Indonesia: Pasukan pengaman di Gaza dianggar libat 20,000 anggota beberapa negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia: Pasukan pengaman di Gaza dianggar libat 20,000 anggota beberapa negara

Feb 10, 2026 | 7:57 PM

Indonesia: Pasukan pengaman di Gaza dianggar libat 20,000 anggota beberapa negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang kanak-kanak perempuan Palestin menolak basikal melalui sebuah kem perpindahan di Khan Younis, di Jaluran Gaza, pada 10 Februari 2026. Gencatan senjata yang diterajui Amerika Syarikat dan berkuat kuasa sejak Oktober lalu bertujuan menghentikan pertempuran antara Israel dengan Hamas susulan serangan kumpulan itu pada Oktober 2023 telah mengurangkan tahap pengeboman dan pertempuran.
Seorang kanak-kanak perempuan Palestin menolak basikal melalui sebuah kem perpindahan di Khan Younis, di Jaluran Gaza, pada 10 Februari 2026. Gencatan senjata yang diterajui Amerika Syarikat dan berkuat kuasa sejak Oktober lalu bertujuan menghentikan pertempuran antara Israel dengan Hamas susulan serangan kumpulan itu pada Oktober 2023 telah mengurangkan tahap pengeboman dan pertempuran. - Foto AFP

JAKARTA: Cadangan penubuhan pasukan pengaman pelbagai negara di Gaza dianggarkan melibatkan sekitar 20,000 anggota secara keseluruhan, dengan Indonesia bersedia menyumbang sehingga 8,000 anggota tentera.

Demikian menurut jurucakap Presiden Prabowo Subianto pada 10 Februari.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia menegaskan bahawa tiada sebarang persetujuan muktamad setakat ini mengenai mandat, kawasan operasi atau terma penugasan pasukan berkenaan.

Jurucakap Presiden, Encik Prasetyo Hadi, berkata perbincangan mengenai pasukan pengaman itu masih berada pada peringkat awal dan melibatkan pelbagai negara, bukan Indonesia semata-mata.

“Jumlah keseluruhan adalah sekitar 20,000 anggota dari beberapa negara. Ia bukan hanya melibatkan Indonesia,” katanya kepada pemberita.

Menurut Encik Prasetyo, meskipun angka muktamad belum dibincangkan, Indonesia menganggarkan mampu menyumbang sehingga 8,000 anggota, selaras dengan komitmen awal yang diumumkan sebelum ini.

“Kami hanya membuat persiapan sekiranya satu persetujuan dicapai dan sekiranya Indonesia diminta menghantar pasukan pengaman,” katanya.

Indonesia sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menyediakan sehingga 20,000 anggota bagi misi pengaman di Gaza, namun menegaskan bahawa keputusan penghantaran hanya akan dibuat selepas mandat antarabangsa, skop operasi dan rangka undang-undang misi tersebut diperjelaskan.

Perkembangan itu diumum ketika Presiden Prabowo dijemput ke Washington bagi menghadiri mesyuarat pertama Lembaga Keamanan yang disokong oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 19 Februari.

Namun, Encik Prasetyo berkata kehadiran Encik Prabowo ke mesyuarat itu belum disahkan.

Encik Prasetyo turut memaklumkan bahawa Indonesia masih akan mengadakan rundingan lanjut sebelum membuat sebarang pembayaran berkaitan yuran keanggotaan tetap Lembaga Keamanan, yang dilaporkan bernilai AS$1 bilion ($1.27 bilion).

“Rundingan masih perlu dijalankan sebelum sebarang komitmen kewangan dibuat,” katanya, sambil tidak memperincikan pihak yang terlibat dalam rundingan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Indonesia menafikan laporan media Israel yang mendakwa pasukan Indonesia akan ditempatkan di kawasan Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza.

Jurucakap kementerian itu, Encik Rico Ricardo Sirat, berkata perancangan Indonesia untuk menyumbang kepada usaha keamanan dan kemanusiaan di Gaza masih dalam fasa persiapan dan penyelarasan.

“Semua perkara berkaitan operasi termasuk lokasi penugasan, jumlah anggota, jadual dan mekanisme pelaksanaan masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan kepada agensi berita, Reuters.

Beliau menegaskan bahawa sebarang pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas keputusan muktamad dicapai dan mandat antarabangsa yang jelas diperoleh. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg