JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia telah menemui mayat seorang wanita warga Brazil yang maut selepas terjatuh dari tebing ketika mendaki Gunung Rinjani, gunung kedua tertinggi di Indonesia, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa penyelamat.
Cik Juliana Marins, 27, sedang mendaki Gunung Rinjani bersama lima rakannya pada Sabtu lalu, 21 Jun apabila beliau tergelincir dan jatuh dari tebing di sisi gunung yang berketinggian 3,726 meter itu.
Mayat Cik Marins ditemui pada Selasa, 24 Jun namun pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mengangkat mayatnya disebabkan kabus tebal dan bentuk muka bumi yang curam, kata pihak berkuasa.
Mayat mangsa akhirnya berjaya dibawa turun pada 25 Jun dalam satu operasi yang mengambil masa enam jam, menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Encik Mohammad Syafii, dalam kenyataannya malam 25 Jun.
Selepas berjaya diangkat dari tebing, mayat Cik Marins dibawa menggunakan pengusung ke pos penyelamat paling hampir sebelum dihantar dengan ambulans ke hospital.
“Pada awalnya, kami merancang menggunakan helikopter untuk pemindahan, tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya. “Oleh itu, kami terpaksa mengangkut mangsa dengan pengusung, yang mengambil masa agak lama,” tambah beliau.
Rakaman video yang dikongsikan oleh agensi penyelamat menunjukkan usaha pasukan untuk mengangkat mayat dari tebing dengan bantuan tali, dalam keadaan kabus yang sangat tebal.
Agensi Penyelamat Indonesia juga telah bertemu dengan keluarga Marins untuk menerangkan proses pemindahan, kata Encik Syafii, sambil menambah bahawa pihak keluarga “dapat menerima situasi yang berlaku”.
Gunung Rinjani yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Barat merupakan sebuah gunung berapi aktif dan destinasi pelancongan yang popular di rantau Asia Tenggara.
Beberapa pelancong, termasuk warga asing, pernah terkorban dalam kemalangan semasa mendaki gunung tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut laporan media tempatan termasuk seorang pelancong dari Malaysia yang turut terjatuh dari tebing bulan Mei lalu. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg