JAKARTA: Indonesia telah mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi bernilai 827 trilion rupiah ($69.2 bilion) bagi mengurangkan kesan kenaikan cukai nilai tambah (VAT) dari 11 peratus kepada 12 peratus mulai Januari 2025.
Langkah itu bertujuan menyokong daya beli golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang semakin lemah akibat tekanan ekonomi semasa.
Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Encik Airlangga Hartarto, menjelaskan bahawa kadar baru itu tidak akan dikenakan kepada barangan keperluan asas seperti beras, ayam, dan minyak masak bersubsidi.
Namun, versi ‘premium’ bagi barangan itu seperti beras bemutu tinggi dan perkhidmatan kesihatan swasta, tetap akan dikenakan VAT pada kadar 12 peratus.
“Pakej ini dirancang untuk melindungi golongan yang paling terkesan dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata Menteri Kewangan Cik Sri Mulyani Indrawati.
Pakej rangsangan ekonomi itu meliputi pelbagai sektor, termasuk isi rumah, pekerja, perniagaan kecil dan industri yang banyak berganting pada tenaga buruh.
Golongan isi rumah akan menerima bantuan makanan dan diskaun bil elektrik sebanyak 50 peratus, melibatkan 97 peratus daripada pengguna elektrik di negara ini.
“Pemberian insentif ini dijangka meningkatkan daya beli rakyat secara ketara,” ujar Encik Airlangga.
Pengecualian VAT turut diberikan kepada barangan asas seperti tepung gandum, gula industri dan minyak masak bersubsidi.
Pekerja pula akan mendapat akses kepada skim perlindungan kehilangan pekerjaan, manakala perusahaan kecil akan terus menikmati kadar cukai pendapatan akhir sebanyak 0.5 peratus.
Bagi industri banyak bergantung pada tenaga buruh, pakej ini menyediakan insentif cukai gaji, bantuan pembiayaan serta subsidi insurans kemalangan pekerjaan.
Dalam sektor perumahan, pembelian rumah bernilai antara 2 bilion hingga 5 bilion rupiah akan dikecualikan daripada VAT, namun cukai tetap dikenakan bagi nilai melebihi 2 bilion rupiah.
Untuk sektor automotif, pemerintah memperkenalkan insentif VAT bagi kenderaan elektrik dan hibrid bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan mesra alam.
Walaupun pemerintah mendakwa langkah itu bersifat progresif, para pengkritik menyuarakan kebimbangan mengenai kesannya terhadap kos sara hidup.
Pengarah Dasar Awam di Pusat Kajian Ekonomi dan Hukum (Celios), Encik Media Wahyudi Askar, berkata kenaikan VAT itu akan meningkatkan perbelanjaan golongan miskin sebanyak 101,880 rupiah sebulan, manakala golongan kelas pertengahan pula terpaksa menanggung tambahan 354,293 rupiah sebulan.
“Walaupun terdapat pengecualian VAT bagi barangan asas, banyak keperluan harian yang tetap dikenakan cukai, menyebabkan tekanan kewangan yang besar kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Menurut Encik Media, kadar VAT yang tinggi biasanya dikenakan di negara berpendapatan tinggi seperti Norway dan Jerman, dengan daya beli rakyatnya kukuh.
Namun, dalam konteks ekonomi Indonesia yang masih rapuh, kenaikan itu berpotensi menambah beban kepada rakyat dan mengurangkan daya saing ekonomi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg