JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang mempertimbangkan pembaharuan besar terhadap industri e-hailing yang berpotensi mengubah secara ketara hubungan antara platform digital dan jutaan pemandu di negara itu, termasuk dengan mengurangkan kadar komisen serta mewajibkan perlindungan insurans penuh kepada pemandu.
Menurut draf peraturan presiden yang sedang dipertimbangkan oleh Presiden Prabowo Subianto, had komisen yang boleh diambil oleh platform e-hailing akan diturunkan kepada 10 peratus, berbanding sekitar 20 peratus pada masa ini. Selain itu, platform juga diwajibkan menanggung sepenuhnya kos insurans kemalangan dan kematian untuk pemandu mereka.
Jika diluluskan, langkah ini dijangka memberi manfaat besar kepada jutaan pemandu motosikal dan kereta yang bergantung kepada platform digital sebagai sumber pendapatan utama, tetapi pada masa sama mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain industri.
Seorang sumber industri yang telah melihat draf tersebut memberitahu Reuters bahawa “kebanyakan pemain industri tidak mampu menampung perubahan ini”. Menurutnya, kos insurans yang perlu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat boleh menyebabkan perbelanjaan tahunan melonjak dengan ketara.
Sumber kedua pula memberi amaran bahawa peningkatan kos operasi berkemungkinan menjejaskan margin keuntungan syarikat dan mendorong platform mengehadkan jumlah pemandu yang dibenarkan menyertai aplikasi mereka. “Jika kos terlalu tinggi, platform mungkin menjadi lebih selektif, dan ini boleh menjejaskan peluang pendapatan pemandu baru,” katanya.
Selama ini, syarikat e-hailing menegaskan bahawa pemandu merupakan pekerja gig, bukan kakitangan sepenuh masa, dan oleh itu tidak layak menerima perlindungan atau faedah setara pekerja tetap. Namun, draf peraturan baharu ini dilihat sebagai perubahan besar dalam pendekatan kerajaan terhadap kebajikan pekerja gig.
Selain soal komisen dan insurans, draf peraturan itu turut memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyemak perjanjian antara syarikat dan pekerja pengangkutan dalam talian, serta melindungi hak pemandu untuk berkesatuan. Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan tawar-menawar pemandu dalam ekosistem ekonomi digital.
Tekanan terhadap kerajaan untuk bertindak semakin meningkat selepas pemandu e-hailing memainkan peranan penting dalam protes besar-besaran pada Ogos lalu, yang menuntut pendapatan lebih adil dan perlindungan sosial yang lebih kukuh.
Jurucakap Presiden, Encik Prasetyo Hadi, sebelum ini menyifatkan pemandu sebagai “wira ekonomi” yang menyokong pergerakan harian masyarakat dan aktiviti perniagaan.
“Pemandu teksi motosikal kini muncul sebagai kuasa politik yang semakin ketara,” kata Encik Siwage Dharma Negara, felo kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak. Menurut beliau, kematian seorang pemandu semasa protes Ogos lalu telah meningkatkan perhatian awam terhadap kerentanan pekerja gig di Indonesia.
Perdebatan ini turut berlaku ketika timbul kebimbangan mengenai kebajikan pemandu susulan potensi penggabungan antara syarikat teknologi tempatan GoTo dan pesaingnya dari Singapura, Grab. Pengkritik berpendapat penggabungan sedemikian boleh mewujudkan monopoli yang akhirnya merugikan pemandu.
Draf peraturan presiden itu bukan sahaja terpakai kepada perkhidmatan e-hailing penumpang, malah turut melibatkan syarikat logistik atas permintaan seperti Lalamove dan J&T Express, yang juga bergantung kepada tenaga kerja bebas.
Indonesia kini merupakan pasaran teksi dan e-hailing terbesar di Asean, dengan pegangan sekitar 37 peratus pada 2024, didorong oleh saiz penduduk yang besar serta penggunaan pembayaran digital yang pesat.
Dalam perkembangan berkaitan, Grab Indonesia pada 13 Januari mengumumkan pelaksanaan program kebajikan bernilai 100 bilion rupiah (sekitar S$7.6 juta) untuk rakan pemandunya. Program itu meliputi sumbangan insurans pekerjaan, bonus perayaan dan latihan kemahiran.
Ketua Pegawai Eksekutif Grab Indonesia, Cik Neneng Goenadi, berkata dana tersebut akan digunakan untuk membayar premium skim insurans pekerjaan nasional, BPJS Ketenagakerjaan, menyediakan bonus tahunan sempena perayaan keagamaan, serta menyokong latihan pemandu melalui Grab Academy.
“Hari ini kami melancarkan program Grab untuk Indonesia dengan memperuntukkan Rp100 bilion bagi tiga inisiatif utama: caruman Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS), Ketenagakerjaan percuma, bonus perayaan, dan program Akademi Grab,” katanya di Jakarta.
Cik Neneng menjelaskan bahawa program itu memberi keutamaan kepada pemandu berprestasi tinggi, namun menegaskan bahawa semua rakan pemandu Grab tetap dilindungi oleh insurans asas sekiranya berlaku kemalangan berkaitan kerja. “Walaupun mereka bukan dalam kategori berprestasi tinggi, perlindungan insurans tetap diberikan jika kemalangan berlaku,” katanya.
Inisiatif tersebut menerima maklum balas positif daripada Menteri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, Encik Maman Abdurrahman, yang menyifatkannya sebagai usaha ikhlas untuk mengukuhkan perkongsian antara platform dan pemandu.
“Saya menghargai niat positif Grab. Komitmen untuk mengekalkan hubungan konstruktif antara syarikat dan rakan pemandu perlu terus disokong supaya keseluruhan ekosistem pengangkutan dalam talian kekal sihat,” katanya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg