indonesia terhadap Piagam BoP.

Mereka mendakwa piagam tersebut tidak mencerminkan mandat Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung usaha penyelesaian konflik Palestin.

Selain itu, mereka turut menegaskan bahawa piagam berkenaan tidak disertakan dengan pelan hala tuju yang menyeluruh untuk merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Petisyen itu ditandatangani 65 profesor universiti, ahli akademik dan aktivis hak asasi manusia, serta 79 organisasi masyarakat sivil.

Mereka juga menolak penghantaran anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) ke Gaza tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB, dengan alasan tindakan sedemikian di bawah mandat BoP tidak selari dengan Resolusi 2803.

Bekas Pengerusi Muhammadiyah, Encik Din Syamsuddin, turut menggesa pemerintah berpegang kepada amanat Perlembagaan untuk mengamalkan dasar luar bebas dan aktif serta tidak memihak kepada Amerika dan Israel.

“Presiden Prabowo diharapkan mempunyai keberanian untuk menegur Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Netanyahu supaya tidak bermain api dan mencetuskan perang,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam pada itu, kumpulan agama berkenaan turut mengecam serangan Israel dan Amerika ke atas Iran.

MUI merakamkan ucapan takziah atas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta menyatakan mereka memahami tindakan balas Iran yang menyasarkan pangkalan tentera di negara Teluk.

Menurut MUI, tindakan tersebut dilihat sebagai usaha mempertahankan diri yang mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa.

PGI menegaskan tindakan ketenteraan oleh semua pihak yang terlibat hanya “meluaskan lagi kitaran keganasan dan melemahkan keselamatan antarabangsa”.

Perkembangan itu menunjukkan tekanan dalam negara yang semakin memuncak terhadap pendirian Indonesia dalam inisiatif keamanan antarabangsa, terutama ketika konflik di Asia Barat kian meruncing dan melibatkan pelbagai kuasa serantau serta sejagat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg