JAKARTA: Kematian lima peserta dalam program latihan berasaskan ketenteraan untuk bakal pengurus Koperasi Desa/Kelurahan Merah Putih (KDMP) mencetuskan kebimbangan di Indonesia.

Namun di sebalik tragedi itu, pemerintah memilih untuk tidak menghentikan program berkenaan, sebaliknya melakukan rombakan menyeluruh terhadap modul latihan bagi memastikan matlamat memperkasakan ekonomi luar bandar terus diteruskan dengan pendekatan yang lebih sesuai.

Keputusan itu mencerminkan pendirian pemerintah bahawa daya usaha membangunkan 80,000 koperasi desa dan lebih 1,100 kampung nelayan menjelang 2029 masih menjadi antara agenda ekonomi terpenting Presiden Prabowo Subianto.

Namun, pelaksanaannya perlu disesuaikan berdasarkan pengalaman dan penilaian semasa.

Timbalan Menteri Setiausaha Negara, Encik Juri Ardiantoro, berkata Encik Prabowo sudah dimaklumkan mengenai kematian lima peserta terbabit dan mengarahkan satu penilaian menyeluruh dilakukan.

“Presiden mengikuti perkembangan kes ini dan mengarahkan pemerintah menjalankan penilaian secara menyeluruh supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya kepada pemberita di Istana Presiden di Jakarta.

Walaupun berlaku kejadian itu, beliau menegaskan latihan akan diteruskan kerana pemerintah masih memerlukan tenaga profesional bagi menguruskan KDMP serta Koperasi Kampung Nelayan Merah Putih (KNMP).

Program itu dilaksanakan menerusi skim Sarjana Penggerak Pembangunan Indonesia (SPPI) di bawah Kementerian Pertahanan bagi melahirkan pengurus koperasi yang mampu memacu pembangunan ekonomi luar bandar.

Seramai 35,476 lulusan mengikuti latihan yang bermula pada 17 Jun lalu di beberapa pusat pendidikan ketenteraan di seluruh Indonesia dan dijadual berakhir pada 31 Julai.

Bagaimanapun, tragedi yang meragut lima nyawa memaksa pemerintah menilai semula kandungan latihan.

Kementerian Pertahanan mengesahkan lima peserta yang meninggal dunia ialah Yonanda Muhammad Taufiq akibat serangan jantung; Anisa Muyassaroh akibat strok haba; Novia Rahmadhani Sihotang kerana komplikasi batuk kering; manakala Muhammad Rifki Renaldi Gunawan dan Nola Diasari meninggal dunia selepas mengalami masalah pernafasan ketika latihan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Rico Ricardo Sirait, berkata modul latihan sudah dipinda dan komponen latihan asas ketenteraan dihentikan.

“Program kini memberi tumpuan kepada pendidikan bela negara serta latihan pengurusan dan kepimpinan, bukannya latihan asas ketenteraan,” katanya.

Menurut beliau, perubahan itu dibuat bagi memastikan matlamat asal program, iaitu melahirkan pengurus koperasi yang cekap dan berwibawa, dapat dicapai tanpa menjejas aspek keselamatan peserta.

Yang Dipertua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani, turut menggesa supaya latihan lebih menumpukan kepada kemahiran pengurusan berbanding latihan bercorak ketenteraan.

“Saya berharap program ini memberi penekanan kepada keupayaan pengurusan supaya peserta dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik apabila ditempatkan di koperasi nanti,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta pemerintah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap kandungan latihan, kaedah pelaksanaan serta aspek keselamatan peserta.

Langkah pemerintah meminda kurikulum turut mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM), yang menggesa siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian peserta.

Komnas HAM berpendapat pengurus koperasi memerlukan kemahiran dalam bidang pengurusan, kewangan, pemasaran, pembangunan perniagaan dan tadbir urus, berbanding latihan bercorak ketenteraan.

Pandangan itu dikongsi beberapa penganalisis yang melihat kejadian berkenaan sebagai peluang untuk menambah baik reka bentuk program tanpa menjejas matlamat asal pemerintah.

Mereka berpandangan pembinaan watak seperti disiplin, integriti dan kepimpinan memang penting, namun, pendekatannya perlu lebih selari dengan tugas sebenar pengurus koperasi.

Pengurus koperasi bertanggungjawab mengurus kewangan, membina rangkaian pemasaran, membantu petani dan nelayan meningkatkan pendapatan serta memastikan koperasi beroperasi secara mampan.

Oleh itu, latihan berkaitan perancangan perniagaan, teknologi digital, pemasaran, tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan pembangunan masyarakat dilihat lebih relevan.

Dalam masa sama, ramai pemerhati menyifatkan tindakan pemerintah tidak menghentikan program secara keseluruhan sebagai langkah pragmatik.

Menurut mereka, Indonesia masih memerlukan puluhan ribu tenaga karyawan untuk mengurus rangkaian koperasi baharu yang bakal diwujudkan di seluruh negara.

Apa yang lebih penting adalah memastikan kurikulum latihan benar-benar memenuhi keperluan pengurus koperasi moden.

Bagi pemerintah Encik Prabowo, KDMP merupakan tonggak utama strategi membangunkan ekonomi rakyat.

Melalui koperasi, pemerintah berharap hasil pertanian dan perikanan dapat dipasarkan dengan lebih cekap, akses pembiayaan dipertingkat, rantaian bekalan diperkukuh serta peluang pekerjaan diwujudkan di kawasan luar bandar.

Dengan rombakan modul latihan, pemerintah berharap matlamat itu dapat dicapai tanpa mengulangi tragedi yang berlaku.

Kejadian berkenaan juga menjadi peringatan bahawa setiap program pembangunan berskala besar perlu sentiasa dinilai dan disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Jika proses penambahbaikan dilaksanakan secara menyeluruh, ramai penganalisis percaya program koperasi Merah Putih masih berpotensi menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi luar bandar Indonesia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dengan itu, ia sekali gus memperkukuh kesejahteraan masyarakat desa dan komuniti nelayan di seluruh negara. – Agensi berita.