JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Sosial Indonesia sedang meneliti satu cadangan kontroversi daripada Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi, yang mencadangkan prosedur vasektomi dijadikan syarat wajib kepada individu yang ingin menerima bantuan pemerintah dan biasiswa pendidikan.
Vasektomi ialah satu prosedur perubatan di mana saluran sperma lelaki dipotong atau disekat bagi mencegah kehamilan, sekali gus menyebabkan kemandulan. Walaupun vasektomi boleh dipulihkan melalui pembedahan susulan, kadar kejayaan untuk mengembalikan kesuburan tidak dapat dijamin sepenuhnya.
Cadangan tersebut mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan pemimpin pemerintah, pertubuhan hak asasi, dan tokoh agama.
“Menjadikan perancangan keluarga sebagai sebahagian daripada program bantuan pemerintah merupakan satu cadangan yang wajar dipertimbangkan, tetapi kami masih perlu mengkajinya secara mendalam. Proses pengagihan bantuan pemerintah sudah ditetapkan dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya,” kata Menteri Hal Ehwal Sosial, Encik Saifullah Yusuf, seperti dipetik oleh Kompas pada 30 April.
Encik Dedi dilaporkan mengemukakan usul tersebut kepada Encik Saifullah dengan menjelaskan bahawa cadangan itu lahir daripada pengamatannya terhadap keluarga miskin yang terus menambah bilangan anak meskipun gagal menyediakan keperluan asas untuk kehidupan mereka.
“Saya bertemu dengan seorang kanak-kanak yang menjual kuih di dataran Majalengka. Apabila saya bercakap dengan bapanya, dia menganggur, mempunyai sepuluh anak dan isterinya sedang mengandung anak ke-11,” kata Encik Dedi.
“Jika mereka tidak mampu menyediakan kehidupan yang layak untuk anak-anak mereka, maka mereka harus berhenti menambah anak,” tambahnya.
Beliau menambah bahawa menghadkan bilangan anak dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah boleh membantu memastikan bantuan pemerintah diagihkan secara lebih saksama, dan tidak tertumpu kepada keluarga besar sahaja.
“Kami mahu semua bentuk bantuan pemerintah dikaitkan dengan pelaksanaan perancangan keluarga. Jika anak anda ingin memohon biasiswa, keluarga mesti sudah menggunakan kaedah pencegahan kehamilan. Bagi yang ingin menerima subsidi baik pulih rumah, mereka juga perlu menjalani program perancangan keluarga sekiranya masih berada dalam usia subur,” tegas Encik Dedi
Dedi turut mencadangkan pemberian insentif sebanyak 500,000 rupiah ($39) bagi setiap lelaki yang bersetuju menjalani vasektomi. Beliau menyatakan bahawa tanggungjawab perancangan keluarga tidak wajar diletakkan pada wanita semata-mata.
“Lelaki juga perlu bertanggungjawab dalam hal reproduksi. Kadang-kadang wanita terlupa mengambil pil perancang,” ujarnya.
Cadangan tersebut pantas mendapat kritikan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional (Komnas HAM). Timbalan Ketuanya, Encik Abdul Haris, menyifatkan syarat vasektomi sebagai tidak wajar dan melanggar hak asasi.
“Memaksa vasektomi sebagai syarat untuk menerima bantuan pemerintah sangat membebankan bagi keluarga miskin. Ini boleh dianggap satu pelanggaran hak asasi manusia. Vasektomi sepatutnya keputusan sukarela,” katanya kepada Tempo pada 1 Mei.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) turut menyuarakan pendiriannya. Menurut Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI, Asrorun Niam Sholeh, vasektomi dianggap haram bagi umat Islam sekiranya ia dilakukan dengan tujuan untuk memandulkan lelaki secara kekal.
“Ia hanya dibenarkan dalam keadaan darurat perubatan yang khusus, dan mesti ada jaminan bahawa kesuburan boleh dipulihkan,” jelasnya. Namun beliau menegaskan bahawa sehingga kini, pembedahan pemulihan vasektomi belum dapat menjamin sepenuhnya pemulihan fungsi reproduktif lelaki. “Oleh kerana pembedahan pemulihan masih belum dapat menjamin kesuburan dipulihkan secara mutlak, vasektomi kekal haram,” katanya.
MUI turut menggesa pemerintah agar telus dan objektif dalam mendidik masyarakat mengenai vasektomi, termasuk risiko serta kos tinggi bagi prosedur pemulihannya. Encik Asrorun juga mengingatkan bahawa perancangan keluarga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencegah kelahiran secara kekal.
“Perancangan keluarga haruslah pilihan, bukan paksaan. Bantuan kerajaan tidak boleh ditukar ganti dengan hak tubuh seseorang,” tegas Encik Abdul Haris.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg