Indonesia peruntuk 20,000 hektar tanah pertanian untuk disalur ke Palestin
Indonesia peruntuk 20,000 hektar tanah pertanian untuk disalur ke Palestin
Indonesia peruntuk 20,000 hektar tanah pertanian untuk disalur ke Palestin
JAKARTA: Indonesia mengumumkan kerjasama baru dengan Palestin dalam sektor pertanian dengan memulakan pengurusan bersama seluas 20,000 hektar tanah di Sumatera Selatan dan Kalimantan.
Tanah tersebut akan ditanam dengan padi dan hasil hortikultur, dengan sebahagian besar pengeluaran akan dihantar ke Palestin sebagai bentuk solidariti kemanusiaan jangka panjang.
Menteri Pertanian Indonesia, Encik Andi Amran Sulaiman, menyatakan bahawa projek ini mencerminkan keprihatinan Indonesia terhadap nasib rakyat Palestin, terutama dalam aspek keselamatan makanan.
“Kami berharap Palestin segera merdeka. Indonesia menyokong keperluan makanan mereka,” kata Encik Andi Amran dalam kenyataan media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama rakan sejawatnya dari Palestin, Menteri Pertanian, Encik Rezq Basheer-Salimia, di Jakarta pada 7 Julai.
Sebagai lambang solidariti, beliau turut menyerahkan secara simbolik 10,000 tan beras kepada pihak Palestin.
Penghantaran bantuan tersebut akan dilakukan mengikut keperluan dan pada waktu yang akan ditentukan oleh Kedutaan Palestin di Indonesia.
Kerjasama tersebut bukan sahaja merangkumi bantuan makanan, tetapi juga melibatkan pemindahan teknologi.
Encik Andi Amran turut memuji kepakaran Palestin dalam sistem pengairan moden, terutama teknologi titisan air yang sangat sesuai untuk tanaman hortikultur.
“Palestin memiliki kelebihan dalam pengurusan air kerana faktor geografi mereka. Mereka pakar dalam teknologi irigasi titisan yang akan sangat bermanfaat untuk projek ini,” ujar beliau.
Menurut Encik Andi Amran, para pakar Palestin akan dihantar ke Indonesia untuk memperkenalkan dan melatih petani tempatan tentang penggunaan teknologi tersebut.
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan hasil pertanian dan memastikan kawasan yang diurus bersama dapat mencapai kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 tan beras setahun.
Selain padi, kawasan pertanian ini juga akan menghasilkan komoditi hortikultur utama seperti tomato, timun, dan bawang putih.
Kerjasama strategik ini turut mencadangkan penubuhan Zon Pelaburan Solidariti Palestin-Indonesia, yang dijangka meliputi kawasan seluas 10,000 hingga 15,000 hektar dan berpotensi diluaskan sehingga 20,000 hektar jika Kalimantan disertakan.
Menurut laporan agensi berita Antara, hampir semua hasil pertanian dari zon ini akan dihantar ke Palestin.
“Ini adalah perhatian khusus daripada Presiden Prabowo Subianto terhadap rakyat Palestin,” kata Encik Andi Amran.
“Projek ini berteraskan semangat kemanusiaan dan visi kedaulatan makanan yang saling menguntungkan,” tambah beliau.
Kerjasama ini menurutnya bersifat lestari, fleksibel dan terbuka kepada pengembangan, sejajar dengan matlamat jangka panjang kedua-dua negara untuk mewujudkan rantaian makanan yang stabil dan adil.
Dalam majlis yang sama, Encik Rezq menyampaikan penghargaan atas sokongan berterusan Indonesia terhadap Palestin.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemerintah Indonesia. Terima kasih kerana sentiasa menyokong rakyat Palestin dalam semua aspek,” katanya.
MOU yang ditandatangani turut merangkumi kerjasama dalam pembangunan produk pertanian, pengurusan usaha tani komersial, industri benih, bioteknologi, penggunaan jentera pertanian, serta pembentukan simpanan makanan strategik. – Agensi berita.

