Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian tarif Indonesia-AS lindungi sejuta pekerja dari kehilangan pekerjaan

Jul 25, 2025 | 4:07 PM
Airlangga Hartarto, Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, membuat isyarat tangan semasa sidang media di Jakarta, Indonesia, pada 24 Julai 2025.
Airlangga Hartarto, Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, membuat isyarat tangan semasa sidang media di Jakarta, Indonesia, pada 24 Julai 2025. - Foto REUTERS

Gelombang pemberhentian besar-besaran dan kadar pengangguran yang semakin membimbangkan terus menghiasi tajuk utama media Indonesia, mencerminkan tekanan yang dihadapi pasaran kerja negara itu. Di sebalik kebimbangan ini, Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto, tampil dengan keyakinan bahawa perjanjian tarif timbal balik yang baru dimeterai bersama Amerika Syarikat telah memainkan peranan penting dalam menyelamatkan hampir sejuta pekerjaan dalam sektor berintensifkan buruh.

Menurut Encik Airlangga, sekiranya tarif 32 peratus yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump diteruskan tanpa kompromi, ia boleh memberi kesan buruk kepada perdagangan dua hala dan menyebabkan gangguan besar terhadap tenaga kerja Indonesia. Namun, dengan persetujuan untuk menurunkan tarif kepada 19 peratus, Indonesia bukan sahaja berjaya mengekalkan akses eksport ke pasaran Amerika, malah berpotensi mengekalkan kestabilan ekonomi domestik dan momentum penciptaan pekerjaan.

“Sekiranya tarif kekal pada 32 peratus, itu pada dasarnya bermaksud tiada perdagangan ibarat sekatan perdagangan dan ini boleh menjejaskan pekerjaan sehingga sejuta pekerja dalam sektor berintensifkan buruh,” kata Encik Airlangga dalam satu sidang media yang diadakan selepas kenyataan bersama dikeluarkan oleh Amerika dan Indonesia pada 24 Julai.

Menurutnya, Indonesia merupakan antara negara yang memperoleh kadar tarif terendah daripada Amerika walaupun memiliki defisit dagangan dua hala yang kecil.

Rumah Putih dalam kenyataan itu menyatakan bahawa kedua-dua negara telah bersetuju dengan kerangka rundingan perjanjian perdagangan timbal balik yang bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dan membuka akses luar biasa kepada pasaran masing-masing.

Antara syarat utama perjanjian termasuk Indonesia bersetuju menghapuskan sekitar 99 peratus halangan tarif ke atas produk industri, makanan, dan pertanian dari Amerika, manakala Amerika akan menurunkan tarif kepada 19 peratus untuk produk dari Indonesia, dan mungkin akan menurunkannya lagi bagi komoditi tertentu yang tidak dihasilkan atau tersedia secara domestik di Amerika.

Encik Airlangga menjelaskan bahawa komoditi tersebut merangkumi minyak sawit, kopi, koko, hasil pertanian lain, produk mineral, komponen pesawat, serta produk industri dari kawasan tertentu.

Perjanjian ini juga dijangka dapat meningkatkan daya saing, inovasi, pembangunan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan, memacu ekonomi digital, memperkukuh rangkaian logistik antara pulau, serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

“Apa yang dilakukan pemerintah melalui kerjasama ini adalah untuk mengekalkan imbangan dalaman dan luaran, agar imbangan perdagangan dan momentum ekonomi kekal stabil, dan kita mampu mengekalkan penciptaan pekerjaan,” ujar Encik Airlangga.

Data daripada Biro Statistik Indonesia menunjukkan bahawa seramai 7.28 juta rakyat Indonesia menganggur pada Februari tahun 2025 ini peningkatan sekitar 83,000 orang atau 1.11 peratus berbanding bulan sama tahun 2024.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 2025 meramalkan kadar pengangguran Indonesia boleh mencecah 5 peratus tahun 2025 dan meningkat kepada 5.1 peratus tahun 2026 - kadar tertinggi di Asia Tenggara.

Namun, komuniti perniagaan masih berhati-hati dan ingin melihat sama ada iklim pelaburan dan kemudahan menjalankan perniagaan akan bertambah baik susulan pelaksanaan deregulasi besar-besaran yang dijanjikan dalam perjanjian perdagangan ini.

“Pelaburan tidak akan datang semata-mata kerana kita ada perjanjian perdagangan. Kita perlu atasi isu seperti iklim pelaburan dan memperbaiki rangka peraturan,” kata Cinta Shinta Kamdani, Pengerusi Persatuan Pengusaha Indonesia (Apindo), dalam satu forum di Jakarta mengenai tarif Trump pada 23 Julai.

Penyelidik ekonomi dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Dandy Rafitrandi, berkata pelabur akan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” sebelum membuat keputusan untuk melabur dan mewujudkan pekerjaan.

“Akan ada rangkaian pelonggaran peraturan yang perlu dilakukan pemerintah. Pelabur akan lihat sama ada pemerintah benar-benar mengambil langkah menghapuskan halangan perdagangan atau mengurangkan keperluan komponen tempatan bagi barangan import yang masuk ke Indonesia,” kata Encik Dandy kepada Berita Harian di luar sesi forum.

Encik Airlangga turut menyatakan bahawa pelonggaran keperluan komponen tempatan akan dilakukan secara terpilih untuk produk teknologi maklumat dan komunikasi, pusat data, dan peranti perubatan dari Amerika.

Penasihat ekonomi kanan di Pejabat Komunikasi Presiden Indonesia, Encik Fithra Hastiadi, berkata perjanjian ini membawa manfaat dua hala. “Kami anggap ini situasi menang-menang kerana perdagangan adalah soal rundingan. Kita tidak boleh menang semua, jadi harus ada titik persamaan minimum,” kata Encik Fithra, yang turut menjadi panelis forum 23 Julai lalu.

Rumah Putih dalam lembaran fakta menyifatkan perjanjian ini sebagai “perjanjian perdagangan bersejarah” yang akan membuka akses pasaran di Indonesia yang sebelum ini dianggap mustahil, dan memberikan lonjakan kepada sektor pembuatan, pertanian dan digital Amerika.

Amerika Syarikat kekal sebagai salah satu rakan dagang utama Indonesia, menyumbang 11.22 peratus daripada pasaran eksport negara itu pada 2024, manakala pelaburan langsung Amerika ke Indonesia mencecah AS$3.7 bilion ($4.73 bilion) pada tahun yang sama.

Pegawai Indonesia dan Amerika dijangka akan terus mengadakan rundingan lanjut untuk memperincikan butiran teknikal, termasuk senarai produk asal Indonesia yang akan menerima pengurangan tarif sehingga hampir sifar peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg