JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto, berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap amalan perniagaan tidak beretika atau apa yang beliau sebut sebagai “serakahnomik”.
Kenyataan itu dibuat dalam Ucapan Negara Tahunan pertamanya sejak memegang jawatan pada Oktober lalu, di mana beliau turut menonjolkan pencapaian pemerintah sepanjang tempoh pentadbirannya.
Berucap di kompleks Parlimen di Jakarta, Encik Prabowo menegaskan pemerintah tidak akan berkompromi dengan syarikat atau individu yang mengamalkan monopoli, menetapkan harga secara pakatan, menyorok barang bersubsidi untuk dijual semula dengan keuntungan berganda, atau sengaja mencipta kekurangan bekalan bagi memanipulasi harga pasaran.
“Ada peniaga yang menggunakan kekayaan mereka untuk menipu dan mengorbankan kepentingan rakyat Indonesia demi memaksimumkan keuntungan. Bagi kami, ini tidak boleh diterima,” katanya.
Encik Prabowo menjelaskan, membanteras amalan “ekonomi serakah” adalah salah satu sebab beliau menubuhkan lebih 80,000 koperasi desa di seluruh Indonesia, bagi memastikan barang bersubsidi tidak dikuasai orang tengah, sebaliknya terus memberi manfaat kepada para petani.
Beliau menggunakan ucapan negara tersebut untuk menonjolkan kejayaan awal pentadbirannya, khususnya dalam program sosial yang diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.
“Matlamat kemerdekaan kita adalah bebas daripada kemiskinan, bebas daripada kelaparan, bebas daripada penderitaan. Negara kita mesti mampu berdiri di atas kaki sendiri, berdaulat dalam ekonomi dan mampu memenuhi keperluan makanan rakyatnya,” kata Encik Prabowo di hadapan anggota Parlimen.
Encik Prabowo, yang memenangi pilihan raya 2024 dengan majoriti besar dalam percubaan ketiga beliau untuk menjadi presiden, mengekalkan janji untuk meneruskan dasar pendahulunya, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Jika pentadbiran Encik Jokowi dikenali dengan projek infrastruktur berskala besar, Encik Prabowo menjadikan kebajikan dan program sosial sebagai teras strategi pertumbuhan.
Antara pencapaian yang dibanggakan termasuk pertumbuhan ekonomi lebih pantas daripada jangkaan, 20 juta rakyat menerima makanan percuma melalui program khas beliau, tindakan tegas membanteras rasuah, dan pengurangan perbelanjaan tidak perlu.
Ucapan beliau disampaikan selepas 10 bulan mentadbir, ketika ekonomi Indonesia mencatat pertumbuhan suku tahunan terpantas dalam tempoh dua tahun, mengatasi jangkaan penganalisis.
Pasaran saham juga mencecah paras tertinggi baru, dipacu oleh pelabur domestik.
Nilai mata wang rupiah pula mengukuh kira-kira 5 peratus sejak mencatat paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat pada April lalu, didorong oleh kelemahan dolar di pasaran global.
Encik Prabowo dijangka membentangkan draf belanjawan 2026 pada sesi petang, dengan pelabur menantikan petunjuk sama ada beliau akan meningkatkan perbelanjaan defisit, program yang bakal menjadi keutamaan, serta rancangan perbelanjaan pertahanan untuk memodenkan angkatan tentera terbesar di Asia Tenggara itu.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo turut mengumumkan tindakan menyeluruh untuk membanteras eksploitasi haram sumber asli negara.
Hasil tinjauan terhadap ladang kelapa sawit mendapati 3.7 juta hektar beroperasi secara haram, daripada keseluruhan 5 juta hektar yang sedang disiasat.
“Kita telah merampas 3.1 juta hektar ladang haram dengan bantuan angkatan tentera. Kehadiran tentera penting kerana sering terdapat tentangan ketika operasi dijalankan,” katanya.
Sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, Indonesia menjadikan langkah ini sebagai isyarat jelas bahawa undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa kompromi.
Encik Prabowo turut memaklumkan pemerintah akan memperluas tindakan ke atas aktiviti perlombongan haram, susulan laporan mengenai 1,063 operasi haram di seluruh kepulauan kaya mineral itu.
Walaupun beliau tidak memperincikan jenis lombong atau komoditi yang terlibat, langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mengekang kerosakan alam sekitar dan kehilangan hasil negara.
“Kita juga akan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang didapati menyimpan dan mengeksploitasi komoditi penting negara,” tegas beliau.
Selain itu, Encik Prabowo mengumumkan langkah untuk mengawal harga dan mutu beras dengan mewajibkan kilang beras berskala besar mendapatkan permit pemerintah.
“Langkah ini bertujuan memastikan kualiti beras terjamin dan harga kekal mampu dibeli rakyat,” jelasnya.
Sejak memegang jawatan pada Oktober 2024, Encik Prabowo berulang kali menegaskan bahawa pembangunan manusia adalah keutamaan pentadbirannya.
Beliau melihat program sosial seperti bantuan makanan percuma sebagai pelaburan jangka panjang dalam kesihatan, pendidikan, dan produktiviti rakyat.
“Kita mesti kekal berpegang pada prinsip bahawa kesejahteraan rakyat adalah kunci kekuatan negara,” ujarnya, sambil menambah bahawa kejayaan ekonomi mesti dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Ucapan Negara Pertama ini turut menjadi medan untuk Encik Prabowo membina imej sebagai pemimpin yang tegas dalam pembaharuan ekonomi dan pengurusan sumber asli, sambil memupuk keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbirannya.
Dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-80 pada 17 Ogos hujung minggu ini, mesej beliau jelas, keamanan, kemakmuran, dan kedaulatan ekonomi adalah matlamat yang perlu dicapai bersama.
“Kita mesti berdiri di atas kaki sendiri, dan kita mesti memastikan setiap rakyat merasai manfaat kemerdekaan ini,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg