Indonesia teraju Majlis Hak Asasi Manusia PBB, uji kepimpinan sejagat Jakarta

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia teraju Majlis Hak Asasi Manusia PBB, uji kepimpinan sejagat Jakarta

Jan 19, 2026 | 5:30 AM

Indonesia teraju Majlis Hak Asasi Manusia PBB, uji kepimpinan sejagat Jakarta

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Sidharto Reza Suryodipuro, berucap semasa mesyuarat majlis itu di ibu pejabatnya di Geneva pada 8 Januari 2025. Encik Sidharto juga merupakan Wakil Tetap Indonesia ke Geneva.
Presiden Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Sidharto Reza Suryodipuro, berucap semasa mesyuarat majlis itu di ibu pejabatnya di Geneva pada 8 Januari 2025. Encik Sidharto juga merupakan Wakil Tetap Indonesia ke Geneva. - Foto KEMENTERIAN EHWAL LUAR INDONESIA

JAKARTA: Pemilihan Republik Indonesia sebagai Presiden Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi 2026 menandakan satu detik penting dalam perjalanan diplomasi hak asasi Jakarta di peringkat sejagat.

Keputusan itu diumumkan pada 8 Januari, sekali gus menjadikan Indonesia negara pertama dari Asia Tenggara yang memimpin badan utama PBB yang bertanggungjawab melindungi golongan rentan di seluruh dunia sejak penubuhannya pada 2006.

Duta Besar Sidharto Reza Suryodipuro, Wakil Tetap Indonesia ke Pejabat PBB dan pertubuhan antarabangsa lain di Geneva, akan mempengerusikan Majlis tersebut selepas dinamakan sebagai satu-satunya calon oleh Kumpulan Asia Pasifik, yang merangkumi negara besar seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Pelantikannya bukan sekadar simbol kepercayaan rantau itu terhadap Jakarta, bahkan cerminan harapan agar Indonesia dapat memainkan peranan sebagai penimbang tara dalam landskap hak asasi manusia sejagat yang kian terpolarisasi.

Dalam ucapannya di Geneva, Encik Suryodipuro menegaskan bahawa Majlis Hak Asasi Manusia mesti kekal setia kepada prinsip terasnya.

“Kami percaya Majlis ini perlu berpegang kepada prinsip kesejagatan, ketelusan penilaian dan pendekatan tanpa pilih kasih dalam menangani isu hak asasi manusia, dengan memperlakukan semua hak, termasuk hak untuk pembangunan, secara adil dan saksama,” katanya kepada para perwakilan.

Menurut beliau, keputusan Indonesia untuk tampil memimpin Majlis itu berakar daripada Perlembagaan 1945, yang selari dengan tujuan dan prinsip Piagam PBB.

Perlembagaan tersebut, katanya, mengamanahkan Indonesia untuk menyumbang kepada keamanan dunia berasas kemerdekaan, keamanan dan keadilan sosial.

Atas dasar mandat itu juga, Indonesia wajib mempertahankan sistem pelbagai hala yang menjamin hak seluruh manusia kepada keamanan, kemakmuran dan kemajuan sejagat.

Sebelum ini, Indonesia telah enam kali dipilih sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia, termasuk pada 2023 apabila ia menerima undian tertinggi dengan 186 undi.

Pada 2024, Indonesia, yang diwakili Duta Besar, Encik Febrian Ruddyard, turut berkhidmat sebagai salah seorang Naib Presiden Majlis yang dianggotai 47 negara.

Mengambil alih peranan daripada Presiden Majlis sebelum ini, Encik Jurg Lauber, dari Switzerland, Encik Suryodipuro kini akan mengetuai tiga sesi utama Majlis yang dijadual bermula pada akhir Februari, Jun dan September.

Beliau akan menyelia proses penilaian rekod hak asasi manusia negara anggota melalui mekanisme Universal Periodic Review, yang sering menjadi medan sensitif bagi negara yang berdepan kritikan antarabangsa.

Sebagai Presiden Majlis, Indonesia melahirkan iltizam untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk negara anggota dan pemerhati, agensi khusus PBB, institusi hak asasi manusia kebangsaan, pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi serantau.

Encik Suryodipuro menekankan peranan penting semua pihak itu dalam membentuk seni bina hak asasi manusia sejagat.

Beliau turut berikrar meneruskan daya usaha yang telah dimulakan oleh pendahulu beliau, khususnya usaha rasionalisasi dan meningkatkan kecekapan kerja Majlis.

“Saya akan berusaha mewujudkan ruang yang hormat dan terangkum untuk semua pihak, memastikan kebolehcapaian, mencegah diskriminasi, menggalakkan kesaksamaan jantina serta penyertaan negara kurang membangun dan negara pulau Pasifik,” katanya.

Cabaran yang bakal dihadapi Indonesia sebagai presiden Majlis bukan kecil.

Di luar isu berterusan seperti perkauman, alam sekitar serta hak ekonomi dan sosial, Majlis Hak Asasi Manusia turut menjadi medan perbincangan keadaan negara tertentu, termasuk Sudan Selatan dan Palestin.

Sebagai penyokong lama kemerdekaan Palestin, Indonesia secara tekal menyuarakan penentangan terhadap pendudukan Israel yang dianggap melanggar hak asasi rakyat Palestin, dan menegaskan komitmennya untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa dalam sesi Majlis pada September.

Dalam konteks krisis politik Venezuela pula, Indonesia memilih pendekatan berhati-hati.

Menurut Pengarah Hak Asasi Manusia dan Migrasi Kementerian Luar, Cik Indah Nuria Savitri, tumpuan Jakarta adalah kepada keadaan hak asasi serta perlindungan dalaman, bukannya memberi reaksi langsung terhadap penahanan Presiden Venezuela, Encik Nicolás Maduro, oleh tentera Amerika Syarikat.

“Perkembangan terkini berada di luar mekanisme yang dipersetujui Majlis Hak Asasi Manusia,” katanya.

Beliau menambah bahawa Majlis mempunyai saluran tersendiri sekiranya perbahasan lanjut diperlukan.

Setakat ini, katanya, tiada permintaan rasmi dikemukakan dan Majlis akan meneruskan agenda sedia ada.

Penganalisis melihat kepimpinan Indonesia sebagai peluang untuk membawa pendekatan berbeza.

Kolumnis dan alumni Hubungan Antarabangsa Universiti Padjadjaran, Encik Djoko Subinarto, menekankan bahawa kepimpinan moral Indonesia terletak kepada keupayaannya memupuk dialog.

Menurutnya, perubahan yang berkekalan tidak boleh dipaksa.

“Indonesia naik ke kerusi Presiden Majlis bukan sebagai kuasa besar, dan juga bukan sebagai contoh sempurna hak asasi manusia.

“Daripada kedudukan yang tidak sempurna inilah Indonesia berpotensi bercakap dengan nada lebih jujur. Ia tidak menghakimi, tetapi juga tidak mengelak,” tulisnya.

Encik Subinarto berhujah bahawa budaya musyawarah dan muafakat Indonesia boleh menjadi aset penting dalam Majlis yang sering menjadi medan tuduh-menuduh politik.

Dalam keadaan di mana resolusi digunakan sebagai senjata dan hak asasi dijadikan alat legitimasi, Indonesia berpeluang bertindak sebagai penjaga proses, memastikan perbincangan tidak segera bertukar menjadi konflik.

Namun, kepimpinan di peringkat sejagat itu turut menuntut muhasabah dan penilaian kritikal dari dalam negara.

Penyelidik Pemantau Hak Asasi yang berpangkalan di Indonesia, Encik Andreas Harsono, mengingatkan bahawa Indonesia sendiri masih bergelut dengan isu hak asasi, termasuk kebebasan beragama dan konflik di Papua.

“Indonesia mempunyai rekod hak asasi yang sangat buruk di Papua Barat.

“Ramai pegawai kanan dan komander tentera sendiri mengakuinya,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat juga usaha dalaman, termasuk dalam kalangan tentera, untuk melakukan penambahbaikan.

Kritikan serupa turut dibangkitkan oleh Pesuruhjaya untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS).

Laporan Hari Hak Asasi Manusia 2025 oleh organisasi tersebut menggambarkan kemerosotan yang berterusan, termasuk pengukuhan apa yang disifatkan sebagai, “autokrasi legalistik”, melalui proses perundangan yang berlangsung dengan penyertaan awam yang amat terhad.

“Di sinilah pertaruhan sebenar kepresidenan Indonesia.

“Sama ada Jakarta mampu mengimbangi peranan sebagai pengantara sejagat dengan keberanian menangani cabaran hak asasi di dalam negara sendiri akan menentukan sama ada kepimpinannya di Majlis Hak Asasi Manusia benar-benar bererti, atau sekadar satu pencapaian simbolik di atas kertas,’’ ujar Encik Harsono. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg