JAKARTA: Dalam perubahan saat akhir terhadap pakej rangsangan pengguna yang dirancang bagi Jun dan Julai, pemerintah Indonesia telah membatalkan diskaun elektrik tetapi menggandakan subsidi gaji.
Dalam satu sidang akhbar Menteri Kewangan Indonesia, Dr Sri Mulyani Indrawati, menyatakan subsidi gaji buat golongan berpendapatan rendah akan dinaikkan seganda – daripada 150,000 rupiah ($12) sebulan setiap individu kepada 300,000 rupiah.
Penerima yang layak termasuk kira-kira 17.3 juta pekerja yang berpendapatan sehingga 3.5 juta rupiah sebulan dan kira-kira 565,000 “guru kehormat” – istilah bagi guru kontrak berasaskan honorarium.
Dr Mulyani menjelaskan subsidi tersebut akan dibiayai dana daripada Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) tetapi pemerintah akan mengetepikan 10.72 trilion rupiah daripada dana negara untuk membiayai program itu secara “sementara”.
Subsidi gaji adalah sebahagian daripada siri langkah yang bertujuan meningkatkan perbelanjaan pengguna.
Diumumkan pada Mei, pakej itu meliputi diskaun pengangkutan bagi kereta api, kapal terbang dan kapal, diskaun tol jalan raya untuk kira-kira 110 juta pemandu yang layak.
Dua lagi pakej itu meliputi bantuan sosial untuk 18.3 juta penerima dan diskaun ke atas insurans kemalangan kerja buat pekerja dalam industri intensif buruh.
Pakej itu pada asalnya juga termasuk diskaun elektrik 50 peratus bagi Jun dan Julai, sama seperti yang diberikan pada Januari dan Februari.
Tetapi, selepas mesyuarat di Istana Negara dan sebelum sidang akhbar 2 Jun, Dr Mulyani mengumumkan bahawa diskaun itu tidak akan diberikan.
“Kami telah mengadakan pertemuan dengan menteri lain, dan untuk pelaksanaan diskaun elektrik, proses belanjawan ternyata jauh lebih perlahan, jadi kami memutuskan bahawa ia tidak akan dilaksanakan pada Jun dan Julai,” jelasnya.
Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral dalam satu kenyataan akhbar pada 2 Jun berkata ia tidak terlibat dalam penggubalan inisiatif rangsangan yang diterajui Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Encik Airlangga Hartarto itu.
“(Kementerian) tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan atau mana-mana forum yang bercakap mengenai diskaun elektrik buat Jun dan Julai 2025,” kata jurucakap kementerian itu, Cik Dwi Anggia, dalam kenyataan itu.
Terdahulu menteri kementerian itu, Encik Bahlil Lahadalia, berkata beliau hanya mengetahui inisiatif itu beberapa hari sebelum pelaksanaan.
Dasar sedemikian sepatutnya memerlukan “komunikasi” dengan Kementerian Tenaga dan Kementerian Kewangan, kata Encik Bahlil. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg