Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perpaduan antarabangsa peringati ulang tahun serangan dan nasib Palestin

Oct 8, 2025 | 10:24 AM
Protest, Free Palestine, Israel, Palestine, Italy, Bologna
Orang ramai memegang sepanduk bertulis, ‘Bebaskan Palestin’, semasa perhimpunan perpaduan bersama rakyat Palestin dan bagi memperingati ulang tahun kedua serangan Hamas ke atas Israel, di Bologna, Italy pada 7 Oktober. - Foto EPA

LONDON: Gelombang bantahan melanda pelbagai bandar dunia pada 7 Oktober apabila ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan memperingati ulang tahun kedua sejak serangan pada 2023, peristiwa yang mencetuskan perang berdarah di Gaza.

Dari Eropah hingga Asia dan Australia, gelombang tunjuk perasaan menyeru keadilan untuk rakyat Palestin, sambil upacara memperingati mangsa serangan Hamas turut diadakan di Israel dan beberapa bandar besar dunia.

Di Eropah, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di London, Berlin, Paris, Amsterdam, Geneva, Athens, Milan, Thessaloniki, Istanbul dan Stockholm.

Di Amsterdam, aktivis pro-Palestin memercikkan cat merah ke Istana Diraja sebagai simbol darah rakyat Gaza, membantah larangan datuk bandar terhadap perhimpunan pro-Palestin sementara membenarkan acara pro-Israel.

Di Sweden, aktivis menyambut kepulangan sukarelawan flotila bantuan Gaza yang ditahan Israel, termasuk aktivis iklim, Cik Greta Thunberg.

Bantahan besar juga tercetus di Jakarta, Indonesia dan Sydney, Australia.

Di Sydney, ribuan penyokong Palestin mengangkat sepanduk mengecam serangan Israel di Gaza dan menggesa gencatan senjata segera.

Di Britian, gelombang bantahan pelajar bergema di kampus universiti terkemuka seperti Sheffield, Leeds, Bristol, Nottingham, Leicester, Birmingham, Sussex, Glasgow, Edinburgh dan London.

Sekitar 400 pelajar berarak dari King’s College London ke London School of Economics (LSE) dan Universiti College London sebelum berhimpun di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika (SOAS), Universiti London.

Mereka mengangkat slogan, “Dua tahun genosid dan institusi kita masih bersekongkol”, menyeru universiti menghentikan kerjasama dengan syarikat yang dikaitkan dengan konflik di Gaza.

“Kami tidak mahu wang kami disalurkan ke pihak yang menindas,” kata seorang pelajar yang turut serta.

Namun, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menyifatkan tunjuk perasaan pada ulang tahun serangan Hamas itu sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan “tidak mencerminkan nilai Britain”.

“Mengadakan bantahan pada hari peringatan tragedi ini adalah tidak sensitif terhadap mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Seorang peserta bantahan, Encik Mark Etkind, anak kepada mangsa Holocaust, menyanggah kenyataan Starmer.

“Saya sentiasa menentang pembunuhan beramai-ramai. Menuduh bantahan ini anti-Yahudi adalah tidak adil,” katanya kepada agensi berita, Reuters.

Di New York, ribuan orang berhimpun membawa sepanduk bertulis, “Gaza sedang berdarah” dan “Amerika Syarikat dan Israel – tangan kamu berlumuran darah”.

Sebahagian umat Islam menunaikan solat di hadapan Trump Hotel.

Pada masa sama, masyarakat Yahudi mengadakan doa dan menyebut cogan kata, “bawa mereka pulang”, bagi mengingatkan tebusan yang masih ditahan Hamas.

Keselamatan diperketat di seluruh bandar termasuk di konsulat Israel di Manhattan dan rumah ibadat Yahudi, walaupun polis berkata tiada ancaman khusus dilaporkan.

Di Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menerima kunjungan Encik Edan Alexander, bekas tebusan warganegara Israel-Amerika yang dibebaskan Hamas pada Mei.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, turut menghadiri upacara doa bersama keluarga tebusan.

Konflik Gaza kini memasuki tahun kedua dengan angka korban melebihi 67,000 orang, menurut pihak berkuasa tempatan. Ribuan lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Gambar kanak-kanak kelaparan dan kemusnahan besar di Gaza mencetuskan kemarahan sejagat serta memberi tekanan pada negara Barat untuk menyokong pengiktirafan Negara Palestin.

Sementara itu, delegasi Israel dan Hamas meneruskan rundingan tidak langsung di Mesir membincangkan cadangan damai yang dibawa Amerika.

Pelan itu merangkumi gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dan pembebasan tebusan, tetapi isu utama seperti pelucutan senjata Hamas kekal sukar dipersetujui.

Israel mempertahankan tindakannya sebagai hak mempertahankan diri selepas serangan Hamas membunuh 1,200 orang dan menculik lebih 250 tebusan.

Namun, pelbagai pakar hak asasi manusia dan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan kempen ketenteraan Israel sebagai berpotensi “genosid”, dakwaan yang ditolak Tel Aviv.

Dalam suasana penuh ketegangan, dua suara utama tetap kedengaran iaitu tuntutan keadilan dan keamanan untuk Palestin, serta seruan keselamatan dan pembebasan tebusan dari pihak Israel.

“Kami hanya mahu kehidupan kami kembali,” kata seorang penduduk Gaza yang terpaksa berpindah berkali-kali.

Bagi Israel pula, peringatan 7 Oktober menjadi detik kehilangan yang mendalam.

“Kami tidak boleh melupakan serangan itu, tetapi kami juga mahukan jalan keluar daripada perang ini,” kata seorang keluarga mangsa di Tel Aviv. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg