Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sasar pengeluaran kereta nasional bermula 2027

Nov 14, 2025 | 4:27 PM
Menteri Perindustrian (Menperin) Agus Gumiwang Kartasasmita di pameran ‘Satu Tahun Industrialisasi: Ekonomi Indonesia Tumbuh Tangguh’ di Jakarta, pada 5 November.
Menteri Perindustrian (Menperin) Agus Gumiwang Kartasasmita di pameran ‘Satu Tahun Industrialisasi: Ekonomi Indonesia Tumbuh Tangguh’ di Jakarta, pada 5 November. - Foto Fail

JAKARTA: Indonesia bakal memulakan pengeluaran kereta nasional pertama negara pada tahun 2027, menurut pengumuman Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita pada 13 November.

Beliau mengesahkan bahawa syarikat milik negara dalam sektor pertahanan, Pindad, telah dipilih sebagai pemaju utama bagi projek strategik tersebut. “Kami meramalkan pengeluaran kereta nasional akan bermula pada 2027,” kata Encik Agus seperti yang dilaporkan oleh agensi Antara.

Encik Agus menjelaskan bahawa perbincangan terperinci dengan Pindad telah pun berlangsung, meliputi jenis kenderaan, teknologi pengeluaran, strategi harga, pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan.

Menurut beliau, rundingan strategik itu dilakukan untuk melaksanakan arahan Presiden Prabowo Subianto agar Indonesia memiliki kereta nasional secepat mungkin. “Perbincangan ini penting untuk mempersiapkan dan merealisasikan arahan Presiden supaya Indonesia mempunyai kereta nasional dalam masa terdekat,” katanya.

Encik Agus turut mendedahkan bahawa kementeriannya dan Pindad sedang menilai kemungkinan untuk menjemput rakan kongsi tambahan dalam membangunkan projek itu.
“Berdasarkan penilaian pertemuan antara Kementerian Perindustrian dan Pindad, kami boleh menyimpulkan bahawa Pindad sudah bersedia dan konsepnya cukup lengkap,” tegasnya.

Menteri itu menambah bahawa kerajaan kini sedang merangka dasar rangsangan dan insentif untuk mengukuhkan sektor automotif, memandangkan industri tersebut memainkan peranan besar dalam penciptaan pekerjaan dan ketahanan ekonomi.

“Kementerian Perindustrian memberi perhatian khusus kepada sektor automotif kerana ia terlalu penting untuk diabaikan. Akan ada sekurang-kurangnya dasar fiskal pada 2026 bagi mempercepat pertumbuhan sektor ini,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Prabowo menegaskan bahawa pemerintah telah memulakan langkah awal untuk merealisasikan projek kereta buatan Indonesia. Dalam mesyuarat kabinet penuh di Istana Negara pada 20 Oktober, beliau berkata bahawa inisiatif itu akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun.

“Kita telah memulakan inisiatif ini. Dalam tempoh tiga tahun, kita akan mempunyai kereta buatan Indonesia,” kata Presiden Prabowo. Beliau turut mendedahkan bahawa pemerintah telah memperuntukkan dana dan menyediakan tanah untuk pembinaan kemudahan pengeluaran kenderaan domestik, yang kini sedang disiapkan oleh pasukan pembangunan.

Pelancaran projek kereta nasional ini dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam pembangunan industri Indonesia. Ia mencerminkan aspirasi pemerintah untuk memperkukuh keupayaan pembuatan dalam negara, meningkatkan kebergantungan teknologi sendiri dan meluaskan kedudukan Indonesia dalam pasaran automotif global yang semakin kompetitif.

Dengan Pindad sebagai pemaju utama, pemerintah berharap projek ini dapat meningkatkan ekosistem industri automotif, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menarik minat pelabur dalam dan luar negara.

Namun begitu, kejayaan projek ini bergantung kepada kestabilan dasar, insentif yang berkesan dan kemampuan Indonesia membangunkan rangkaian bekalan automotif yang kukuh menjelang 2027. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg