Indonesia tekan kepentingan kestabilan Gaza melalui Lembaga Keamanan
Indonesia tekan kepentingan kestabilan Gaza melalui Lembaga Keamanan
JAKARTA: Indonesia menegaskan kepentingan menyediakan kestabilan di Gaza melalui inisiatif Lembaga Keamanan (BoP) yang diterajui Amerika Syarikat, ketika kebimbangan dalam negara terus memuncak berhubung rancangan penghantaran tentera ke wilayah itu.
Dalam pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, di Washington pada 19 Februari lalu, Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, menekankan bahawa peranan BoP adalah mewujudkan suasana stabil bagi membolehkan akses kemanusiaan di Gaza.
“Usaha mengekalkan kestabilan di Gaza mesti menjadi sebahagian daripada laluan ke arah keamanan berkekalan melalui penyelesaian dua negara,” kata Encik Sugiono dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pejabatnya pada 22 Februari.
Indonesia sejak sekian lama menyokong penyelesaian dua negara, iaitu pengiktirafan negara Palestin yang merdeka dan hidup bersama Israel secara aman.
Menurut jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Tommy Pigott, Encik Rubio telah menyatakan penghargaan terhadap sokongan Indonesia sebagai anggota pengasas BoP serta komitmennya terhadap pembinaan semula pascakonflik di Gaza.
Sehari selepas Presiden Prabowo Subianto berikrar menghantar sehingga 8,000 atau lebih anggota tentera Indonesia ke Gaza, Encik Sugiono sekali lagi menegaskan peranan negara dalam misi pengaman tersebut. “Ini adalah pasukan yang ditugaskan di bawah mandat untuk mengekalkan keamanan, terdiri daripada pelbagai elemen dengan tugas teras memastikan kestabilan,” katanya kepada wartawan.
Indonesia dinamakan sebagai Timbalan Komander Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) pada mesyuarat sulung BoP. Dalam struktur semasa, Amerika bertindak sebagai komander pasukan dengan tiga timbalan.
ISF dijangka mengerahkan sehingga 20,000 anggota tentera dan 12,000 pegawai polis dalam jangka panjang, meliputi lima sektor di Gaza. Pasukan Indonesia dijangka ditempatkan di Rafah, kawasan paling selatan yang bersempadan dengan Mesir.
Encik Sugiono menyifatkan pelantikan Indonesia sebagai timbalan komander sebagai satu penghormatan terhadap reputasi negara dalam misi pengaman antarabangsa.
Bagaimanapun, cadangan penghantaran tentera itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli Parlimen dan masyarakat awam. Anggota Suruhanjaya I dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyelia pertahanan dan hal ehwal luar, Encik Syamsu Rizal, mengingatkan risiko keselamatan yang mungkin dihadapi pasukan Indonesia. “Kemungkinan pasukan kita berdepan dengan kumpulan penentangan di Gaza adalah sangat tinggi dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Selain isu keselamatan, Encik Sugiono berkata Jakarta, yang mewakili negara-negara Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8), telah menghantar surat rasmi kepada BoP bagi menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan terbaru di Palestin. “Ia bukan surat kritikan, tetapi menyatakan kebimbangan kami tentang situasi di sana dan keadaan yang ingin kita lihat supaya segala-galanya berjalan selaras dengan cadangan keamanan ini,” jelasnya.
Encik Sugiono turut menjelaskan bahawa Indonesia belum menyumbang dana kepada BoP walaupun lembaga itu menawarkan pilihan yuran sumbangan sebanyak AS$1 bilion kepada anggota.
“Sejak awal saya katakan ini bukan yuran keahlian dan bukan syarat untuk menjadi anggota. Kita sudah menjadi anggota, jadi tidak membayar pun tidak menjadi masalah,” katanya.
Beliau juga mengesahkan Indonesia belum menyumbang dana pembinaan semula Gaza yang diumumkan Presiden Donald Trump pada mesyuarat sulung BoP.
Menurut Encik Sugiono, sumbangan kewangan adalah pilihan berasingan daripada komitmen keahlian. Sembilan negara, termasuk Amiriah Arab Bersatu, Qatar dan Arab Saudi, telah berjanji menyumbang sehingga AS$7 bilion setakat ini.
“Apa yang dibincangkan semalam (20 Februari) adalah tambahan kepada jumlah itu. Sudah ada ikrar sebanyak AS$7 bilion,” katanya.
Indonesia, jelas beliau, memilih untuk menyumbang melalui penghantaran anggota tentera sebagai sebahagian daripada ISF.
“Setiap negara mempunyai cara berbeza untuk menyumbang. Jika negara lain memilih menyumbang dana, Indonesia menyumbang melalui pasukan pengaman,” katanya.
Dalam masa yang sama, Indonesia turut menyertai beberapa negara majoriti Muslim mengecam kenyataan Duta Besar Amerika ke Israel Encik Mike Huckabee yang menyatakan Israel mempunyai hak berasaskan kepercayaan agama berdasarkan kitab Injil terhadap sebahagian besar wilayah di Timur Tengah. Encik Huckabee, seorang bekas paderi Baptist dan penyokong tegar Israel berkongsi pendapat itu bersama pengulas sayap kanan dan pengkritik Israel, Encik Tucker Carlson.
Dalam episod podcast yang dikeluarkan pada 20 Februari lalu, Encik Carlson menekan Encik Huckabee mengenai maksud satu ayat kitab suci itu yang kadangkala ditafsirkan sebagai menyatakan Israel berhak ke atas tanah antara sungai Nil di Mesir hingga Sungai Furat di Syria dan Iraq.
Sebagai respons, Huckabee berkata: “Tidak mengapa jika mereka (Israel) mengambil semuanya.”
Namun apabila didesak, beliau berkata, Israel “tidak meminta untuk mengambil semua itu” sambil menambah: “Ia adalah kenyataan yang agak hiperbola.”
Beberapa negara Arab mengecam diplomat Amerika itu dalam nada keras.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Amiriah Arab Bersatu, kenyataan itu disifatkan sebagai “berbahaya dan menghasut”, serta bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan usaha meredakan perang Gaza.
Ketika usaha diplomatik berjalan, tentera Israel dilaporkan terus melancarkan serangan udara di Gaza, manakala kabinet Israel bergerak untuk mengisytiharkan kawasan luas di Tebing Barat sebagai “tanah negara”, langkah yang dilihat membuka ruang kepada peluasan penempatan.
Encik Sugiono juga berkata kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG), Ali Shaath, di mesyuarat BoP memastikan wakil Palestin mengetahui dan menerima rancangan untuk menempatkan anggota Indonesia dalam ISF. Beliau berharap penglibatan Indonesia dapat membantu mengekalkan gencatan senjata serta mewujudkan persekitaran yang stabil bagi rakyat Gaza.
“Kita mahu memastikan keadaan aman dapat dikekalkan dan akses kemanusiaan dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya. - Agensi berita

