Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia pecat polis langgar pekerja penghantaran semasa bantahan

Sep 4, 2025 | 1:43 PM
grafiti, indonesia, protest, yogyakarta
Grafiti dengan ungkapan, ‘RESET SYSTEM’, oleh artis setempat kelihatan di Yogyakarta pada 3 September, bagi menggesa pemerintah supaya menyemak semula sistem negara susulan bantahan besar-besaran di Indonesia. - Foto AFP

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia yang giat berusaha menghentikan bantahan antipemerintah di seluruh negara telah memecat seorang pegawai polis pada 3 September.

Pegawai itu terlibat dalam kematian seorang pekerja penghantaran semasa bantahan di Jakarta minggu lalu.

Dipimpin pelajar, pekerja dan kumpulan hak asasi manusia, bantahan berhubung keganasan polis serta gaji dan elaun Anggota Parlimen (AP) yang tinggi, telah merebak ke seluruh negara selepas kenderaan polis melanggar dan membunuh penunggang yang dikenali sebagai, Encik Affan Kurniawan, 21 tahun, pada 28 Ogos.

Seramai 10 orang telah terkorban dalam tunjuk perasaan itu setakat ini, yang turut mencetuskan kes rompakan dan rusuhan.

Jurucakap polis negara, Encik Trunoyudo Wisnu Andiko berkata, Cosmas Kaju Gae, salah seorang daripada tujuh pegawai yang ditahan dalam kenderaan yang melanggar penunggang itu, “secara tidak bermaruah” dipecat selepas perbicaraan etika kerana “tidak profesional”.

Cosmas, yang berada di tempat duduk hadapan kenderaan, dilihat menangis dalam video perbicaraan itu sambil berkata beliau tidak pernah berniat membunuh sesiapa dan hanya menjalankan tugasnya.

Beliau sedang menimbangkan langkah mengemukakan rayuan.

Dengan penunjuk perasaan menuntut kebertanggungjawapan yang luas, nasib enam pegawai lain masih belum ditentukan.

Dalam satu lagi persetujuan terhadap tuntutan peserta bantahan, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berkata pada hujung minggu lalu bahawa faedah besar penggubal undang-undang, termasuk elaun perumahan dan perjalanan, akan dipotong.

Encik Prabowo berkata tentera dan polis akan berdiri teguh menentang perusuh ganas, dan beberapa pergolakan itu sememangnya menunjukkan tanda-tanda keganasan dan pengkhianatan.

Namun beliau sempat menghadiri perarakan tentera besar-besaran di China pada 3 September selepas pada mulanya membatalkan lawatan itu kerana pergolakan yang berlaku.

Pejabatnya menyatakan bahawa tanda-tanda keadaan kembali normal di Indonesia adalah faktor beliau memutuskan untuk meneruskan kunjungan ke Beijing.

Dalam pada itu, Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, telah menarik balik arahan kerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam dalam pentadbiran bandar apabila Jakarta kini beransur tenteram.

“Saya telah mengarahkan agensi bandar untuk membatalkan arahan WFH selewat-lewatnya hari ini (3 September) kerana keadaan telah kembali normal dan semua perkhidmatan pengangkutan berjalan seperti biasa,” kata beliau seperti dipetik agensi berita, Antara.

Arahan kerja dari rumah itu berkuat kuasa sejak 29 Ogos, berikutan lonjakan bantahan yang dicetuskan ekoran kematian Encik Affan.

Bantahan yang bermula pada 25 Ogos itu telah merosakkan sekurang-kurangnya 22 pondok bas Transjakarta, enam daripadanya dibakar oleh penunjuk perasaan yang tidak dikenali.

Pihak pentadbiran bandar turut melaporkan kerosakan pada dua jejantas dan 18 lampu isyarat, dengan anggaran kerugian berjumlah sekitar 80 bilion rupiah ($6.27 juta).

Encik Pramono menyatakan perkhidmatan pengangkutan awam terus beroperasi, walaupun dengan beberapa pelarasan laluan sedang kerja pembaikan diteruskan.

Pengubahsuaian dijangka siap minggu depan.

Ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mengingatkan penjawat awam supaya terus menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas kronik di Jakarta.

Pentadbiran bandar juga telah meniadakan tambang bagi menaiki bas Transjakarta dan perkhidmatan transit laju sehingga 7 September. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg