Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia mahu runding tarif Trump dengan AS

Apr 4, 2025 | 3:31 PM
Presiden Indonesia Encik Prabowo Subianto mengarahkan Kabinetnya supaya memudahkan peraturan termasuk melonggarkan sekatan bukan tarif.
Presiden Indonesia Encik Prabowo Subianto mengarahkan Kabinetnya supaya memudahkan peraturan termasuk melonggarkan sekatan bukan tarif. - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia berikrar untuk melonggarkan peraturan perdagangan dalam pada ia berusaha berunding dengan Amerika Syarikat, susulan tarif 32 peratus yang dikenakan ke atas produk dari ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Presiden Prabowo Subianto mengarahkan Kabinetnya untuk memudahkan peraturan, termasuk melonggarkan sekatan bukan tarif, selepas Amerika mengumumkan tarif timbal balik ke atas Indonesia, kata Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan pada 3 April.

Pemerintah Indonesia kini sedang meneliti kesan tarif terutamanya terhadap industri yang bergantung kepada eksport seperti tekstil, elektronik dan minyak sawit, menurut kementerian itu.

Kementerian itu selanjutnya berkata, Indonesia akan menghantar delegasi ke Washington untuk merundingkan tarif baru yang dijadualkan berkuat kuasa pada 9 April.

“Ini selaras dengan usaha untuk meningkatkan daya saing, mengekalkan kepercayaan pemain pasaran dan menarik pelaburan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi,” kata kementerian itu lagi.

Dalam pada itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, telah mengadakan sidang video dengan Wakil Amerika Cik Carol Miller pada 1 April, sebelum pengumuman tarif dibuat oleh Presiden Donald Trump.

Mereka membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua negara, termasuk bidang makanan seperti kacang soya dan gandum, sektor ekonomi bersih seperti penyimpanan karbon, serta mineral kritikal.

Indonesia juga sedang berbincang dengan Malaysia, yang merupakan pengerusi semasa Asean, untuk bersama-sama mengambil langkah dalam menangani tarif, kata kementerian itu.

Amerika ialah salah satu rakan dagangan utama Indonesia, menyumbang lebihan perdagangan bukan minyak dan gas terbesar sebanyak AS$16.8 bilion ($22.4 bilion) pada 2025, menurut data rasmi.

Eksport utama Indonesia ke Amerika termasuk elektronik, tekstil, produk perikanan, kasut dan minyak sawit.

Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Indonesia Encik Eddy Martono menggesa pemerintah supaya mencari pasaran alternatif dan melonggarkan peraturan mengenai kewajipan pasaran domestik dan duti eksport untuk mengelak tarif Amerika.

Eksport minyak sawit ke Amerika mungkin terbantut disebabkan oleh levi yang lebih tinggi, kata Encik Martono dalam mesej telefon mudah alih. Indonesia menghantar 2.2 juta tan minyak sawit pada 2024.

Pengerusi Persatuan Majikan Indonesia, Cik Shinta Kamdani, turut menggesa pihak berkuasa membuat perjanjian dua hala baru dengan Amerika.

Sementara itu, pemerintah dan Bank Indonesia akan mengekalkan kestabilan bon pemerintah dan rupiah, serta kecairan pertukaran mata wang asing, kata Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg