Prabowo perjelas kedudukan Indonesia dalam Lembaga Keamanan Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo perjelas kedudukan Indonesia dalam Lembaga Keamanan Gaza

Feb 5, 2026 | 12:47 PM

Prabowo perjelas kedudukan Indonesia dalam Lembaga Keamanan Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
prabowo, lembaga keamanan gaza, indonesia
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi isyarat ke arah Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto ketika mereka menyertai pengumuman piagam inisiatif Lembaga Keamanan yang dicetuskan Trump bagi menangani konflik global, sempena Forum Ekonomi Dunia ke-56 di Davos, Switzerland, pada 22 Januari 2026. - Foto REUTERS

JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto menegaskan bahawa Indonesia tidak terikat untuk membayar sumbangan AS$1 bilion ($1.27 bilion) seperti yang diperkatakan, bagi menyertai Lembaga Keamanan untuk Gaza.

Menurut beliau, dana yang dibincangkan itu adalah bersifat sukarela dan khusus untuk usaha pembinaan semula Gaza, bukannya yuran keahlian wajib.

Penjelasan tersebut disampaikan Encik Prabowo dalam pertemuan bersama mantan menteri luar di Istana Presiden, Jakarta, pada 4 Februari, seperti dimaklumkan Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya.

Kenyataan itu dibuat ketika perbahasan domestik timbul mengenai penglibatan Indonesia dalam inisiatif yang dicetuskan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, termasuk persoalan implikasi kewangan dan keselarasan dengan kepentingan Palestin.

“Berhubung Lembaga Keamanan, keahlian bukan bersifat kekal.

“Indonesia boleh menarik diri pada bila-bila masa,” kata Encik Teddy, memetik penjelasan Presiden Prabowo menerusi hantaran Instagram.

“Angka AS$1 bilion itu merujuk kepada dana pembinaan semula Gaza dan tidak wajib.”

Encik Teddy menambah, Indonesia belum membuat sebarang bayaran setakat ini dan negara peserta bebas untuk menyumbang atau memilih untuk tidak menyumbang.

“Jika sesebuah negara membuat bayaran, keahliannya menjadi kekal.

“Jika tidak, keahlian adalah untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Menurut Encik Teddy, keputusan Indonesia menyertai inisiatif tersebut mencerminkan hasrat pemerintah untuk berperanan secara langsung dalam melindungi usaha gencatan senjata di Palestin, bukan sekadar terhad kepada persidangan atau forum diplomatik.

“Presiden turut menggunakan pertemuan itu untuk memberikan penjelasan lanjut, mendengar maklum balas dan menjawab soalan para diplomat berpengalaman,” katanya.

Antara yang hadir ialah mantan Menteri Luar, Encik Marty Natalegawa, Cik Retno Marsudi, Encik Hassan Wirajuda dan Encik Alwi Shihab.

Kehadiran mereka, menurut sumber pemerintah, memperkukuh proses perbincangan strategik berhubung pendekatan Indonesia terhadap isu Palestin.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Encik Arif Havas Oegroseno menjelaskan bahawa mekanisme yuran keahlian Lembaga Keamanan masih di peringkat awal dan memerlukan perbincangan lanjut.

“Ia masih dalam proses. Masih ada perbincangan mendalam yang perlu dibuat,” katanya selepas mengiringi Presiden Prabowo dalam pertemuan tersebut.

Menurut Encik Arif Havas, sehingga kini pemerintah belum membincangkan perincian teknikal berkaitan skim pembayaran, tempoh deposit atau pembahagian tanggungjawab negara anggota. “Isu yuran keahlian masih panjang perbincangannya, termasuk aspek pembayaran dan peranan setiap anggota dalam Lembaga Keamanan,” katanya.

Beliau turut menafikan tanggapan bahawa Indonesia akan segera dikelaskan dalam kategori tertentu atau berdepan kekangan jika tidak membayar.

“Tidak begitu. Mekanismenya masih dalam perbincangan dan prosesnya masih panjang,” jelasnya.

Encik Arif Havas menjelaskan bahawa perbincangan mengenai yuran tidak boleh dipisahkan daripada perumusan struktur institusi Lembaga Keamanan, yang juga belum dimuktamadkan.

Secara teknikal, katanya, Lembaga Keamanan akan mempunyai badan eksekutif dan membentuk Jawatankuasa Nasional yang dianggotai teknokrat Palestin, tanpa kaitan dengan mana-mana kumpulan politik.

Encik Havas menegaskan bahawa pemerintah Indonesia tidak bertindak secara unilateral.

Rundingan akan diteruskan bersama tujuh negara Islam lain, selain kerjasama dengan lapan negara bagi membina platform penyelarasan berkaitan Palestin dan Asia Barat.

“Kami membincangkan perkara ini secara bersama. Ini adalah usaha kolektif negara-negara terbabit,” katanya.

Mengenai bentuk sumbangan, Encik Arif Havas berkata pemerintah masih terbuka untuk menentukan sektor penglibatan yang paling sesuai, termasuk kesihatan dan keselamatan makanan.

Pendekatan ini, katanya, membolehkan Indonesia menyumbang secara bermakna kepada keamanan Gaza, selari dengan prinsip kemanusiaan dan keupayaan negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg