Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia rancang buka laluan laut untuk ibadah haji, umrah

Jul 10, 2025 | 11:58 AM
jemaah haji indonesia, pesawat
Jemaah haji yang pulang menerima bantuan sebaik sahaja mereka turun dari pesawat setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda di Blang Bintang, wilayah Aceh pada 28 Jun 2025, selepas menunaikan ibadah haji. - Foto AFP

JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang mempertimbangkan untuk membuka laluan laut sebagai alternatif perjalanan bagi jemaah haji dan umrah, menurut kenyataan Menteri Agama Nasaruddin Umar.

Cadangan itu adalah salah satu hasil utama daripada lawatan Presiden Prabowo Subianto ke Arab Saudi pada 2 Julai lalu.

“Kami percaya bahawa memperkenalkan perjalanan umrah dan haji melalui laut adalah satu langkah yang berpotensi dan boleh direalisasikan pada masa akan datang,” kata Encik Nasaruddin dalam kenyataan bertulis pada 8 Julai.

Menurut beliau, Kementerian Agama kini sedang berkomunikasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi meneliti kemungkinan pelaksanaan pelan ini.

Hasrat utama pemerintah adalah menyediakan alternatif perjalanan haji dan umrah yang lebih murah berbanding laluan udara, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat dari pelbagai latar belakang ekonomi.

“Kalau kita dapat sediakan pilihan yang lebih mampu milik, maka ibadah ini boleh dinikmati oleh bukan sahaja golongan berada, malah mereka yang sederhana dan kurang berkemampuan,” tambah beliau.

Encik Nasaruddin turut menjelaskan bahawa laluan laut boleh memberi akses terus ke Pelabuhan Jeddah, bukan hanya untuk jemaah dari Indonesia, malah dari negara Asia lain.

“Bukan sahaja negara jiran seperti Mesir, malah jemaah dari Indonesia dan rantau Asia lain turut boleh manfaatkan laluan ini,” katanya.

Beliau menyifatkan pelan ini sebagai satu inisiatif yang bukan sahaja memberi laluan alternatif kepada jemaah, bahkan memberi nilai strategik kepada Arab Saudi dalam konteks pelancongan keagamaan dan pelaburan.

“Arab Saudi kini mempunyai pendekatan yang sangat berorientasikan perniagaan, dengan penglibatan konsultan antarabangsa. Mereka memanfaatkan potensi geografi negara mereka sepenuhnya,” ujar Encik Nasaruddin.

Penggunaan laluan laut untuk ibadah haji bukanlah perkara baru bagi Indonesia.

Malah, sebelum merdeka lagi, jemaah haji dari pelbagai wilayah seperti Sumatera, Jawa dan Bali sudah pun berangkat ke tanah suci melalui pelabuhan utama negara.

Ketika itu, perjalanan laut ke Arab Saudi boleh mengambil masa sehingga enam bulan, bergantung kepada keadaan cuaca dan laluan.

Namun selepas pembukaan Terusan Suez pada 1869, masa perjalanan menjadi lebih singkat.

Penggunaan kapal laut diteruskan selepas kemerdekaan Indonesia sehingga ia dihentikan sepenuhnya pada tahun 1979 dan digantikan dengan penerbangan udara.

Selain itu, Encik Nasaruddin juga mendedahkan bahawa Arab Saudi sedang dalam proses menaik taraf kemudahan ibadah di tanah suci, termasuk cadangan pembinaan struktur bertingkat lapan di kawasan Mina dan pelebaran kawasan sekitar Kaabah.

“Ini adalah perkembangan yang sangat menarik. Kalau semuanya berjalan lancar, kita akan melihat perkhidmatan haji yang jauh lebih baik pada masa depan,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg