Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo pimpin upacara Hari Kemerdekaan di Jakarta

Majlis meriah di Istana Negara dihadiri pegawai tinggi, diplomat asing, veteran dan lebih 8,000 rakyat  
Aug 18, 2025 | 3:00 PM
hari merdeka, prabowo subianto
Upacara Hari Kemerdekaan pertama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, diadakan di Istana Negara pada 17 Ogos. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memimpin upacara Hari Kemerdekaan yang ke-80 di Jakarta pada 17 Ogos.

Ia merupakan kali pertama beliau melakukannya sejak dilantik sebagai ketua negara pada 2024.

Majlis yang meriah itu diadakan di Istana Negara dan dihadiri pegawai tinggi, diplomat asing, veteran, serta lebih 8,000 rakyat yang bertuah. 

Sebelum ini, Istana tersebut membuka pendaftaran awam untuk mereka yang ingin menghadiri acara tersebut, dan kuota tempat penuh dalam beberapa jam sahaja.

Upacara dimulakan dengan perarakan budaya – yang membawa replika bendera Merah-Putih asal serta teks Proklamasi Kemerdekaan – dari Monumen Nasional ke Istana Negara.

Perarakan itu melibatkan ratusan pegawai keselamatan yang menaiki motosikal dan kuda, serta anggota tentera dan pancaragam akademi polis yang memakai pakaian tradisional.

Pada sekitar 9.50 pagi waktu tempatan (10.50 pagi waktu Singapura), Encik Prabowo, yang mengenakan pakaian tradisional Melayu berwarna putih pudar, memulakan upacara pengibaran bendera dengan membacakan Proklamasi Kemerdekaan, sebelum menyerahkan bendera kepada pasukan pengibar.

Perayaan diteruskan dengan pertunjukan udara, yang melibatkan lapan pesawat pejuang F-16 dari Tentera Udara Indonesia, serta pelbagai persembahan budaya.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah mantan Presiden, Encik Susilo Bambang Yudhoyono, dan Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang hadir bersama isteri, Cik Iriana.

Mereka duduk bersebelahan dengan Encik Prabowo dan di hadapan Timbalan Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Widodo.

Mantan Timbalan Presiden, Encik Try Sutrisno, Encik Jusuf Kalla, Encik Boediono, dan Encik Ma’ruf Amin, juga hadir.

Presiden Indonesia kelima, Cik Megawati Sukarnoputri, yang hadir di Istana pada 16 Ogos, bagi merasmikan pasukan pengibar bendera nasional 2025 sebagai Ketua Jawatankuasa Pengarah Badan Pelaksana Ideologi Negara Pancasila, tidak hadir pada upacara tersebut. 

Sebaliknya, beliau memilih untuk menghadiri majlis Hari Kemerdekaan yang diadakan oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) di pejabat parti tersebut di Jakarta.

Setiausaha Agung PDI-P, Encik Hasto Kristiyanto, berkata beliau ingin meraikan Hari Kemerdekaan bersama semua anggota parti.

Cik Megawati juga tidak hadir pada mesyuarat pleno Tahunan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) yang diadakan di Jakarta pada 15 Ogos, apabila Encik Prabowo menyampaikan ucapan pertama Negara. 

PDI-P merupakan parti terbesar di Dewan Perwakilan Rakyat yang dikuasai oleh pemerintah dan satu-satunya parti di luar pakatan pemerintah yang dipimpin oleh Encik Prabowo.

Hubungan beliau dengan Encik Prabowo semakin baik kebelakangan ini meskipun PDI-P masih dalam perselisihan dengan Encik Jokowi, yang dahulunya anggota parti tersebut sebelum keluar untuk menyokong pencalonan presiden Encik Prabowo pada 2024. 

Semasa kongres parti itu pada awal Ogos, Cik Megawati mengumumkan bahawa parti nasionalis tersebut akan bertindak sebagai “imbangan perlembagaan” pada dasar pemerintah.

Istana Negara mengadakan upacara menurunkan bendera pada petang 17 Ogos, sebelum perarakan Karnival Kemerdekaan pada waktu malam.

Encik Prabowo dijangka menghadiri permulaan perarakan tersebut, apabila kereta berhias yang mewakili pelbagai institusi pemerintah akan melalui jalan utama di Jakarta.

Semangat rakyat sangat tinggi menjelang sambutan Hari Kemerdekaan itu, yang merupakan kali pertama pemerintah memperuntukkan sebahagian besar tempat untuk orang awam menghadiri upacara tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg