Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sedia tampung sementara 1,000 rakyat Gaza yang cedera, trauma

Apr 9, 2025 | 11:11 AM
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menaiki pesawat khas di Pangkalan TNI AU Halim Perdanakusuma di Jakarta sebelum berangkat ke Timur Tengah pada 9 April.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menaiki pesawat khas di Pangkalan TNI AU Halim Perdanakusuma di Jakarta sebelum berangkat ke Timur Tengah pada 9 April. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengumumkan bahawa republik itu bersedia menampung sementara rakyat Palestin dari Gaza yang tercedera, trauma dan kehilangan tempat tinggal akibat perang berterusan di wilayah tersebut.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau memulakan siri lawatan ke lima negara di Timur Tengah termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Turkey, Mesir, Qatar dan Jordan.

Dalam sidang media khas yang diadakan di Pangkalan TNI AU Halim Perdanakusuma, Jakarta, Encik Prabowo pada 9 April berkata:

“Kami sedia memindahkan mereka yang luka-luka, yang trauma, anak-anak yatim piatu, siapa saja yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Palestin untuk dibawa ke Indonesia. Kami akan hantar pesawat-pesawat untuk bawa mereka.”

Beliau menjelaskan bahawa fasa pertama pemindahan akan melibatkan 1,000 rakyat Gaza dan mereka akan berada di Indonesia buat sementara waktu sehingga pulih dari segi kesihatan dan trauma, sebelum dibawa pulang semula ke Gaza apabila keadaan di sana kembali stabil.

“Syaratnya jelas. Semua pihak berkaitan mesti bersetuju. Dan bila mereka pulih serta keadaan di Gaza mengizinkan, mereka mesti kembali ke tanah air mereka,” ujar Encik Prabowo.

Sebagai negara Islam terbesar di dunia, Indonesia, tambah beliau, mempunyai tanggungjawab moral dan kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin yang sedang menderita.

Beliau turut memaklumkan Kementerian Luar Indonesia telah diarah segera berbincang dengan pihak Palestin dan negara berkaitan bagi menyelaras proses pemindahan itu.

“Kami tidak boleh berdiam diri. Komitmen Indonesia sejak dulu tetap konsisten menyokong kemerdekaan Palestin dan keselamatan rakyatnya.

“Ini bukan perkara mudah, tetapi kita tidak boleh berpaling daripada penderitaan mereka,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian tegas Jakarta dalam mendukung penyelesaian dua negara sebagai jalan damai paling adil untuk semua pihak.

Encik Prabowo turut menegaskan, selain menyediakan tempat perlindungan sementara, Indonesia turut menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menghantar pasukan perubatan yang kini bertugas di Gaza, walaupun berhadapan ancaman keselamatan yang tinggi.

“Kita sudah hantar pasukan perubatan dari TNI (Tentera Nasional Indonesia). Mereka masih bertugas di hospital di Gaza walaupun sering menjadi sasaran serangan,” tambah beliau.

Langkah itu turut disambut baik oleh banyak negara di rantau Timur Tengah yang melihat Indonesia sebagai pemain neutral dan berpotensi menjadi pengantara penyelesaian konflik jangka panjang.

Encik Prabowo menegaskan bahawa lawatan beliau ke Timur Tengah adalah hasil permintaan dari negara-negara sahabat agar Indonesia memainkan peranan lebih aktif dalam isu Gaza.

“Sebagai negara dengan penduduk Muslim terbesar, saya kira sudah sampai masa Indonesia bersuara lantang menuntut keadilan buat rakyat Palestin.

“Ini bukan tugas mudah. Tapi Indonesia akan terus berdiri bersama rakyat Palestin. Kami akan bantu selagi termampu – dari segi kemanusiaan, diplomasi dan moral,” kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg