Indonesia sedia hantar hingga 8,000 anggota pengaman ke Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sedia hantar hingga 8,000 anggota pengaman ke Gaza

Feb 10, 2026 | 1:59 PM

Indonesia sedia hantar hingga 8,000 anggota pengaman ke Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Indonesia, hantar 8,000 anggota pengaman, Gaza, tentera, TNI
Orang awam berjalan melepasi runtuhan bangunan yang musnah di kem pelarian Palestin Jabalia di utara Jaluran Gaza pada 8 Februari 2026. Sejak 10 Oktober, gencatan senjata rapuh yang diusul Amerika Syarikat di Gaza telah sebahagian besar menghentikan pertempuran antara tentera Israel dengan Hamas, namun, kedua-dua pihak saling menuduh berlakunya pelanggaran secara berulang. - Foto AFP

JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedang membuat persiapan awal kemungkinan menghantar sehingga 8,000 anggota tentera ke Gaza sebagai pasukan pengaman antarabangsa.

Ia merupakan langkah yang mencerminkan komitmen Presiden Prabowo Subianto untuk memperkukuh peranan Indonesia dalam keselamatan sejagat dan usaha pembinaan keamanan pasca konflik.

Ketua Staf Angkatan Darat, Jeneral Maruli Simanjuntak, berkata rancangan itu masih di tahap awal dan tertakluk kepada penyelarasan lanjut dalam rantaian perintah ketenteraan, termasuk dengan Markas Besar TNI serta penganjur rasmi misi pengaman antarabangsa.

“(Penghantaran) satu briged, kemungkinan sekitar 5,000 hingga 8,000 anggota. Namun, semuanya masih belum dimuktamadkan dan angka ini bersifat anggaran setakat ini,” kata Jeneral Maruli kepada media selepas menghadiri mesyuarat kepimpinan TNI dan Polis Indonesia di Istana Presiden, Jakarta, pada 9 Februari.

Menurut beliau, Markas Besar TNI akan menerima maklumat rasmi mengenai keperluan sebenar anggota daripada penganjur misi, sebelum ia disalurkan kepada Angkatan Darat untuk persiapan lanjut.

“Tugas kami adalah menyediakan anggota. Proses persiapan sudah dimulakan, termasuk latihan awal, walaupun penugasan muktamad belum disahkan,” katanya.

Jeneral Maruli menjelaskan latihan tersebut memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah anggota serta persiapan kesihatan, sejajar dengan keperluan misi pengaman yang lazimnya melibatkan interaksi dengan orang awam dan operasi di kawasan pasca konflik.

Beliau menegaskan bahawa lokasi akhir penugasan, sama ada di Gaza atau kawasan lain seperti Lebanon bukan berada dalam bidang kuasa Angkatan Darat, lapor Tempo.com.

“Kami hanya bertanggungjawab terhadap penyediaan pasukan. Keputusan lokasi penempatan ditentukan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Persiapan pasukan pengaman itu selaras dengan pendekatan dasar luar Encik Prabowo yang berhasrat meningkatkan peranan Indonesia sebagai penyumbang utama keamanan antarabangsa.

Sebelum ini, Encik Prabowo secara terbuka menyatakan kesediaan Indonesia untuk menghantar sehingga 20,000 anggota bagi menyokong usaha keamanan di Gaza.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York pada September 2025, Encik Prabowo menegaskan komitmen tersebut bukan sekadar retorik.

“Ini bukan kata-kata kosong. Indonesia mempunyai rekod panjang dan konsisten sebagai antara penyumbang terbesar pasukan pengaman PBB,” katanya ketika itu.

Beliau kemudian menyertai puluhan pemimpin dunia menghadiri sidang kemuncak mengenai masa depan Gaza di Mesir, dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dan Presiden Mesir, Encik Abdel-Fattah el-Sisi.

Indonesia dikenali sebagai antara negara penyumbang utama pasukan pengaman PBB, dengan pengalaman luas dalam misi melibatkan kejuruteraan, perubatan dan bantuan kemanusiaan.

Seorang pegawai Indonesia sebelum ini memaklumkan tumpuan utama sebarang penugasan ke Gaza adalah kepada unit kejuruteraan dan perubatan, selaras dengan keperluan pemulihan prasarana dan bantuan kemanusiaan.

Dalam perkembangan berkaitan, media Israel melaporkan persiapan sedang dijalankan bagi menerima ribuan anggota tentera Indonesia sebagai sebahagian daripada Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza, di bawah pelan pasca perang yang diterajui Amerika.

Menurut laporan, The Times of Israel, satu lokasi di selatan Gaza, antara Rafah dengan Khan Younis, dikatakan sedang disediakan bagi menempatkan pasukan berkenaan, walaupun tiada tarikh rasmi ketibaan diumumkan.

Pihak berkuasa Indonesia bagaimanapun belum mengesahkan laporan tersebut secara rasmi.

Pejabat Perdana Menteri Israel juga tidak memberikan sebarang maklum balas untuk mengulas mengenainya.

Indonesia baru-baru ini turut menyertai Lembaga Keamanan yang dicadangkan oleh Encik Trump.

Sumber Indonesia turut memaklumkan bahawa Encik Prabowo telah diundang menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan di Washington pada 19 Februari, namun kehadiran beliau masih belum diputuskan.

Encik Prabowo juga sebelum ini berkata, Indonesia terbuka untuk menjalin hubungan dengan Israel jika rejim itu mengiktiraf penubuhan sebuah negara Palestin.

Langkah persiapan pasukan pengaman itu turut berlaku seiring dengan keputusan Indonesia untuk menerima penyertaan dalam Lembaga Keamanan, sebuah daya usaha antarabangsa yang bertujuan menyelaras usaha keamanan dan penstabilan pasca konflik, khususnya di Gaza.

Encik Prabowo sebelum ini menyatakan bahawa penglibatan Indonesia dalam lembaga tersebut mencerminkan komitmen negara itu untuk menyumbang secara membina kepada keamanan sejagat, selaras dengan prinsip dasar luar bebas dan aktif yang diamalkan Jakarta sejak sekian lama. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg