WASHINGTON: Rundingan perdagangan antara delegasi Indonesia dengan pegawai kanan Amerika Syarikat yang berlangsung sepanjang minggu bermula pada 15 April berakhir tanpa sebarang perjanjian rasmi, sekali gus mengekalkan ketidaktentuan yang membelenggu sektor eksport utama negara.
Meskipun kedua-dua pihak mengakui cabaran besar yang ditimbulkan oleh langkah tarif Amerika, tiada keputusan konkrit dicapai bagi mengurangkan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, yang mengetuai delegasi Indonesia, menyifatkan pertemuan itu sebagai penting, namun masih belum menghasilkan jalan penyelesaian.
“Kami telah menyampaikan semua kebimbangan. Kini, prosesnya bergantung kepada rundingan lanjut dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya dalam sidang video bersama wartawan Indonesia pada 18 April.
Delegasi Indonesia bertemu Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick, dan Wakil Perdagangan, Encik Jamieson Greer, pada 17 April.
Sehari sebelumnya, Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio.
Namun hasilnya masih samar, lapor Jakarta Globe.
“Kami belum mendapat komitmen bertulis atau pengecualian tarif yang diminta. Buat masa ini, kedua-dua negara hanya bersetuju untuk meneruskan dialog,” ujar Encik Airlangga.
Isu utama yang dibawa oleh Jakarta ialah kadar tarif yang terlalu tinggi terhadap produk eksport Indonesia ke pasaran Amerika.
Airlangga mendedahkan bahawa produk tekstil dan pakaian kini dikenakan tarif mencecah 47 peratus selepas pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenakan tambahan 10 peratus duti import ke atas tarif asas sedia ada.
“Tarif asal antara 10 dengan 37 peratus. Kini dengan tambahan 10 peratus lagi, jumlah keseluruhan boleh mencapai 47 peratus. Ini benar-benar memberi kesan besar terhadap daya saing eksport Indonesia di Amerika,” jelas beliau, lapor Tempo.co.
Beliau turut mendedahkan beban kos tambahan itu tidak ditanggung sepenuhnya oleh pembeli, sebaliknya diminta untuk dikongsi dengan pengeksport Indonesia.
“Ini menjadi masalah kepada industri kita. Pembeli dari Amerika mahu pengeksport Indonesia berkongsi beban tambahan ini,” katanya.
Produk yang paling terjejas oleh tarif tinggi itu termasuk barangan intensif buruh seperti kasut, tekstil, perabot dan udang.
Kesemua kategori itu berpotensi hilang daya saing berbanding produk dari negara Asean lain yang menikmati tarif lebih rendah.
“Kita mahu layanan yang adil. Tarif ke atas produk kita masih lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Vietnam,” ujar Encik Airlangga.
Sesetengah produk elektronik seperti telefon bimbit dan semikonduktor telah dikecualikan daripada tarif baru itu.
Indonesia turut memohon agar produk elektronik lain seperti peralatan rumah turut diberikan pengecualian.
Penasihat ekonomi presiden, Cik Mari Elka Pangestu, menyatakan eksport mineral kritikal dari Indonesia mungkin juga akan dikecualikan daripada dasar tarif Amerika.
Dalam rundingan tersebut, Indonesia mencadangkan beberapa konsesi perdagangan sebagai pertukaran kepada pengurangan tarif, termasuk meningkatkan import gas petroleum cecair, petrol, kacang soya dan barangan modal dari Amerika.
Pemerintah Indonesia turut berjanji menambah baik proses pelesenan dan mempermudah import barangan dari syarikat Amerika.
Namun, pegawai Amerika dilaporkan tetap berpegang pada syarat mereka termasuk desakan agar Indonesia melonggarkan keperluan kandungan tempatan dalam sektor teknologi.
“Antara isu yang mereka bangkitkan ialah pembinaan pusat data. Mereka mahu lebih fleksibiliti untuk pelabur asing,” kata Encik Airlangga.
Melihat kepada hasil rundingan yang masih terbuka, Encik Airlangga mengakui Indonesia sedang mempercepat strategi mempelbagaikan pasaran eksport.
Antara yang sedang diusahakan ialah memuktamadkan rundingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (Cepa) Indonesia-Kesatuan Eropah yang tertangguh sejak 2016.
Beliau menyatakan Australia bersetuju meningkatkan pembelian produk Indonesia, dan Jakarta kini memohon bantuan Canberra untuk memudahkan kemasukan Indonesia ke dalam Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).
“Strategi kita bukan hanya untuk meredakan tekanan dari Washington, bahkan juga untuk meluaskan pasaran eksport dan mengukuhkan kedudukan ekonomi kita secara menyeluruh.
“Kami harap dalam masa 60 hari, satu kerangka penyelesaian boleh dicapai. Tapi buat masa ini, eksport kita kekal dalam kedudukan yang amat rentan,” kata Encik Airlangga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg