Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia semak sistem daki Gunung Rinjani susulan pendaki Brazil maut

Jun 27, 2025 | 2:39 PM
Gambar edaran Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) menunjukkan pasukan penyelamat sedang bersiap sedia menggunakan dron dalam operasi mencari dan menyelamat seorang pelancong Brazil yang terjatuh semasa mendaki Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia, pada 23 Jun 2025.
Gambar edaran Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) menunjukkan pasukan penyelamat sedang bersiap sedia menggunakan dron dalam operasi mencari dan menyelamat seorang pelancong Brazil yang terjatuh semasa mendaki Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia, pada 23 Jun 2025. - Foto EPA-EFE

MATARAM: Pemerintah Indonesia akan menilai semula sistem pendakian di Gunung Rinjani susulan tragedi yang meragut nyawa pendaki warga Brazil, Cik Juliana Marins, yang terjatuh ke dalam gaung pada Sabtu, 21 Jun. Mayatnya hanya berjaya dikeluarkan tiga hari kemudian, mencetuskan kritikan daripada keluarganya dan masyarakat antarabangsa.

Timbalan Gabenor Nusa Tenggara Barat, Cik Indah Dhamayanti Putri, memaklumkan bahawa pemerintah akan memperbaiki aspek peraturan dan keselamatan dalam proses pendakian bagi pelancong tempatan dan antarabangsa.

Beliau menegaskan Gunung Rinjani, sebagai destinasi pelancongan dunia, perlu mempunyai sistem yang mampu mengurangkan risiko kecelakaan.“Kita akan kurangkan risiko kemalangan setakat yang boleh,” kata Cik Indah dalam sidang media selepas melihat jenazah Cik Juliana di Hospital Mataram.

Cik Juliana, 26 tahun, hilang pada 21 Jun selepas dipercayai terjatuh dari tebing curam semasa mendaki Gunung Rinjani. Selepas pencarian berhari-hari, pasukan penyelamat menemui mayatnya pada malam 24 Jun, tetapi hanya berjaya membawanya turun pada hari berikutnya. Proses evakuasi terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk dan keadaan muka bumi yang mencabar.

Keluarga Cik Juliana bagaimanapun mengkritik kelewatan operasi menyelamat. Dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram pada 25 Jun, mereka menyatakan: “Juliana mengalami pengabaian yang teruk. Jika pasukan penyelamat sampai dalam tujuh jam, dia mungkin masih hidup,” tulis mereka. “Sekarang kami mahukan keadilan untuknya.”

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Encik Mohammad Syafii, berkata beliau telah bertemu keluarga mangsa dan menjelaskan cabaran besar yang dihadapi pasukan penyelamat. “Keluarga memahami situasi sebenar setelah melihat sendiri keadaan cuaca dan geografi di Sembalun,” katanya.

Autopsi terhadap mayat Juliana akan dijalankan di Denpasar, Bali untuk mengenal pasti masa dan punca kematian.

Tragedi ini juga mencetuskan perhatian besar di Brazil. Presiden Luiz Inacio Lula da Silva sendiri menyatakan kesedihan atas kematian Juliana dalam satu kenyataan di media sosial.

Dalam pada itu, seorang pemandu pelancong tempatan, Agam Rinjani, menjadi tular di media sosial Brazil kerana keberaniannya dalam misi menyelamat. Agam merupakan individu pertama yang turun ke cerun curam sedalam 600 meter untuk menemui mayat Juliana.

Beliau bersama dua lagi rakan penyelamat berkhemah di tebing gaung selama beberapa hari bagi memastikan mayat mangsa tidak tergelincir lebih jauh.

Tindakan Agam mendapat pujian luar biasa daripada netizen Brazil. Akaun Instagramnya, @agam_rinjani, dibanjiri ribuan komen yang mengucapkan terima kasih, memuji keberanian, malah ada yang menggambarkannya sebagai “malaikat yang dihantar Tuhan”.

“Mereka mempertaruhkan nyawa untuk seseorang yang mereka tak kenal pun. Mereka layak menerima pengiktirafan antarabangsa, atau sekurang-kurangnya pingat kehormatan dari Brazil,” tulis seorang pengguna yang mendapat ribuan tanda suka.

Beberapa pengguna media sosial Brazil juga menandai nama Presiden Lula, meminta agar Encik Agam dan pasukannya diberi penghormatan rasmi.

Encik Agam, yang menganggap Gunung Rinjani sebagai rumah keduanya, berkata beliau nekad kerana tanggungjawab moral terhadap semua pendaki yang datang ke gunung tersebut. Keberaniannya telah menonjolkan nilai kemanusiaan dalam suasana yang penuh duka.

Encik Syafii, mengesahkan bahawa operasi menyelamat ini merupakan antara yang paling sukar dalam sejarah penyelamatan gunung di Indonesia. “Medannya sangat berbahaya, hampir mustahil dicapai tanpa kerjasama mantap dan peralatan mencukupi,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg