JAKARTA: Istana Presiden Indonesia menerima kecaman hebat daripada kumpulan wartawan dan pertubuhan hak asasi selepas menarik balik sementara pas media seorang wartawan CNN Indonesia berhubung soalan mengenai program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) yang dikaitkan dengan ribuan kes keracunan di seluruh negara.
Insiden berlaku pada Sabtu lalu, 27 September apabila Cik Diana Valencia, wartawan CNN Indonesia, kehilangan akses liputan di Istana Presiden selepas menyoal Presiden Prabowo Subianto tentang langkah menangani kes keracunan makanan percuma MBG.
Soalan itu diajukan ketika sesi temubual ringkas di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, sejurus Encik Prabowo pulang daripada lawatan kerja seminggu termasuk penampilan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Program MBG yang dilancarkan awal tahun 2025 ini bertujuan menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak, namun mencetuskan kebimbangan selepas lebih 8,000 kanak-kanak dilaporkan mengalami keracunan dan dirawat di hospital.
Dalam rakaman yang dikeluarkan oleh Biro Akhbar, Media dan Informasi (BPMI) Istana, Cik Diana bertanya: “Mengenai Makanan Berkhasiat Percuma, adakah arahan khusus, Pak Presiden?”
Encik Prabowo menjawab dengan tenang, mengakui isu itu perlu ditangani serius.
“Ini program besar, pasti ada kelemahan pada permulaan, tapi saya yakin masalah ini akan ditangani dengan berhati-hati. Tetap waspada, jangan sampai isu ini dipolitikkan,” kata beliau.
Namun, beberapa jam kemudian, Cik Diana memaklumkan melalui aplikasi pesanan bahawa kad medianya dibatalkan kerana dianggap bertanya di luar konteks acara. Ketua BPMI, Cik Erlin Suastini, mengesahkan tindakan itu bertujuan “mengatur suasana” supaya soalan hanya tertumpu pada lawatan kerja presiden.
“Kami tidak melarang bertanya, tetapi sebaiknya soalan mengikuti konteks acara dan mempertimbangkan keadaan presiden ketika itu,” jelas Cik Erlin dalam kumpulan komunikasi wartawan Istana.
Langkah BPMI mencetuskan reaksi pantas dari pelbagai pihak. Perikatan Wartawan Bebas (AJI) Jakarta menyifatkannya sebagai ancaman terhadap kebebasan media dan hak masyarakat untuk mendapat maklumat.
“Negara tidak boleh membiarkan kejadian seperti ini berulang kerana ia menakutkan wartawan dan menghakis demokrasi,” kata Ketua AJI Jakarta, Encik Irsyan Hasyim, dalam kenyataan bersama LBH Pers. Sementara itu, Amnesty International Indonesia menyifatkan tindakan itu sebagai “penindasan yang tidak boleh dipandang ringan”.
“Walaupun kad media telah dipulangkan, tindakan represif ini tetap meninggalkan kesan dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan wartawan,” tegas Pengurus Media Amnesty Indonesia, Encik Haeril Halim.
Majlis Akhbar Indonesia turut mengingatkan bahawa kebebasan pers dilindungi Undang-Undang No. 40 Tahun 1999. “Akhbar perlu kekal kritis agar program kerajaan tidak menyimpang daripada tujuannya,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Akhbar, Encik Totok Suryanto.
Selepas tekanan kuat, BPMI memulangkan semula pas media Cik Diana pada 29 September dalam satu pertemuan di Istana Presiden bersama pemimpin redaksi CNN Indonesia dan wakil Majlis Akhbar.
Timbalan Ketua Protokol, Akhbar dan Media Sekretariat Presiden, Encik Yusuf Permana, menyampaikan penyesalan rasmi. “Kami menyesal telah menarik balik kad media. Kami pastikan insiden ini tidak berulang. Istana dan Presiden Prabowo sangat menjunjung tinggi keterbukaan serta kebebasan wartawan,” katanya.
Cik Diana menyambut baik keputusan itu dan berharap peristiwa tersebut menjadi pengajaran.
“Semoga ini yang terakhir kali berlaku kepada wartawan yang melaksanakan tugasnya,” katanya ringkas.
Ketua Editor CNN Indonesia, Cik Titin Rosmasari, turut menekankan kepentingan komitmen nyata. “Kami menghargai pengembalian pas media ini, tetapi berharap ada jaminan konkrit bahawa wartawan bebas mengajukan pertanyaan kritikal demi kepentingan awam,” katanya.
Penganalisis menilai kejadian ini sebagai peringatan bahawa kebebasan akhbar di Indonesia masih rapuh walaupun dilindungi undang-undang. Tekanan terhadap wartawan yang mengajukan soalan kritikal boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap keterbukaan maklumat.
“Pemerintah harus berhati-hati supaya tindakan mengawal akses tidak dianggap cubaan menyekat kritik,” kata seorang penganalisis media tempatan. “Langkah membetulkan keadaan seperti yang dibuat BPMI perlu menjadi norma, bukan pengecualian.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg