Pemerintah Indonesia menafikan dakwaan ia merancang membawa masuk sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin dari Gaza sebagai pekerja hijrahan bagi sektor pembinaan di negara itu.
Penafian itu dibuat selepas satu laporan mendakwa wujud rancangan antara Indonesia dengan Israel – dua negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik untuk memulakan program hijrahan sukarela yang melibatkan rakyat Gaza.
Laporan tersebut, yang diterbitkan oleh portal, Jewish News Syndicate (JNS), pada 26 Mac menyatakan bahawa inisiatif itu akan membolehkan sekitar 100 warga Palestin datang secara sukarela ke Indonesia bagi bekerja dalam sektor pembinaan.
Menurut JNS, rancangan itu dikatakan dipantau oleh Penyelaras Kegiatan Pemerintah di Wilayah (Cogat) yang diketuai oleh Mejar Jeneral Ghassan Alian, merujuk kepada laporan daripada saluran berita berbahasa Ibrani, Channel 12 News.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 27 Mac, jurucakap Kementerian Luar, Encik Rolliansyah Soemirat, berkata pemerintah Indonesia tidak pernah membincangkan sebarang rancangan untuk memindahkan rakyat Gaza ke negara itu bersama mana-mana pihak, mahupun menerima maklumat berkaitan perkara tersebut.
“Kami ingin mengesahkan sekali lagi tidak pernah wujud perbincangan sedemikian, apatah lagi sebarang persetujuan antara Indonesia dengan mana-mana pihak berkenaan isu ini,” katanya.
Penegasan itu dibuat susulan laporan oleh portal JNS yang mendakwa terdapat satu projek perintis yang bertujuan menilai sama ada penghijrahan secara sukarela rakyat Gaza ke Indonesia bagi mencari pekerjaan dalam sektor pembinaan adalah satu langkah yang boleh dilaksanakan.
Laporan itu turut menyebut penduduk Gaza yang meninggalkan wilayah tersebut dibenarkan kembali mengikut undang-undang antarabangsa.
Namun, matlamat jangka panjangnya adalah untuk mewujudkan penempatan semula yang kekal – sesuatu yang memerlukan kerjasama daripada pemerintah Indonesia.
Encik Rolliansyah menegaskan bahawa sokongan Indonesia terhadap nasib rakyat Palestin kekal berteraskan kepada usaha menghentikan keganasan dan mewujudkan gencatan senjata.
“Tumpuan Indonesia kini adalah untuk menggalak pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata, memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan serta memulakan proses pembinaan semula di Gaza,” katanya.
Menteri Luar Encik Sugiono, dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Perancis, Encik Jean-Noël Barrot, pada 26 Mac, turut menyatakan penghargaan Indonesia terhadap sokongan Perancis dalam usaha mencari penyelesaian damai bagi konflik Palestin.
“Terdapat beberapa daya usaha yang telah dikemukakan untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini,” ujar Encik Sugiono, namun beliau tidak menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai inisiatif tersebut.
Kumpulan kemanusiaan Indonesia yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin, Kumpulan Kerja Aqsa (AWG) dan sayap wanitanya, Maemunah Center, dijadual menghantar pasukan awal ke Gaza sejurus selepas sambutan Aidilfitri bagi memulakan persiapan pembinaan Hospital Ibu dan Kanak-kanak Indonesia di wilayah yang dilanda krisis itu.
Ketua pasukan pembinaan hospital tersebut, Encik Edy Wahyudi, memaklumkan kepada Berita Harian lokasi projek yang bernilai 402 bilion rupiah ($32.7 juta) itu telah diubah.
Pada asalnya hospital tersebut dirancang dibina di Bandar Gaza, namun lokasinya telah dipindahkan ke kawasan utara Gaza selepas perbincangan terkini secara dalam talian bersama Kementerian Kesihatan Palestin.
“Perubahan lokasi ini dibuat bagi menyesuaikan keperluan semasa dan mengambil kira keadaan keselamatan serta keperluan penduduk yang paling terkesan,” ujar Edy.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg