Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia perkukuh kawalan eksport komoditi strategik pertingkat hasil negara
Indonesia perkukuh kawalan eksport komoditi strategik pertingkat hasil negara
Indonesia perkukuh kawalan eksport komoditi strategik pertingkat hasil negara
JAKARTA: Indonesia kini bergerak ke arah penyusunan semula besar sektor eksport komoditi strategiknya apabila pemerintah mula melaksanakan rancangan memusatkan eksport beberapa sumber utama negara menerusi syarikat baharu milik pemerintah bermula 1 Jun.
Langkah itu melibatkan komoditi penting seperti arang batu, minyak sawit dan feroaloi, yang selama ini menjadi tulang belakang ekonomi Indonesia dan penyumbang utama hasil eksport negara.
Pemerintah Indonesia menegaskan dasar baharu itu bertujuan meningkatkan ketelusan, memperkukuh pendapatan negara serta memastikan hasil sumber asli kekal memberi manfaat lebih besar kepada ekonomi dalam negara.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto, berkata pengeluar arang batu, minyak sawit dan feroaloi kini perlu mula menyerahkan dokumen berkaitan eksport kepada syarikat baharu dikenali sebagai Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI).
DSI merupakan anak syarikat dana kekayaan negara Indonesia, Danantara.
Menurut Encik Airlangga, DSI dijangka mengambil alih beberapa urusan eksport secara berperingkat mulai September ini dan selewat-lewatnya pada 1 Januari 2027.
“Pemerintah menjangkakan urusan penghantaran eksport akan terus berjalan seperti biasa sepanjang tempoh peralihan,” katanya dalam sidang media di Jakarta.
Presiden Prabowo Subianto sebelum ini berkata Indonesia kehilangan hampir AS$1 trilion ($71.7 bilion) hasil kekayaan sumber asli dalam tempoh 34 tahun akibat amalan perdagangan tidak telus seperti manipulasi harga dan pengisytiharan nilai lebih rendah.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan negara kehilangan hasil besar yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan rakyat.
“Jika hasil negara lebih besar, kita boleh meningkatkan gaji guru, penjawat awam dan memperkukuh pembangunan nasional,” kata Encik Prabowo dalam ucapan di Parlimen Indonesia pada Mei lalu.
Pemerintah percaya sistem baharu itu akan membantu mengawal amalan pemindahan harga dan penjualan eksport melalui syarikat luar negara yang mengurangkan pendapatan sebenar Indonesia.
Selain itu, dasar tersebut juga bertujuan memastikan pendapatan eksport dalam mata wang asing kekal berada di dalam negara bagi membantu menstabilkan nilai rupiah yang sebelum ini beberapa kali mencatat paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat.
Walaupun pengumuman dasar itu mengejutkan sebahagian industri dan pelabur, pemerintah memberi jaminan pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dan telus.
Ketua Pegawai Operasi Danantara, Encik Dony Oskaria, berkata DSI sedang membangunkan struktur tadbir urus dan sistem pemantauan eksport yang lebih moden.
“Kami mahu memastikan operasi berjalan secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurut beliau, DSI juga sedang mengambil kakitangan baharu serta membangunkan teknologi bagi memantau urusan eksport secara lebih cekap.
Menteri Kewangan Indonesia, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, pula berkata pelabur pasaran saham sepatutnya melihat potensi peningkatan keuntungan syarikat hasil sistem harga eksport yang lebih baik di bawah DSI.
“Dalam jangka panjang, sistem ini boleh meningkatkan keuntungan syarikat kerana harga eksport akan lebih teratur dan telus,” katanya.
Walaupun pemerintah memberi penjelasan positif, beberapa persatuan industri masih meminta maklumat lebih terperinci mengenai mekanisme pelaksanaan.
Antara persoalan utama adalah bagaimana harga eksport akan ditentukan, sama ada pembeli luar negara perlu menukar vendor, dan bagaimana kontrak sedia ada akan dikendalikan.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, memberi jaminan kontrak sedia ada tidak akan terganggu.
“Syarikat hanya perlu menyelaraskan data dan berkomunikasi dengan DSI,” katanya.
Menurut Encik Airlangga, beberapa persatuan industri sebenarnya memberi maklum balas positif terhadap langkah pemerintah itu.
“Persatuan industri memahami hala tuju pemerintah dan sedang membuat persediaan untuk pelaksanaan,” katanya.
Beliau menambah, pemerintah akan melakukan penilaian selepas tiga bulan pertama tempoh peralihan sebelum menentukan langkah seterusnya.
Penganalisis melihat langkah Indonesia itu sebagai sebahagian usaha lebih besar Encik Prabowo untuk memperkukuh kedaulatan ekonomi negara.
Selain pemusatan eksport, Indonesia juga mula melaksanakan dasar baharu yang mewajibkan sebahagian besar hasil eksport sumber asli disimpan di bank dalam negara untuk tempoh tertentu.
Bagi kebanyakan pemerhati, langkah itu mencerminkan usaha Jakarta memastikan kekayaan sumber asli benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan dalam negara dan kestabilan ekonomi nasional.
Walaupun masih terdapat kebimbangan daripada pasaran mengenai ketidaktentuan peraturan, pemerintah Indonesia dilihat cuba menyeimbangkan kepentingan pelabur dengan keperluan meningkatkan hasil negara.
Ketua Pegawai Pelaburan Danantara, Encik Pandu Sjahrir, berkata pihaknya akan terus mendengar kebimbangan pasaran dan memberikan perkembangan terkini secara berkala.
“Kami akan memberi maklumat terkini setiap dua hingga tiga minggu supaya ketidaktentuan sedia ada dapat diterjemahkan menjadi risiko yang lebih boleh diukur,” katanya.
Dalam keadaan ekonomi sejagat yang kian mencabar dan persaingan sumber asli semakin sengit, Indonesia kini cuba membina sistem eksport yang lebih tersusun, telus dan memberi pulangan lebih besar kepada negara.
Bagi pemerintah Encik Prabowo, langkah itu bukan sahaja soal perdagangan, bahkan juga usaha memperkukuh kedaulatan ekonomi Indonesia dalam jangka panjang. – Agensi berita.
