Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo serah aset rampasan kepada syarikat lombong negara dalam usaha perangi rasuah

Oct 6, 2025 | 7:54 PM
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melawat loji peleburan PT Tinindo Internusa sebelum menyerahkan aset termasuk peleburan dan jentera berat yang dirampas dalam kes rasuah kepada syarikat perlombongan timah milik negara, PT Timah, di Pangkal Pinang, Provinsi Kepulauan Bangka Belitung, 6 Oktober 2025
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melawat loji peleburan PT Tinindo Internusa sebelum menyerahkan aset termasuk peleburan dan jentera berat yang dirampas dalam kes rasuah kepada syarikat perlombongan timah milik negara, PT Timah, di Pangkal Pinang, Provinsi Kepulauan Bangka Belitung, 6 Oktober 2025 - Foto Reuters

PANGKALPINANG: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan komitmen pemerintah untuk membanteras kegiatan perlombongan dan penyeludupan timah secara haram ketika menyaksikan penyerahan aset rampasan kepada syarikat milik negara, PT Timah, pada 7 Oktober.

Dalam lawatan ke bandar Pangkalpinang di Pulau Bangka pusat industri timah Indonesia, Encik Prabowo menyaksikan secara langsung penyerahan pelbagai aset bernilai tinggi yang dirampas selepas beberapa eksekutif syarikat timah disabitkan kesalahan bersekongkol menjalankan perlombongan haram.

“Aktiviti perlombongan tanpa izin ini bukan sahaja merugikan negara, malah merosakkan alam sekitar. Kita mesti hentikan penyeludupan, hentikan perlombongan haram, dan menegakkan undang-undang,” tegas Encik Prabowo kepada wartawan selepas majlis penyerahan itu.

Menurut Pejabat Peguam Negara, tindakan jenayah tersebut menyebabkan kerugian negara sekitar 300 trilion rupiah, termasuk kerosakan alam sekitar yang serius.

Data rasmi menunjukkan aset yang diserahkan kepada PT Timah merangkumi enam loji peleburan (smelter), kira-kira 680 tan timah yang telah diproses serta 108 unit jentera berat. Aset-aset ini dianggarkan mampu menjana pendapatan sehingga 4.6 trilion rupiah ($3.58 bilion) setahun apabila beroperasi sepenuhnya.

Beberapa aset dipamerkan semasa majlis itu, termasuk jongkong timah yang tersusun dan puluhan jentera berat. “Ini langkah penting untuk mengembalikan aset negara kepada rakyat,” kata seorang pegawai dari pejabat peguam negara.

Prabowo juga mengarahkan kerjasama berterusan antara tentera, kastam, pengawal pantai dan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan penyeludupan timah dan perlombongan haram dapat dihentikan sepenuhnya.

Beliau sebelum ini telah mengarahkan penutupan kira-kira 1,000 lombong timah haram di Bangka dan Belitung, yang turut menyumbang kepada kenaikan harga timah hampir paras tertinggi enam bulan minggu lalu.

Bagaimanapun, lawatan itu turut disertai demonstrasi oleh sekumpulan pelombong kecil di luar pejabat PT Timah. Mereka menuntut syarikat itu membayar harga yang lebih baik untuk bijih timah yang mereka bekalkan. Menurut laporan media tempatan Kumparan, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Seorang pelombong yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman berkata, “Kami bekerja keras di lapangan, tapi harga yang dibayar tidak sepadan. Kami mahu keadilan.”
Pemerintah menegaskan usaha membanteras kegiatan haram ini bukan sahaja untuk melindungi ekonomi negara, tetapi juga memastikan industri timah dapat diurus secara mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg