Indonesia rancang luaskan program makanan percuma berkhasiat kepada warga emas dan OKU

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia rancang luaskan program makanan percuma berkhasiat kepada warga emas dan OKU

Feb 6, 2026 | 4:07 PM

Indonesia rancang luaskan program makanan percuma berkhasiat kepada warga emas dan OKU

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pelajar-pelajar berdoa sebelum menikmati hidangan yang dibekalkan melalui program makanan percuma kerajaan Indonesia di sebuah sekolah rendah di Banda Aceh pada 30 Oktober 2025.
Pelajar-pelajar berdoa sebelum menikmati hidangan yang dibekalkan melalui program makanan percuma kerajaan Indonesia di sebuah sekolah rendah di Banda Aceh pada 30 Oktober 2025. - Foto AFP

JAKARTA: Pemerintah Indonesia merancang untuk meluaskan pelaksanaan Program Makanan Percuma Berkhasiat (MBG) tahun 2026 ini bagi merangkumi sehingga 400,000 warga emas serta kira-kira 36,000 individu orang kurang upaya (OKU), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan sosial dan pemakanan golongan rentan.

Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf, berkata kementeriannya telahpun melaksanakan inisiatif penyediaan makanan untuk warga emas sebelum ini, namun peluasan kali ini bertujuan menyelaraskan program tersebut secara lebih sistematik dengan pelaksanaan MBG di peringkat nasional.

“Pada asasnya, langkah seterusnya adalah untuk memperluaskan dan mengintegrasikan perkhidmatan perlindungan sosial kami dengan program MBG yang sedang dilaksanakan oleh Badan Gizi Nasional,” kata Saifullah dalam satu kenyataan di Jakarta pada 5 Februari.

Menurut beliau, setakat ini program sedia ada telah memberi manfaat kepada sekitar 136,000 warga emas, dan sasaran baharu adalah untuk meningkatkan liputan itu secara berperingkat dengan pendekatan berasaskan data yang lebih tersusun.

Encik Saifullah berkata kementeriannya kini masih dalam proses mengumpul data penerima baru MBG, termasuk membangunkan mekanisme pengagihan yang cekap bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran secara tepat dan berkesan.

“Kami masih mengemaskini data bakal penerima dan pada masa yang sama merangka kaedah pengagihan supaya pelaksanaan program ini benar-benar efisien dan tidak bertindih,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memasukkan warga emas yang tinggal di rumah jagaan atau pusat penjagaan dalam peluasan program tersebut. Namun begitu, jumlah muktamad penerima baharu masih belum diputuskan.

Bagi golongan OKU pula, Encik Saifullah mengesahkan bahawa pemerintah menyasarkan penyediaan sarapan dan makan tengah hari percuma berkhasiat setiap hari kepada sekitar 36,000 individu, selaras dengan keutamaan nasional dalam agenda kebajikan sosial.

Pengagihan makanan MBG kepada warga emas dan OKU akan dilaksanakan secara langsung melalui dapur-dapur yang disokong oleh Badan Gizi Nasional, dengan kerjasama kakitangan kementerian, penjaga, serta sukarelawan sosial.

“Ini adalah perancangan kementerian kami bersama Badan Gizi Nasional,” jelas Encik Saifullah kepada Antara. “Sementara itu, tanggungjawab penyampaian MBG kepada wanita hamil terletak di bawah seliaan Kementerian Kependudukan dan Pembangunan Keluarga.”

Program MBG yang dilancarkan pada Januari tahun lalu telah berkembang pesat dan kini meliputi pelbagai kumpulan sasaran. Menurut Encik Saifullah, setakat ini program tersebut telah memberi manfaat kepada kira-kira 60.7 juta pelajar sekolah, kanak-kanak kecil, ibu menyusu dan wanita hamil melalui 22,275 dapur di seluruh Indonesia.

Beliau menegaskan bahawa integrasi perkhidmatan perlindungan sosial dengan program MBG bukan sekadar bertujuan memperluas bantuan, tetapi juga memastikan intervensi kerajaan berasaskan data yang tepat dan selari dengan keperluan sebenar masyarakat.

“Usaha ini bertujuan membantu golongan rentan memenuhi keperluan pemakanan mereka, sambil memastikan bantuan diberikan secara bersasar dan berkesan,” katanya.

Menurut Encik Saifullah, pendekatan itu selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto, yang menekankan kepentingan program sosial berimpak tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan paling terdedah kepada risiko kekurangan zat makanan.

Pemerhati dasar sosial melihat peluasan MBG kepada warga emas dan OKU sebagai langkah penting dalam menghadapi cabaran penuaan penduduk dan ketidaksamaan akses kepada pemakanan berkualiti. Dengan penekanan terhadap penyelarasan antara agensi serta penggunaan data, kerajaan berharap program ini dapat menjadi tulang belakang kepada sistem perlindungan sosial yang lebih mampan dan inklusif di Indonesia. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg