WASHINGTON: Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengenakan tarif meluas mencipta ketidakpastian besar dan merosakkan keyakinan, namun ia tidak akan menyebabkan kemelesetan ekonomi, kata Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Cik Kristalina Georgieva.
Cik Georgieva, dalam temu bual utama pertama beliau sejak Encik Trump memegang jawatan, menekankan cabaran yang dihadapi ekonomi global, yang masih mencatatkan pertumbuhan mengecewakan selepas kesan daripada pandemik Covid-19, tetapi berpesan agar tidak terlalu cemas.
IMF dijangka menurunkan sedikit unjuran ekonomi dalam kemas kini Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) yang seterusnya dalam sekitar tiga minggu, tetapi “tidak menjangka kemelesetan ekonomi,” katanya dalam temu bual bersama Reuters pada 31 Mac.
“Indikator yang kami lihat menunjukkan keyakinan pengguna dan pelabur semakin lemah, yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan,” tambahnya.
Namun, IMF belum melihat kesan besar daripada tarif yang dikenakan atau diancam oleh Encik Trump sejak beliau kembali ke Rumah Putih.
Pada Januari, IMF meningkatkan anggaran pertumbuhan ekonomi global untuk 2025 kepada 3.3 peratus daripada 3.2 peratus pada Oktober 2024, dengan peningkatan utama pada unjuran Amerika kepada 2.7 peratus.
Cik Georgieva menjangka kemas kini WEO pada April akan menunjukkan sedikit penurunan anggaran pertumbuhan.
Walaupun kesannya sekarang sederhana, banyak negara sudah mempunyai tahap hutang tinggi akibat Covid-19, menyukarkan mereka menangani kejutan masa depan.
Sebarang pengurangan atau kebalikan dalam proses disinflasi (pengurangan kadar inflasi) boleh melambatkan penurunan kadar faedah dan menyukarkan negara membayar hutang mereka.
Perdagangan mungkin menjejas pertumbuhan Amerika, namun pandangan keseluruhannya masih “Okey”, kata Cik Georgieva.
Eropah mungkin meningkatkan unjuran pertumbuhannya akibat kenaikan perbelanjaan pertahanan dan keputusan Jerman membatalkan had hutangnya. China pula perlu fokus pada peningkatan penggunaan domestik, kata beliau.
Sejak Januari, Encik Trump mengenakan tarif 20 peratus ke atas semua barangan dari China, mengancam dan menangguhkan tarif 25 peratus ke atas barangan dari Canada dan Mexico, serta mengenakan tarif tinggi ke atas import besi, aluminium, dan kereta.
Beliau juga mengisytiharkan 2 April sebagai “Hari Pembebasan” untuk memperkenalkan tarif timbal balik global.
Pengumuman tidak menentu itu telah merosakkan keyakinan pelabur, menyebabkan indeks saham Amerika turun hampir 10 peratus sejak Februari kerana kebimbangan tarif akan memperlahankan pertumbuhan atau mencetuskan kemelesetan ekonomi.
Semakin lama ketidakpastian mengenai dasar tarif Encik Trump, semakin besar risiko kepada ekonomi, kata Cik Georgieva.
“Kejelasan lebih awal akan lebih baik, kerana ketidakpastian boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan,” tambahnya.
Cik Georgieva juga berkata perdagangan global terus berkembang walaupun dengan langkah perlindungan yang mencabar globalisasi, dan negara kecil semakin bekerjasama untuk meningkatkan daya tahan mereka.
Beliau berkata pertemuan “sangat membina” dirinya bersama Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, menunjukkan beliau memahami kepentingan IMF sebagai pemberi pinjaman terakhir global.
“Setiausaha Bessent menghargai mengapa IMF penting untuk ekonomi Amerika. Kami satu-satunya institusi yang mampu menyelamatkan negara dalam kesulitan,” katanya.
Cik Georgieva juga berkata Amerika mendapat pendapatan sekitar AS$3.2 bilion ($4.3 bilion) daripada sumbernya di IMF sepanjang dua tahun lalu, dengan sumber itu ibarat “akaun simpanan.”
IMF menghargai Amerika sebagai ekonomi terbesar dunia dan pemegang saham terbesar pada kadar 17.4 peratus.
“Amerika adalah rumah kami,” tambah Cik Georgieva. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg