Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia mula bina kompleks kampung Haji di Makkah pada 2026

Jan 9, 2026 | 12:22 PM
Haji, Indonesia, kompleks, dibina
Bahagian hadapan Novotel Makkah Thakher City, dirakam pada 13 Disember 2025. Kampung Haji Indonesia yang dirancang akan dibangunkan di kawasan Thakher di Makkah, berhampiran lokasi utama ibadah haji. - Foto DANANTARA INDONESIA

JAKARTA: Dana kekayaan berdaulat Indonesia, Danantara, mengumumkan bahawa kerja pembinaan awal bagi projek mega Kompleks Haji Indonesia di Makkah akan dimulakan pada tahun 2026 ini, menandakan langkah penting Indonesia untuk membangunkan sebuah “kampung” khusus bagi jemaahnya berhampiran Masjidil Haram.

Sebagai asas projek, Danantara telah memeterai perjanjian bernilai AS$500 juta ($642 juta) bagi memperoleh Novotel Makkah Thakher, sebuah hotel yang sudah beroperasi kira-kira 2.5 kilometer dari masjid tersebut.

Perjanjian itu turut merangkumi 14 plot tanah berkeluasan keseluruhan 4.4 hektar, yang akan dibangunkan dengan beberapa menara penginapan tambahan serta sebuah pusat beli-belah.

Danantara memaklumkan bahawa pembinaan di kawasan Thakher akan dimulakan dalam tempoh terdekat, walaupun tarikh tepat belum diumumkan, dengan sejumlah modal permulaan telah disediakan.

Ketua Pegawai Pelaburan Danantara, Encik Pandu Sjahrir, berkata pembangunan itu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.

“Fokus kami adalah memastikan setiap langkah dibuat secara berhemah, terukur dan memberi manfaat jangka panjang. Kompleks Haji ini dibangunkan sebagai projek strategik merentas generasi,” katanya.

Menurut Danantara, pembangunan tambahan di Thakher akan meningkatkan kapasiti penginapan daripada kira-kira 4,383 jemaah kepada sekitar 22,000 orang, bersamaan hampir 10 peratus kuota haji tahunan Indonesia. Menara-menara baru itu dijangka mula beroperasi sekitar 2029, tertakluk kepada kelulusan dan kesiapsiagaan projek.

Selain Thakher, Danantara turut menunggu keputusan bidaan bagi sebidang tanah strategik lain berhampiran Masjidil Haram di kawasan Hindawiyyah Barat.

Indonesia dilaporkan berada dalam kelompok dua pembida teratas daripada 90 peserta. Pihak berkuasa Arab Saudi akan memilih pelabur yang dinilai paling berkeupayaan membangunkan kawasan tersebut mengikut pelan induk Makkah.

Ketua Pegawai Eksekutif Danantara, Encik Rosan Roeslani, sebelum ini menjelaskan bahawa pembangunan lanjut kawasan Thakher sahaja dianggarkan menelan kos sehingga AS$800 juta, manakala tanah yang dibida mempunyai harga tetap AS$750 juta.

Digabungkan dengan pembelian Novotel, jumlah pelaburan yang diketahui bagi projek Kampung Haji ini mencecah sekitar AS$2 bilion.

“Kami tidak menyewa tanah ini. Ia kini milik pemerintah Indonesia melalui Danantara. Ini adalah tanah pertama di Makkah yang dimiliki oleh entiti bukan Saudi,” kata Encik Rosan pada Disember lalu.

Kerajaan Arab Saudi mula membenarkan pemilikan hartanah asing bermula Januari 2026, satu perubahan dasar penting yang membuka ruang pelaburan ini.

Dalam satu kenyataan bertulis, Encik Pandu berkata Danantara sedang melaksanakan dua skim pembangunan strategik secara selari. Skim pertama menumpukan pengukuhan asas projek di Thakher, manakala skim kedua melibatkan penyertaan dalam proses lelongan tapak strategik yang dikendalikan Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak Suci (RCMC).

“Kami membangunkan Kompleks Haji ini melalui pendekatan berfasa. Thakher menjadi asas awal kerana asetnya sudah tersedia dan sedia dibangunkan. Pada masa sama, kami menyertai bidaan RCMC bagi peluang yang lebih hampir dengan pusat aktiviti Haji dan Umrah,” katanya.

Selain penginapan, projek ini dirangka sebagai ekosistem bersepadu yang merangkumi kemudahan runcit, sokongan logistik dan perkhidmatan penting lain. “Kami mahu membina ekosistem, bukan sekadar hotel,” kata Encik Pandu, sambil menegaskan sasaran perkhidmatan yang mampan untuk jemaah Indonesia.

Menteri Haji dan Umrah, Encik Mochamad Irfan Yusuf, berkata Kampung Haji Indonesia tidak akan beroperasi bagi musim haji 2026. Beliau menganggarkan menara penginapan pertama boleh siap dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Kami berharap selewat-lewatnya pada 2028, sebahagian menara sudah boleh digunakan,” katanya.

Setiausaha Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, sebelum ini mengesahkan pemerintah Indonesia telah memperoleh pemilikan hotel dan tanah di Arab Saudi melalui proses lelongan, yang akan menjadi tapak masa depan Kampung Haji Indonesia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg