JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengumumkan tiga inisiatif penting bagi memperkukuh kemudahan dan perkhidmatan jemaah haji dan umrah dari Indonesia.
Beliau mengusulkan pembinaan perkampungan Indonesia di Makkah, iltizam untuk menurunkan kos haji hingga lebih rendah daripada Malaysia, serta perasmian Terminal Khas Haji dan Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Pengumuman itu dibuat pada 4 Mei semasa majlis perasmian Terminal 2F khas Haji dan Umrah.
Encik Prabowo menegaskan lebih 220,000 juta rakyat Indonesia menunaikan ibadah haji setiap tahun – angka yang menuntut penyediaan kemudahan lebih sistematik, selesa dan menyeluruh.
Beliau memaklumkan bahawa pemerintah Indonesia sedang merancang untuk membina perkampungan Indonesia berhampiran Masjidil Haram, Makkah, bagi menempatkan jemaah.
Beliau berkata saranan tersebut telah dikemukakan secara langsung kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dan menerima maklum balas positif.
“Ketika saya bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman, saya sampaikan hasrat Indonesia untuk membina kawasan penempatan sendiri sedekat mungkin dengan Masjidil Haram. Respons beliau sangat baik dan katanya, ‘Mari kita rancang secara teknikal dan terperinci’,” kata Encik Prabowo.
Projek itu bertujuan memudahkan pergerakan jemaah Indonesia yang sentiasa hadir dalam jumlah besar setiap tahun.
Menurut Encik Prabowo, pemerintah akan menghantar Menteri Hal Ehwal Agama, Encik Nasaruddin Umar, untuk mengadakan rundingan teknikal bersama kerajaan Arab Saudi bagi membincangkan pelaksanaan cadangan tersebut.
“Jika Arab Saudi meluluskan cadangan ini, kami berharap dapat mempercepatkan urusan operasi penerbangan dan menyediakan tempat tinggal sendiri kepada jemaah kita,” jelasnya.
Presiden Prabowo turut menegaskan bahawa beliau belum berpuas hati dengan kos haji sedia ada, dan telah mengarahkan pihak Kementerian Agama dan Badan Pengelola Haji (BPH) supaya mengurangkan kos tersebut dengan lebih ketara.
“Saya tidak puas hati dengan kos sekarang. Kalau boleh, kita harus berusaha supaya kos haji kita lebih rendah daripada Malaysia,” kata beliau dalam ucapan perasmian terminal khas itu.
Sebagai langkah permulaan, kos Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH) 2025 berjaya dikurangkan sebanyak 4 juta rupiah ($314).
BPIH telah turun daripada 93.4 juta rupiah kepada 89.4 juta rupiah, manakala kos yang perlu ditanggung oleh jemaah sendiri dikurangkan kepada 55.43 juta rupiah berbanding 56.04 juta rupiah pada 2024.
Namun begitu, Encik Prabowo menyedari kosnya di Malaysia masih lebih rendah. Dengan subsidi kerajaan sebanyak 55 peratus, jemaah golongan berpendapatan rendah (B40) di Malaysia hanya membayar sekitar RM15,000 ($4,575) untuk menunaikan haji.
“Ini baru permulaan. Kita mesti cari jalan untuk menurunkan lagi kos mungkin melalui peningkatan perkhidmatan penginapan dan pengangkutan,” tambah Encik Prabowo.
Dalam majlis yang sama, Encik Prabowo turut merasmikan Terminal 2F yang telah diperbaharui khas untuk jemaah haji dan umrah.
Terminal itu dikatakan mampu menampung hingga 94 juta penumpang setahun dan dirancang untuk memberi keselesaan kepada jemaah, khususnya warga emas yang memerlukan lebih perhatian.
“Ramai jemaah kita sudah menabung bertahun-tahun dan menunggu giliran mereka. Di bawah kepimpinan saya, kita akan lakukan segala yang termampu untuk memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.
Beliau turut memuji reka bentuk terminal yang moden, luas dan mesra pengguna.
Kemudahan ini disifatkan sebagai satu pencapaian besar dalam memperkukuh prasarana negara dalam sektor perkhidmatan ibadah.
“Kami bangga kerana kemudahan ini bukan sahaja moden dan selesa, malah turut mempunyai kapasiti luar biasa,” ujar Encik Prabowo.
Ketika kumpulan pertama jemaah haji Indonesia berangkat pada 2 Mei untuk musim haji 2025, Encik Prabowo menegaskan bahawa tumpuan utama pemerintah adalah kesejahteraan jemaah.
“Kita mahu jemaah kita rasa dihargai dan dihormati. Perjalanan ibadah ini bukan sekadar fizikal, malah juga jiwa dan rohani.
“Maka tanggungjawab kita ialah memastikan mereka dibantu dari awal hingga akhir,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg